≡ Menu

Kan Dah Ada Faraid, Kenapa Nak Wasiat Lagi?

1. Maulan, almarhum bapa saya meninggal dunia tahun 1991. Saya kecil lagi, baru darjah satu. Jadi tak pasti macam mana almarhumah emak saya buat.

2. Pada tahun 1992 iaitu setahun kemudian, dah selesai bicara pusaka. Saya cuma pernah ingat ikut almarhumah emak turun naik bas dan teksi pergi ke Jalan TAR, KL untuk urusan tuntutan insurans.

3. Almarhumah emak saya pula meninggal dunia pada tahun 2008.  Kira-kira dua tahun kemudian, baru saya berani bersuara cakap nak urus pusaka emak kepada adik-beradik.  

4. Waktu ni saya dah ambil sijil Islamic Financial Planner (IFP). Sebelum itu lagi saya ada law degree dan dalam tu ada belajar pasal undang-undang pusaka, faraid.

5. Waktu urus pusaka almarhumah emak itu baru tahu, ada benda yang almarhumah emak saya tak complete buat untuk pusaka almarhum bapa. Walaupun dah bicara.

6. Ya, urusan pusaka ini tak terhenti setelah selesai bicara, Jadi, sebenarnya saya menguruskan dua fail pusaka serentak sehingga selesai pada tahun 2015.

7. Prosesnya rumit, leceh dan bukan sekadar melibatkan saya dan adik-beradik tetapi ramai lagi pihak lain. Saya bersyukur sebab ada learned friends yang sudi bantu, juga abang saya pandai buat negosiasi dengan pihak terlibat. Dan yang paling penting, semua sepakat. Semua baik aje semasa bicara pusaka. Ha ha ha.

8. Almarhumah emak saya meninggal dunia tidak meninggalkan wasiat. Dan ini punca utama menyebabkan kenapa pusaka almarhumah emak hanya selesai selepas 7 tahun.

9. Ramai orang silap faham tentang wasiat. Wasiat bukan hanya pasal nak bahagi harta macam mana. Sebab orang Islam, ramai kata, “Kan dah ada faraid, kenapa nak buat wasiat?”

10. Apa yang perlu difahami ialah, tujuan paling utama buat wasiat adalah untuk melantik wasi. Iaitu pihak yang diamanahkan mentadbir harta & hutang kita selepas mati. Kalau ada anak bawah umur, ada klausa perihal melantik penjaga anak-anak kita.

11. Sebab almarhumah emak saya tak ada wasiat, jadi kami adik-beradik tak ada yang terus step forward. Aku pandang kau. Kau pandang aku. Malu nak bersuara. Tak reti nak buat petisyen pusaka. Sibuk tak ada masa nak turun naik pejabat tanah, bank, Tabung Haji, ASNB dan seterusnya.

12. Tapi berbeza dengan almarhumah emak saya terus step-up urus harta suaminya. Itulah nilai sayang sebagai seorang isteri dan emak. Demi suami tersayang dan masa depan anak-anak yang masih kecil.

13. Tulis wasiat memang kena bayar. Simpan wasiat pun kena bayar. Melantik wasi pun kena bayar. Tapi masa banyak jimat. Emosi tak kacau sangat. Tenaga tak banyak habis. Tak adalah kena tendang bodoh ke sana sini macam itu aje di pejabat tanah.

14. Kalau belum tahu nak ‘pesan’ apa pasal bahagi harta. Maka tulis sahaja wasiat ringkas untuk melantik wasi yang expert dalam urusan pusaka. By default, bahaginya cara faraid. ‘Pesanan’ bahagi boleh update bila-bila masa lepas itu. 

15. Mati tak tahu bila. Almarhum bapak saya meninggal dunia eksiden keretanya dirempuh lori. Saya tak bangun tidur lagi pun pada pagi dia keluar rumah pada hari kemalangan tu. Tahu-tahu almarhumah emak dapat panggilan telefon. Kemudian jiran sebelah datang bawa beliau pergi ke hospital.

16. Faraid itu pula cuma cara bahagi. Faraid bukan sejenis “makhluk” yang tolong kita buat petisyen pusaka!

p.s. 2 November 1991 tarikh bapa saya meninggal dunia. Dah 27 tahun berlalu. Ampunkanlah dosa-dosa Maulan Bin Dolah Mokeri. Amin.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.