≡ Menu

Skim Beli Emas Dapat Duit Setiap Bulan

“Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.”

Emas tidak ada aliran tunai.

Seperti hibah, dividen, pendapatan setiap bulan.

Melainkan tuan membeli saham syarikat berhad yang berkaitan perniagaan emas di Bursa Malaysia seperti Poh Kong Holdings Berhad baru ada dividen. Itu pun diberi berdasarkan prestasi keuntungan syarikat. Bukan sudah ditetapkan awal-lawa.

Jadi apabila ada pihak menawarkan tuan skim dapat duit setiap bulan, maka sebenarnya dia sedang menawarkan Skim Cepat Lingkup.

Ini tak ok.

Kalau syarikat berkaitan perniagaan emas yang besar-besar pun cuma berani dan mampu beri dividen tahunan sahaja, kenapa boleh ada syarikat biasa-biasa yang nak janjikan pulangan dividen setiap bulan? Ia tidak masuk akal. Syarikat sebegitu adalah musang yang sedang membela ayam.

Banyak persoalan perlu diperhalusi:

  • Apa yang sebenarnya syarikat sebegini jual? Emas ke saham?
  • Jika emas, mana emasnya? Jika emas tidak ada, emas tak boleh kita ambil, maka itu sudah jadi transaksi / pelaburan yang haram di sisi Islam. Riba.
  • Kalau saham pula, adakah ia tersenarai di Bursa Malaysia atau mana-mana bursa saham lain ?
  • Apakah operasi sebenar syarikat tersebut? Terlibat dalam jual beli emas macam Poh Kong, Habib dan Wah Chan atau cuma sedang menipu orang ramai, penjawat awam dan makcik-makcik di kampung?

Sila lari jauh-jauh dari orang yang sedang promosi skim emas ini.

Tergoda Dengan Janji Untung Tetap Bulanan

Perkara ini sentiasa berulang.

Modus operandi skim cepat lingkup bermula dengan model “pelaburan” semudah operasi skim Pak Man Telo dan Labu Peram. Kemudian disusuli skim forex, futures market, CPO, ternak lembu, rumpai laut, jala ikan, MLM dan kini pelaburan emas.

Tak percaya?

“Takkan dia tipu pula, sebab saya masih dapat duit tiap-tiap bulan Pakdi!” ujar seorang pegawai kerajaan.

Ok. Tiada masalah.

Pergi lah habiskan semua duit simpanan, duit simpanan nak pergi haji, pecahkan tabung anak, gadai tanah, buat pinjaman bank, minta duit & paksa emak ayah, adik beradik, kawan-kawan semua masuk dan jumpa peneroka Felda dan orang kampung untuk terlibat dalam skim yang sama.

Pergi buat apa yang patut untuk terlibat dalam skim macam ni. Pergi buat untuk jadi kaya dengan jalan menipu. Teruskan mengikis duit orang lain.

Saya dah tegur dan ingatkan skim cepat lingkup sebegini melalui siri seminar, ceramah dan bengkel dan hari ini melalui blog.

Saya cuma nak selamatkan diri saya, keluarga dan kalian yang mahu percaya sahaja.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.