≡ Menu

Bilakah Urusan Harta Pusaka Masuk Ke Mahkamah?

Ramai beri alasan apabila disuruh belajar urus duit dengan betul, “Alah, harta bukan boleh bawa masuk kubur pun.”

Namun, bila tahu sahaja dia adalah salah seorang waris, terus bertelagah dengan waris yang lain untuk merebut harta pusaka yang ditinggalkan.

Apabila berlaku perkara sebegitu, maka Mahkamah diperlukan untuk menyelesaikannya.

Ada beberapa situasi yang menyebabkan waris-waris yang mahu tidak mahu terpaksa juga melibatkan Mahkamah dalam urusan harta pusaka:

Pertikaian Status Waris Yang Memerlukan Pengesahan Dan Perintah Deklaratori

1. Waris Hilang

Salah satu situasi yang sering terjadi adalah apabila di kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka, terdapat waris yang hilang atau tidak dapat dikesan.

Contohnya ada yang pulang ke tanah asal (China, India atau Indonesia) dan hilang berita. Tidak kurang juga yang hilang ketika zaman-zaman komunis mengganas di tanahair. Sudah hilang dan dianggap mati bertahun-tahun lamanya tetapi tidak ada bukti mengenainya.

Dalam situasi sebegini, agensi-agensi yang menguruskan harta pusaka anda anda menasihatkan untuk mendapatkan Perintah Deklaratori untuk Anggapan Kematian (di bawah seksyen 108 Akta Keterangan 1950) daripada Mahkamah (sivil) terlebih dahulu untuk melengkapkan proses dokumentasi sebelum permohonan perbicaraan harta pusaka dimulakan.

2. Itu Harta Siapa?

“Abang Long, arwah mak dah beritahu nanti bila saya mati rumah itu saya punya sebab saya yang tolong bayar selama ni!”

Selain itu, campur tangan Mahkamah dalam urusan harta pusaka berlaku apabila terdapat pertikaian status harta (adakah harta milik si mati atau bukan milik si mati?)

3. Benarkah Dia Waris?

“Eh kau tu anak angkat aje tau,”

Selain itu mengenai status waris.

Adakah sekian sekian individu merupakan waris yang berhak terhadap harta pusaka atau tidak berhak?

4. Betulkah Wasiat atau Hibah Itu Arwah Yang Buat?

“Engkau ni pandai-pandai je kata arwah bapak buat hibah bagi harta ni kat adik,”

Boleh jadi juga pertikaian terhadap kesahihan wasiat, wakaf dan deklarasi hibah.

5. Hak Aku Sebagai Isteri (atau isteri-isteri) Dia

Seperti tunggakan nafkah dan juga tuntutan harta sepencarian.

Pertikaian membawa kerumitan

Semakin rumit pertikaian semakin banyak kerja perlu dilakukan, semakin panjang prosedur yang harus dilalui maka semakin tinggi kos guaman. Sebab itulah, kita perlu bermula dengan:

  • Membuat senarai harta
  • Membuat senarai waris

Catat apa yang perlu dicatatkan (terutamanya hutang). Daftar apa yang perlu didaftarkan. Isytihar apa apa yang perlu diisytiharkan.

  • Kalau pinjam katakan pinjam.
  • Kalau hibah katakan hibah.
  • Kalau sekadar pegang amanah, jangan dibuat seperti harta sendiri.

Begitu juga jika ada berkahwin lebih dari seorang dan perkahwinan belum didaftarkan maka perbetulkanlah keadaan.

Jika ada mempunyai anak yang dibela orang, ada membuat wasiat, ada berhutang, ada memegang amanah lebih baik jika disimpan baik-baik bukti-bukti sokongan.

Sering terjadi apabila kematian berlaku tiba-tiba muncul sahaja orang yang mengaku waris. Atau tiba-tiba muncul sahaja orang yang mengaku sebagai pemilik harta yang sebenar.

Sudah Sepakat Pun Masih Masuk Mahkamah, Kenapa?

Sebelum ini saya sudah nyatakan dua agensi untuk menguruskan harta pusaka anda.

Walau bagaimanapun terdapat urusan harta pusaka yang perlu dibuat di mahkamah. Walaupun semuanya ok.

Ini kerana kedua-dua agensi yang saya nyatakan tidak lagi mempunyai bidangkuasa untuk menguruskannya iaitu apabila harta pusaka dengan nilai melebihi RM 2,000,000 (2 juta).

Mahkamah tinggi (sivil) mempunyai bidang kuasa untuk melantik pentadbir dan mengeluarkan perintah pembahagian. Bidangkuasa ini terpakai untuk harta pusaka orang Islam juga.

Bagi urusan kategori ini, secasa asasnya ada dua permohonan yang akan dijalankan. Permohonan pertama adalah untuk melantik pentadbir/pemegang amanah. Dalam permohonan pertama ini pula, akan ada satu permohonan interlokutari untuk melantik penjamin.

Kemudian, barulah permohonan kedua iaitu permohonan untuk perintah pembahagian akan dijalankan. Dalam pembahagian inilah waris-waris yang mempunyai hak terhadap harta pusaka akan dinyatakan bahagiannya. Paling baik, jika sesama waris telah siap-siap berunding terhadap pembahagian harta pusaka.

Waris juga boleh mengemukakan Sijil Faraid yang diperoleh daripada Mahkamah Syariah. Jadi, mahkamah sivil boleh mengeluarkan perintah pembahagian seperti dalam Sijil Faraid sahaja. Untuk menjimatkan masa, prosiding di kedua-dua mahkamah ini boleh sahaja dijalankan serentak.  Ketika membuat permohonan untuk melantik pentadbir, dalam masa yang sama buat juga permohonan untuk mendapatkan Sijil Faraid.

Perintah pembahagian daripada mahkamah sivil adalah perlu kerana perintah inilah yang akan digunakan untuk dikemukakan ketika membuat turunmilik harta pusaka si mati kepada waris-waris kelak.

Begitulah sedikit sebanyak gambaran ringkas yang boleh saya nyatakan dalam laras bahasa orang awam.

Kos Pengurusan Harta Pusaka

Ya, ada kos.

Ia tidak percuma.

Mendengar sahaja tentang Mahkamah tentu sahaja sudah terbayang di fikiran tentang kos guaman yang mahal. Saya selaku peguam pun tidaklah hendak beriya-iya menafikan hal ini. Memang, kos agak tinggi. Pertama kerana memang begitulah kos servis profesional. Keduanya, yuran pemfailan di mahkamah pun tidaklah begitu murah.

Namun demikian, dengan pengetahuan mengenai pengurusan harta yang baik ketika hidup mungkin boleh membantu meringankan beban untuk menguruskan harta pusaka oleh waris-waris.

Bagi si mati yang memiliki polisi insuran/takaful, penama yang dinamakan dalam polisi-polisi tersebut boleh menggunakan wang pampasan akibat kematian untuk pengurusan harta pusaka. Penting bagi penama untuk merekod setiap penggunaan wang tinggalan si mati untuk pengurusan harta pusaka supaya bakinya boleh dibahagikan kepada waris-waris dengan cara yang baik.

Sesetengah kejiranan, koperasi atau persatuan/kelab juga kadangkala menyediakan tabung khairat kematian. Bahkan terdapat juga beberapa amalan baik bagi sesetengah ahli keluarga yang membuat tabungan secara bersistem dan ditadbir oleh bendahari yang dilantik ahli keluarga. Selain untuk mengadakan majlis ‘reunion’ tabung keluarga bolehlah juga digunakan untuk perbelanjaan menguruskan harta pusaka.

Dalam perkongsian kali ini saya menyebut tentang penama, pentadbir dan pemegang amanah.

  • Apakah tugas dan tanggungjawab mereka dalam urusan harta pusaka?
  • Sejauh mana kuasa yang ada pada mereka?
  • Dan apa pula perlu dilakukan jika mereka pula yang meninggal?

Itu saya akan kongsikan dalam tulisan seterusnya.

*Nota ini disediakan oleh Cik Puan Naziatul Azrin, seorang peguam.