≡ Menu

Kenapa Kena Melabur? Baca 5 Sebab Ini

Kita melabur sebab kita perlu ada pilihan untuk berhenti kerja bila dah sampai masanya. Hidup dengan makan gaji dari bulan ke bulan tanpa membuat sebarang pelaburan adalah satu kerugian.

Sepatutnya sebahagian duit gaji kita itu dilaburkan. Mudah-mudahan modal dapat menjadi berganda-ganda dan akhirnya kita dapat hidup dengan hasil dividen pelaburan sahaja.

1. Kos Sara Hidup Yang Meningkat

Melabur ibarat melepaskan kehendak untuk makan seekor kambing golek sekarang supaya dapat makan 10 kambing golek pada masa hadapan.

Kalau tak dapat beli 10 ekor pun nanti, paling kurang tetap mampu makan sekurang-kurangnya berkenduri 1 ekor kambing golek.

Masa saya bersekolah rendah dahulu, belanja sehari cuma 50 sen. Hari ini belanja anak sekolah sehari saya beri sekurangnya 3 ringgit. Kenaikan 6 kali ganda.

Itu baru cerita belanja duit anak sekolah. Belum campur kos barang-barang yang lain. Mungkin dulu 50 ringgit penuh belanja satu troli, sekarang 50 ringgit cuma dapat beberapa barang dapur sahaja walaupun dah bertukar kerajaan.

2. Gaji Tak Naik Banyak

Ramai pekerja hari ini dah tak ‘setia’ dengan satu syarikat sahaja. Maklumlah, ada pekerja baru di pejabat. Pangkat sama. Sekali terdengar cerita pekerja baru itu gajinya jauh lebih tinggi dari kita. 

Kalau ‘setia’ pada yang satu mungkin pangkat dapat naik. Tapi gaji tak naik macam mereka yang ‘tak setia’. Cepat je orang yang lompat-lompat kerja ni dapat gaji lebih besar.

Malah ada otai-otai menyatakan gaji permulaan mereka waktu mula-mula bekerja dulu, 20 – 30 tahun lepas tak jauh berbeza dengan gaji permulaan graduan pada hari ini.

Lainlah kita berpotensi jadi Menteri esok lusa.

3. Bukan Waris Jutawan

Tak semua dari kita yang akan menerima harta pusaka yang cukup banyak untuk membolehkan kita retire young, retire rich. Oleh sebab itu jangan harap nak jadi kaya dengan jalan perwarisan.

Bapak kita mungkin kaya ada sejuta ringgit. Tapi lepas harta tu dibahagi-bahagi kepada waris-waris yang, bahagian kita pun jadi sikit.

Itu pun kalau bapak kita mati esok. Jika ditakdirkan umurnya panjang, maka tabung simpanannya pasti digunakan untuk meneruskan hidup.  Maka padamlah hasrat nak kaya dengan harta pusaka melainkan confirm harta mak ayah kita makan 7 keturunan pun tak habis.

4. Duit Pencen / KWSP Tak Cukup

Banyak laporan-laporan di media dan kenyataan itu bersumberkan dari KWSP sendiri.

Iaitu majoriti pencarum KWSP tak mempunyai simpanan asas yang cukup untuk bersara dengan duit yang cukup di tangan. 

Walaupun KWSP adalah penolakan wajib dari gaji pekerja, khususnya di sektor swasta, pun masih tak cukup untuk hidup lepas umur 60 tahun. Maka kalau tak buat langsung situasi itu lebih menakutkan.

Begitu juga dengan pencen. Pencen bukanya diberi berdasarkan 100 peratus dari pendapatan terakhir seorang pegawai kerajaan. Jadi gaya hidup selepas pencen tak patut sama dengan gaya hidup masa masih bekerja.

Yang kedua, kadar kenaikan pencen juga tak tinggi setiap tahun. Jadi apakah kenaikan tersebut mampu nak lawan kos sara hidup yang meningkat saban tahun tak kira siapa siapa pun yang jadi kerajaan?

5. Buat Bekalan Dalam Kubur

Sebagai Muslim, kita dapat mewasiatkan sehingga 1/3 dari harta untuk dijadikan sedekah jariah.

Malah jika umur panjang, harta dah banyak dapat buat living trust atau mungkin yayasan untuk kerja-kerja amal ketika masih hidup lagi. Tak perlu tunggu mati baru nak buat kerja baik.

Kan seronok ada satu tempat kebajikan yang kita dapat sumbang secara berterusan dari hidup dan sumbangan itu bersambung lepas kita dah pun meninggal dunia.

Melaburlah Dari Sekarang

Buat pelaburan seawal mungkin supaya kita mempunyai cukup duit dan cukup masa untuk melaksanakannya seterusnya mempunyai pilihan sama ada untuk bersara mengikut masa yang ditetapkan atau pilih untuk bersara awal dan mula buat kerja yang kita benar-benar suka.

Lakukan perkara-perkara berikut untuk membolehkan duit bekerja keras untuk kita supaya akhirnya kita dapat fokus buat benda yang kita suka.

1. Tentukan kos gaya hidup untuk retire

Kira kos gaya hidup

Sekiranya nak gaya hidup RM 10 ribu sebulan, nilai harta yang diperlukan untuk retire adalah RM 3 juta.

2. Berapa yang dapat dilaburkan setiap bulan?

Kira cashflow sekarang.

Duit masuk tolak duit keluar.

Sekiranya kita nak bersara 20 tahun dari sekarang dengan jumlah aset sebanyak RM 1.5 juta. Maka jumlah yang kena labur setiap bulan ialah sebanyak 3 ribu ringgit. Itupun kalau pelaburan yang dibuat menghasilkan untung 8% setahun.

3. Berapa aset semasa sekarang ?

Kira net worth.

Nilai harta tolak nilai hutang.

Jika ada modal pelaburan 50 ribu ringgit, maka dengan anggapan return 8 peratus setahun dan jumlah pelaburan yang sama iaitu 3 ribu ringgit sebulan membolehkan sasaran untuk retire dapat dicapai selepas 17 tahun. Cepat 3 tahun dari bermula zero capital.

Fokus Apa Yang Kita Dapat Kawal

Ini penting supaya sasaran tabung persaraan dapat dicapai.

Cashflow management adalah sangat penting sebab itu adalah perkara yang dapat kita kawal berbanding return pelaburan.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.