≡ Menu

Melaburlah Untuk Masa Hadapan Kita

Hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih untuk menampung kehidupan mereka dalam tempoh persaraan.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP, Balqais Yusoff, berkata 78 peratus pencarum lagi tidak mempunyai asas caruman mencukupi untuk tempoh persaraan mereka.

Laporan Berita Harian, 15 Mei 2016.

Simpanan Asas KWSP Jumlah Minima Untuk Bersara

Jumlah simpanan asas telah dinaikkan dari RM 196,800 menjadi RM 228,000 pada 2017. Bermula 1 Januari 2019 pula, jumlah simpanan asas ini dinaikkan lagi sehingga RM 240,000.

Ini membolehkan para pesara mendapat sekurang-kurangnya 1 ribu ringgit sebulan untuk tempoh 20 tahun.

KWSP merupakan skim jaringan keselamatan sosial yang diselia oleh kerajaan tapi itu pun masih ramai yang tak mempunyai sekurang-sekurangnya jumlah asas yang disarankan.

Melaburlah Supaya Dapat Bersara Dengan Duit Yang Cukup Di Tangan

Realitinya, pendapatan 1 ribu ringgit sebulan ini adalah rendah dan kemungkinan besar masih tidak cukup sekiranya seseorang pesara itu tinggal di bandar dan masih ada hutang serta tanggungan pada usia 60 tahun.

Jadi sebenarnya kita tak ada banyak pilihan, melainkan untuk melabur untuk memastikan kita mempunyai duit yang cukup di tangan untuk bersara dengan selesa.

Tapi masih ramai yang tidak berbuat apa-apa. Apakah puncanya?

Kenapa Orang Tak Melabur?

Berdasarkan pengalaman saya, berikut ialah 5 sebabnya:

1. Tak Tahu Nak Bermula Di Mana

Kita tahu ada macam-macam bentuk pelaburan. Saham, bon/sukuk, derivatif, unit trust, komoditi, hartanah dan seterusnya. Tapi tak tahu sepatutnya nak mula di mana.

2. Tak Invest Dalam Diri Sendiri Dulu

Tak semua orang akan jadi pakar pelaburan. Namun, sekurang-kurangnya kita patut tahu sedikit sebanyak perkara asas dalam melabur. Nak tahu tentang pelaburan sudah tentu kena baca buku, pergi kursus atau pun mempunyai coach kewangan sendiri. Tapi itu pun tak buat.

3. Tak Ada Masa Nak Urus

Banyak urusan pelaburan perlu dibuat pada waktu pejabat. Contohnya, nak beli saham kena beli pada waktu hari bekerja sebab Bursa Malaysia tutup pada hujung minggu. Jadi, tak ramai yang dapat fokus sepenuhnya untuk membuat pelaburan.

4. Tak Ada Modal 

Kita tak boleh harapkan duit KWSP sahaja. Sebab tugas mereka adalah memastikan kita dapat simpanan asas yang ditetapkan. Untuk dapat lebih, kita kena usaha sendiri buat tabung pelaburan lain.

Kita ada pilihan untuk membuat pelaburan tambahan melalui skim pelaburan ahli ke dalam unit trust atau pun mandat persendirian melalui institusi kewangan terpilih. Atau laburkanlah duit tunai yang ada di tangan.

5. Tak Sabar

Sekiranya kita melabur 100 ringgit sebulan pada usia 25 tahun. Pulangan 6% setahun menghasilkan lebih dari 140 ribu pada usia 60 tahun.

Untuk mendapatkan jumlah pulangan yang lebih kurang sama, kita perlu melabur sekurang-kurangnya 500 ringgit sebulan jika kita bermula pada usia 45 tahun.

Disebabkan menangguhkan keputusan untuk melabur pada usia muda, menyebabkan kita rasa terdesak untuk mencari pulangan yang lebih tinggi. Sehingga akhirnya kita bukannya melabur tapi sebenarnya ditipu oleh skim cepat miskin. Habis hilang semua modal.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.