≡ Menu

Ke Mana Urusan Harta Pusaka Si Mati Perlu Dibawa?

Pengkebumian orang tersayang telah pun selesai.

Maka waris-waris pun pulang ke rumah dari tanah perkuburan.

Seterusnya bermula lah fasa mengumpul maklumat tentang harta dan hutang si mati.

  • Harta alih
  • Harta tak alih
  • Hutang-piutang
  • Kos pengurusan jenazah
  • Perjanjian-perjanjian seperti hibah, wasiat
  • Senarai waris yang berhak

Jadi, apa langkah seterusnya ?

Bagi ‘golongan kebanyakan’ ada dua agensi yang boleh membantu untuk menguruskan pembahagian harta pusaka. Saya sengaja nyatakan golongan kebanyakan kerana golongan-golongan atasan tidak ada masalah tentang ini; harta banyak, mereka tidak berkira tentang kos pengurusan dan biasanya mereka sudah siap-siap ada peguam (sama ada syarikat atau peribadi) untuk menguruskan harta-harta mereka.

Baiklah, ada dua agensi yang boleh membantu menguruskan harta pusaka golongan kebanyakan:-

i) Unit Pembahagian Pusaka Kecil (‘Pejabat Pusaka’)

Sekiranya si mati meninggalkan

  1. Harta tak alih; DAN
  2. Harta alih

Kesemua harta-harta ini nilainya tidak melebihi 2 juta.

Sekiranya TIDAK ada pertikaian, waris boleh terus mendaftarkan permohonan untuk perbicaraan di pejabat Pusaka; yang merupakan agensi kerajaan persekutuan.

Pejabat Pusaka yang mempunyai bidangkuasa untuk mendengar perbicaraan dapat ditentukan oleh lokasi harta tak alih bagi harta pusaka tersebut.  Jika harta tak alih terdapat di lokasi-lokasi di pelbagai daerah/negeri, bolehlah merujuk kepada mana-mana pejabat Pusaka yang terhampir atau yang lebih menyenangkan waris.

Khidmat nasihat di pejabat Pusaka diberi percuma sahaja. Pejabat Pusaka akan menerangkan borang-borang untuk mendaftarkan kes dan dokumen-dokumen yang diperlukan. Pendaftaran adalah percuma tetapi caj untuk Perintah akan dikenakan pada selepas perbicaraan bergantung kepada nilai aset-aset si mati.

ii) Amanah Raya Berhad

Sekiranya si mati meninggalkan harta alih sahaja.

Dokumen-dokumen waris dan harta alih si mati boleh dibawa ke Amanah Raya. Proses pendaftaran tidak semestinya akan selesai pada hari itu juga. Ia bergantung kepada dokumen-dokumen yang dibawa sama ada lengkap atau sebaliknya.

Pihak Amanah Raya akan mengemukakan pertanyaan lanjut mengenai si mati, waris dan dokumen-dokumen harta alih sebelum pendaftaran untuk perbicaraan harta pusaka mati dijalankan. Semasa di kaunter Amanah Raya jangan lupa untuk sahkan bayaran caj perkhidmatan Amanah Raya. Ia agak tinggi tetapi kadang-kadang waris tidak ada cara lain selain menggunakan khidmat ini apatah lagi bila akaun-akaun simpanan/ pelaburan dibekukan kerana si mati semasa hayatnya tidak meletakkan Penama dalam akaun harta alih-harta alihnya.

Anggaran caj perkhidmatan Amanah Raya adalah seperti berikut :

[Seksyen 17(1), 17(2) & 13 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995]

  • 4% ke atas RM25,000.00 yang pertama
  • 3% ke atas RM225,000.00 yang berikutnya
  • 2% ke atas RM250,000.00 yang berikutnya
  • 1% ke atas RM500,000.00 yang berikutnya
  • 0.50 % ke atas baki selebihnya

Sekiranya Si Mati Ada Meninggalkan Wasiat

Jika si mati pernah menulis wasiat berkenaan harta-hartanya, wasiat itu boleh dibuka dan dibaca oleh waris.

Tetapi, jika waris hanya menemui kad (terdapat agensi/perunding swasta yang membekalkan kad khas kepada si pembuat wasiat) yang menyatakan si mati ada membuat wasiat bolehlah berhubung dengan agensi yang membuat wasiat tersebut untuk mendapatkan salinan wasiatnya. Mereka juga akan membantu memberi nasihat yang sewajarnya nanti.

Sekiranya wasiat yang ditinggalkan oleh si mati ini tiada pertikaian, maka ia dapat dikemukakan di pejabat Pusaka atau Amanah Raya. Ini untuk kes sekiranya si mati adalah seorang Muslim. Bagi non-Muslim, wasiat tersebut perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Selepas ini saya akan tuliskan situasi kes-kes harta pusaka yang mana hendak-hendak anda terpaksa juga menggunakan khidmat peguam kerana melibatkan urusan di Mahkamah. Saya juga akan kongsikan tips bagaimana anda boleh menjimatkan kos guaman anda.

* Nota ini disediakan oleh Cik Puan Naziatul Azrin, seorang peguam