≡ Menu

7 Nota Wang Untuk Suami

Sekiranya tuan ada duit 1 juta ringgit sekalipun, apabila meninggal dunia nanti bukan semua jadi milik isteri.

Isteri cuma dapat 125 ribu jika ada anak. Jika tak ada anak dapat 250 ribu. Bakinya, waris-waris lain yang punya. Itu cerita satu isteri.

Sekiranya ada anak dan berkahwin…

  • Dua, setiap isteri dapat RM 62,500
  • Tiga, setiap isteri dapat RM 41,667
  • Empat, setiap isteri dapat RM 31,250

Kalau kahwin di Siam, tak daftar pula. Maka lagi sulit ceritanya. Sebab nak tuntut harta macam mana jika perkahwinan tak didaftarkan.

Jadi suami-suami yang penyayang, sila baca baik-baik. Berikut ialah perkara-perkara yang dapat dibuat semasa hidup lagi untuk jadi seorang hero di kaca mata seorang isteri.

Jika yang baca nota kewangan ini adalah isteri, sila kongsikan sekali bacaan ini dengan suami.

1. Harta Sepencarian

Apa-apa harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan dapat menjadi harta sepencarian. Suami dapat declare sehingga 50% dari harta sebagai harta isteri.

2. Hibah

Harta yang suami beri untuk isteri atas dasar kasih sayang. Macam suami ada beli 5 rumah, mudah-mudahan ada 1 yang diberikan kepada isteri.

3. Wasiat

Wasiat sebenarnya ada 3 perkara.

  • Melantik wasi yang dapat ringankan beban isteri yang tengah sedih. Wasi tadi menjadi pentabdir untuk uruskan harta dan hutang suami.
  • Untuk bersedekah sehingga 1/3 harta
  • Wasiat pesanan. Suami berpesan kepada waris-waris supaya isteri dapat bahagian tertentu dari harta yang ada. Waris-waris lain yang bijaksana dapat hormati pesanan itu seterusnya bersetuju untuk ikut.

4. Akaun ‘Bersama’

Mengandungi duit yang dapat dicapai oleh suami dan isteri. Sumbangan bersama untuk perbelanjaan keluarga. Atau apa-apa tabungan yang istimewa. Honeymoon ke. Anniversary ke. Emergency ke. Pakatlah berapa ringgit mahu sumbang tiap bulan ke akaun ini.

5. Beri Modal

Untuk tujuan berniaga kalau isteri pandai. Atau bertujuan untuk pelaburan. Ikutlah situasi masing-masing. Kalau isteri pandai urus pelaburan saham sendiri, modal tu isteri yang urus sendiri. Jika isteri tak pandai, carilah individu berlesen yang pandai.

6. Bayarkan Hutang

Isteri belajar di universiti 5 tahun. Kerja 10 tahun. Kemudian buat keputusan berhenti kerja. Untuk jadi suri rumah. Untuk jaga anak-anak. Barangkali ada hutang pendidikan atau hutang-hutang lain yang masih berbaki. Jadi hargai pengorbanan yang isteri telah buat.

7. Buat Trust

Salah satu kaedah estate planning. Ingat tak cerita Ismet Ulam Raja yang tinggal di negeri Isketambola? Kerana tahu perebutan harta akan terjadi selepas mati, maka Abdul Wahub awal-awal lagi dinamakan sebagai penerima harta dan dijaga oleh Sulaiman Akhlaken.

Penulis: Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang investor, financial planner & trainer – pelaburan saham untuk persaraan.