≡ Menu

Saham Adalah Harta Berkembang

Pelaburan adalah menangguhkan membeli 1 ekor kambing sekarang. Supaya dapat membeli 10 ekor kambing pada kemudian hari.

Saya ada berkongsikan nota di bawah di Facebook.

Apakah Benar Emas Dapat Melawan Inflasi?

Secara umumnya, nota tersebut adalah untuk melihat sejauh mana kebenaran teori yang menyatakan 1 dinar pada zaman Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) dapat beli seekor kambing biri-biri, dan hari ini 1 dinar pun masih dapat beli seekor kambing biri-biri.

Sila baca nota tersebut dahulu sebelum teruskan membaca. Sebab tujuan nota itu ditulis adalah untuk menunjukkan pada zaman Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) pun kambing ada dijual pada harga 1/2 dinar. Jadi, mana mungkin teori 1 dinar adalah harga 1 ekor kambing dari dulu sampai sekarang itu betul ?

Bila kambing patut harga 1 dinar, dijual beli ada harga 1/2 dinar, maksudnya ada diskaun / turun naik harga / inflasi (?) sebanyak 50%!

Maka biasalah, ada yang tak bersetuju. Saya ok.  Nota ini pun terhasil.

Kita terima dahulu TEORI 1 dinar = harga 1 kambing itu dahulu. Andaikan sahaja TEORI itu tepat. Maka dapatlah kita membuat satu asas perbandingan.

Dinar Emas – ASB – Saham

Maka pada Januari 2006, dengan RM 650 kita mempunyai pilihan berikut:

  • Beli 1 dinar
  • Simpan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB)
  • Beli saham.

Saya memilih secara rawak 4 saham, iaitu BIMB Holdings Bhd, NTPM Bhd, Ajinomoto Bhd dan Lay Hong Bhd. Kriterianya adalah mudah, beli syarikat household name yang tidak berlaku share split berlaku sepanjang 2006-2015.

Tak guna apa-apa filter seperti ROE, ROA, PE, yield, debt to equity ratio dan seterusnya. Cuma strategi disebabkan setiap bulan kita keluar duit beli produk / khidmat syarikat tu, maka kita beli saham yarikat tu. Tidak perlu apa-apa pengetahuan pelaburan lanjut.

  • BIMB – orang bayar hutang rumah, kereta dan ambil takaful
  • NTPM – Tisu
  • Ajinomoto – Serbuk perasa
  • Lay Hong – Jual telur berjenama Nutriplus

Asalnya saya juga mahu meletakkan 1 ETF untuk menjadikannya 5, tetapi tak cukup tempoh 10 tahun. Maka hasilnya adalah seperti berikut.

  • RM 650 yang ditukar menjadi 1 dinar, dapat membeli 2 ekor kambing.
  • RM 650 yang disimpan dalam ASB sekurang-kurangnya berkembang menjadi RM 1,275.51 bersamaan 3 ekor kambing dan tunai RM 300.51
  • RM 650 yang tukar menjadi unit-unit saham BIMB Holdings berkembang menjadi RM 2,736.62 bersamaan 8 ekor kambing dan tunai RM 136.62
  • RM 650 yang ditukar menjadi unit-unit saham NTPM berkembang menjadi RM 4,348.40 bersamaan 13 ekor kambing dan tunai RM 123.40
  • RM 650 yang ditukar menjadi unit-unit saham Ajinomoto berkembang menjadi RM 3,162.50 bersamaan 9 ekor kambing dan tunai RM 237.50
  • RM 650 yang ditukar menjadi unit-unit saham Lay Hong berkembang menjadi RM 3,891.50 bersamaan 11 ekor kambing dan tunai RM 316.50

Inilah yang dimaksudkan sebagai menukar gaji menjadi saham sebagai menukar pendapatan menjadi harta yang berkembang. Kuasa membeli bukan sahaja kekal, tetapi bertambah.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.