≡ Menu

Kita Ingat Kewangan Kita Dah OK, Rupanya..!

Berikut ialah 4 perkara yang ramai orang lupa, tak nampak atau mungkin apa yang disebut sebagai “titik buta” (blindspot). Berdasarkan pengalaman saya sebagai trainer dalam bidang Islamic financial planning dan licensed financial planner.

#1 Tak Lantik Pemegang Amanah Untuk Selesaikan Hutang Selepas Mati

Satu hari ketika Nabi Muhammad (berselawatlah kita) sedang bersama para Sahabat maka ada jenazah dibawa kepada mereka.

Baginda diminta untuk menjadi imam untuk solat jenazah. Lantas Rasulullah (berselawatlah kita) bertanya, “Adakah si mati dalam keadaan berhutang?”

Sahabat menjawab, “3 dinar.”

“Kalian dirikanlah solat jenazah untuk rakan kalian,” Rasulullah (berselawatlah kita) tidak mahu menjadi imam solat jenazah apabila tahu si mati dalam keadaan berhutang.

Kemudian sahabat bernama Abu Qatadah pun berkata,”Wahai Rasulullah, saya akan bertanggungjawab menguruskan hutang si mati.”

Mendengarkan jaminan Abu Qatadah, maka Rasulullah (berselawatlah kita) pun menjadi imam solat jenazah atas si mati tadi.

Wajib Langsaikan Hutang Selepas Mati Sebelum Bahagi Harta

Begitulah Islam ajar tentang betapa beratnya tanggungjawab melangsaikan hutang. Sampai sudah mati pun masih wajib bayar hutang hingga selesai.

Maka ada tiga (3) soalan yang perlu dijawab:

  • Siapa yang kita lantik untuk melaksanakan amanah untuk selesaikan urusan hutang piutang selepas mati?
  • Adakah dia mampu untuk melaksanakan tugas tersebut?
  • Dia bersetuju dengan perlantikan itu?

#2 Tak Sediakan Duit Untuk Bayar Hutang Selepas Mati

Sebelum bahagi pusaka kena bayar hutang dulu. Sama ada hutang ibadah seperti ada tertinggal puasa, belum menunaikan haji atau pun hutang duit sesama manusia.

Hutang-hutang itu dibayar dengan harta yang kita ada seperti:

  • KWSP.
  • Tabung Haji.
  • ASB.
  • Takaful.
  • Simpanan dalam bank.
  • Saham.
  • Tanah.
  • Rumah.
  • Kilang.

Dan seterusnya. Bakinya barulah dibahagikan. Bayar hutang bayar harta sendiri. Bukannya pakai harta waris. Atau harta wasi. Juga tak pakai harta pemegang amanh. Kalau waris nak langsaikan pakai duit dia sendiri, ok. Tapi itu cerita kalau … dan waktu itu kita dah dalam tanah.

#3 Tak Lantik Sesiapa Untuk Menguruskan Pengagihan Harta

Pemegang amanah untuk bayarkan hutang boleh jadi berbeza dengan wasi / pentadbir untuk urusan harta pusaka. Ini pun penting sebab situasi ini dapat berlaku:

Semua Waris Sibuk

  • Angah lah pergi pejabat pusaka, Along sibuklah dengan kerja, Along bukan ada masa!
  • Habis Along ingat, Along sorang je ada kerja pejabat? Angah pun berlambak lagi kerja kat pejabat tu kena diselesaikan.

Waris Bertelagah

  • Aku tak nak engkau yang uruskan tanah ni. Nanti kau bolot semua harta emak!
  • Bapak dulu dah beritahu aku rumah ni aku punya tau. Korang jangan pandai-pandai nak tuntut.
  • Tanah yang mak duduk tu sebenarnya pakcik punya nama, mak kau menumpang je.

Waris Tak Tahu Nak Buat Apa

  • Eh peninglah. Nak ke mana dulu ni, Amanah Raya ke, pejabat pusaka ke, mahkamah ke?

Kita  dan waris kita pun sebenarnya tak tahu apakah yang patut dibuat selepas seseorang itu meninggal dunia. Sebab tidak ada pengetahuan (dan pengalaman) tentang perkara tersebut.

#4 Tak Tahu Siapa Waris Yang Berhak Dengan Tepat

Barangkali kita ada ramai waris. Tetapi bukan semua waris itu berhak kepada harta-harta kita. Sebab itu bagi Muslim mesti bermula dengan membuat profil faraid untuk diri sendiri.

Bila suami meninggal dunia, meninggalkan seorang isteri. Maka sebenarnya isteri cuma mewarisi 1/4 atau 1/8 dari harta suami. Bukannya isteri mewarisi harta suami 100 peratus secara automaik.

Bila isteri meninggal dunia, meninggalkan suami. Maka suami mewarisi 1/2 atau 1/4 dari harta isteri. Suami pun tidak mewarisi 100 peratus harta isteri.

Ada waris-waris lain yang utama seperti ibu, ayah, anak perempuan dan anak lelaki. Hanya dengan membuat profil faraid baru kita tahu siapa sebenarnya waris-waris kita.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.