≡ Menu

Cara-Cara Mempunyai Pendapatan Kedua Selain Gaji Setiap Bulan

Makan gaji sahaja tidak cukup.

Tuan mesti ada lebih dari 1 pendapatan.

  • Supaya tuan dapat bebas hutang dengan lebih cepat
  • Nanti dapat beli rumah impian
  • Akhirnya ada tabung persaraan yang dapat mengekalkan gaya hidup sedia ada.
  • Untuk ada pendapatan kedua sekiranya diberhentikan kerja.
  • Supaya tuan ada pilihan untuk berhenti kerja

Jangan bergantung kepada pendapatan dari gaji sahaja. Ini kerana bukan semua orang menjadi CEO syarikat, menjawat jawatan JUSA atau berpeluang menjadi pengurusan kanan di tempat tuan bekerja seterusnya mendapat gaji yang besar-besar.

CEO syarikat besar selalu dapat ganjaran dari sudut lain, sama ada ekuiti dalam syarikat yang membolehkan dia berkongsi untung syarikat, stock options, kontrak berbonus wajib dan tidak ketinggalan buat bisnes senyap-senyap, sebagai plan B sekiranya kontraknya tidak disambung. Kontrak ‘tamat’ sahaja, tahu-tahu dia dah memiliki rangkaian bisnes francais yang terkenal. Dia pun tahu makan gaji tak cukup.

Dia cuma seorang CEO, pengurus yang paling tinggi pangkatnya dan bukan seorang pemilik syarikat pun.

Berikut adalah 3 sumber pendapatan yang mesti diketahui:

  1. Gaji.
  2. Bisnes.
  3. Pelaburan.

Ini ialah contoh bagaimana Dr Hans, seorang doktor perubatan dapat mempunyai lebih dari satu pendapatan.

1. Pendapatan Dari Gaji

Dr Hans mempunyai gaji sebagai seorang doktor yang bertugas di klinik kerajaan.

Maka itu adalah pendapatan gaji beliau.

Gaji merupakan pendapatan aktif yang bersifat tetap. Malangnya, bagi kebanyakan pekerja, gaji sentiasa ada had silingnya. Jika kita ada 2 bos, 1 bos besar dan 1 bos kecil, maka gaji kita pasti lebih kecil. Malah kenaikan gaji pun tidak banyak. Bukannya naik 100%.

Namun gaji adalah pendapatan yang paling asas untuk semua.

2. Pendapatan Dari Bisnes

Pada masa yang sama, beliau juga membuat locum.

Di klinik milik kawan-kawan pada masa tertentu. Maka ini ialah pendapatan dari bisnes beliau.

Bisnes itu terbahagi dua, perkhidmatan atau jual barang. Bisnes perkhidmatan adalah menjual masa dan kepakaran. Bisnes jual barang adalah menjual ‘kotak’ dan lebih bersifat komoditi.

Lebih banyak kita menjual, lebih banyak pendapatan yang dapat diperoleh. Bagi seorang pekerja, bisnes ini dapat dibuat secara part-time. Mulakan bisnes tanpa berhutang. Mulakan bisnes dengan apa di tangan sahaja.

3. Pendapatan Dari Pelaburan

Hasil dari 2 pendapatan sebelum ini, Dr Hans dapat membuat lebih banyak simpanan.

Dr Hans pun dapat menukarkan duit simpanan tunai dalam bentuk harta yang sebenar. Iaitu dengan mula membeli harta-harta produktif. Harta produktif juga dikenali sebagai harta berkembang adalah sejenis harta yang dapat memberikan pendapatan. Pendapatan pelaburan ini bersifat pasif.

Contoh pendapatan dari pelaburan adalah seperti:

  • Dividen dari syarikat-syarikat saham yang dibeli di Bursa Malaysia.
  • Agihan pendapatan dari unit amanah saham.
  • Hasil sewa dari hartanah

Selain dari memperoleh pendapatan seperti ini, harta berkembang ini juga dapat dijual sekiranya perlu.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.