Apakah Takaful Yang Terbaik ?

Ramai yang bertanyakan soalan sebegini.

“Pakdi, saya plan nak ambil takaful. Tapi ada banyak di luar sana. Pada Tuan produk takaful apa yang bagus ?”

Ini merupakan satu soalan yang sukar dijawab.

Produk takaful yang ada di luar sana sebenarnya lebih kurang sama antara satu dengan yang lain. Apa yang membezakan sebenarnya adalah servis yang bakal diterima. Jadi, lebih baik fokus untuk mencari ejen takaful yang baik.

Takaful Adalah Perlindungan

Takaful atau insurans patuh Shariah ini tujuannya adalah sebagai perlindungan kewangan.

Konsepnya ialah sediakan payung sebelum hujan.

Jadi sekiranya berlaku perkara-perkara seperti berikut:

  • Kemalangan
  • Hilang upaya
  • Jatuh Sakit
  • Kematian

Maka bagaimana ahli keluarga yang bergantung kepada punca rezeki kita dapat meneruskan hidup seperti biasa ? Ini kerana apabila berlaku kematian atau hilang upaya seorang breadwinner dalam keluarga, maka pendapatan itu akan terhenti.

Begitu juga apabia jatuh sakit dan kemalangan, siapakah yang akan membiayai kos-kos yang terlibat. Kos-kos yang terlibat ini adalah tinggi dan jika risiko sebegini tidak diuruskan dengan baik maka sudah tentu duit simpanan akan habis seterusnya menjejaskan keperluan kewangan yang lain seperti pendidikan, persaraan dan tidak mustahil kehilangan rumah kediaman.

Selain itu takaful juga berfungsi untuk melindungi harta kita yang lain sekiranya berlaku perkara-perkara di atas sehingga tidak mampu untuk membayar hutang seperti biasa. Maka, takaful dapat membayarkan jika tidak semua, sebahagian besar hutang-hutang tersebut. Begitu juga bila berlaku kebakaran, kecurian mahupun bencana alam.

Maka dapat dirumuskan takaful melindungi kewangan perkara-perkara berikut:

  • Takaful Keluarga iaitu sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada pemegang polisi
  • Am iaitu sekiranya berlaku kerosakan terhadap harta benda

Analisa Keperluan

Nilai keperluan diri dan keluarga sebelum mendapatkan perlindungan takaful.

Apabila penilaian telah dibuat maka kita pasti mengambil polisi yang diperlukan sahaja.

Sekiranya untuk melindungi aset harta benda perlu faham hanya satu polisi sahaja diperlukan kerana hanya satu tuntutan sahaja boleh dibuat. Manakala berkaitan takaful keluarga walaupun boleh dapatkan lebih dari satu polisi tetapi tidak perlu berlebihan.

Breadwinner Adalah Individu Paling Utama

Lihat kiri kanan depan belakang.

Jika tuan adalah breadwinner utama untuk orang-orang yang tuan nampak di sekeliling tuan maka tuan adalah orang yang paling utama untuk mendapatkannya. Utamakan diri sendiri dulu dan bukannya tanggungan.

Walaupun tuan barangkali telah pun mempunyai manfaat perubatan dan perlindungan di tempat kerja tetapi jangan terlalu bergantung kepadanya. Ini kerana polisi syarikat dapat berubah-ubah mengikut keperluan semasa dan selalunya pekerja “kalah” apabila polisi ini diubah.

Sebab itu membuat analisa kewangan adalah perkara paling utama untuk dilakukan sebelum mendapatkan sesuatu polisi takaful. Ibaratnya seperti pakaian, jika tidak cukup maka tubuh badan akan terdedah. Jika terlebih, jadi membazir.

Maka adalah lebih utama untuk mencari seorang ejen takaful yang dapat membuat analisa kewangan dahulu terhadap keperluan diri kita. Selepas analisa kewangan telah dengan terperinci barulah kita dapat tahu apakah produk takaful yang terbaik untuk diri kita.

About the author: Suzardi Maulan merupakan seorang licensed financial planner. Beliau menawarkan total solution investment plan secara Islami kepada klien supaya mereka tidak perlu lagi bimbang, financially.

Comments on this entry are closed.