≡ Menu

Cara Beli Hartanah Tak Guna Slip Gaji

Real Estate Investment Trust (REIT) membolehkan kita ‘membeli’ hartanah semahal Petronas Twin Tower pada harga mampu milik. Tak perlu slip gaji. Mudah cair kalau rasa dah nak ambil untung.

REIT dalam bahasa Melayu ialah Amanah Pelaburan Hartanah. Untuk mula membeli REIT maka kena ada akaun CDS / dagangan saham. Sebab cara nak beli adalah sama dengan beli saham.

Sekarang Semua Orang Mampu Beli Petronas Twin Tower

Antara contoh REIT yang dapat dijual beli menerusi Bursa Malaysia ialah KLCC REIT. KLCC REIT memiliki PETRONAS Twin Towers, Menara ExxonMobil dan Menara 3 PETRONAS.

KLCC REIT bergabung dengan KLCC Property Holdings Berhad jadi pula stapled securities. Ho ho ho (Apa pula tu stapled securities tu Pakdi?). KLCCP pula memiliki Suria KLCC, Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, Kompleks Dayabumi dan 33% kepentingan dalam Menara Maxis.

Sekiranya pergi bank dan beritahu kepada pegawai bank yang kita nak beli Petronas Twin Tower. Belum sempat kita habis cakap barangkali dia dah halau kita keluar. Gila apa agaknya datang bank beritahu nak beli Petronas Twin Tower.

Tapi sekiranya kita ada akaun CDS. Ada share trading account. Beritahu kepada remisier yang jaga akaun kita. Kata kita nak beli Petronas Twin Tower, mesti dia dapat bantu kita. Mula-mula remisier tu akan betulkan, bukan beli Petronas Twin Tower, tapi REIT yang bernama KLCC REIT.

Setiap REIT Beli Jenis Hartanah Yang Berbeza

Ada lagi REIT yang lain.

  • Yang memilki rangkaian hospital KPJ macam Al-‘Aqar Healthcare REIT.
  • IGB REIT yang memiliki MidValley dan The Gardens.
  • Pavilion REIT yang memilki Pavilion Mall, Pavilion Tower dan Da Men Mall.
  • Amanahraya REIT ada Intermark.

Dan banyak lagi REIT yang tersenarai lain yang memilki pelbagai portfolio hartanah.

Cara Melabur REIT

Nak beli REIT sama macam nak beli saham.

Saya rasa tak perlu lah nak cerita tentang teknikal jual beli REIT. Tahu beli saham maka tahu lah cara nak beli REIT.

Cuma saya nak kongsi sebab-sebab kenapa orang beli REIT.

Kenapa Beli REIT?

Jawapannya ialah REIT dapat menjana dividen yang konsisten. Disebabkan struktur cukai, maka REIT-REIT di Malaysia sebolehnya akan buat dividend payout sampai 90% dari hasil pendapatan yang mereka peroleh.

Walaupun begitu, REIT bukanlah sejenis harta yang ‘tidak boleh rugi’. Sama seperti pelaburan lain, REIT juga ada risiko yang sama macam membeli hartanah fizikal. Lebih spesifik risiko hartanah komersil.

Maka dalam menentukan REIT yang sesuai bukanlah semudah yang kita rasa sebab kita juga perlu tahu sedikit sebanyak tentang ‘masa hadapan’ sesuatu sektor.

  • Pejabat kelas A
  • Pasar raya
  • Hospital
  • Hotel
  • Gudang
  • Parking space
  • Dan seterusnya.

Misalnya, kalau tiba-tiba Petronas Twin Tower ‘kosong’, Suria KLCC tidak ada pengunjung yang ramai. Sekarang barangkali nampak macam mustahil. Tapi siapa tahu bukan. Langit bukan sentiasa cerah.

Apa yang saya cuba nak sampaikan ialah begitulah risiko yang perlu kita ambil tahu. Bukan terus hentam kromo sahaja. Asalkan ia adalah REIT kita pun beli. Tanpa ambil kira faktor-faktor bisnes dan ekonomi yang dapat mempengaruhi kadar sewa sesuatu premis yang dikendalikan oleh REIT itu tadi.

Beli REIT Yang Kita Faham

Hospital tak sama dengan pasar raya.
Hotel tak sama dengan ruang pejabat.

Jadi lepas ni kalau kawan-kawan kita asyik tayang rumah yang mereka ada, kita pun boleh tayang juga pasar raya yang kita ada.

Mereka yang beli kondominium kena berhadapan dengan karenah penyewa, kita yang beli REIT dah siap-siap serah hal pengurusan penyewa pasar raya kepada pengurusan REIT. Pandai-pandailah management setelkan hal penyewa. Ho ho ho.

Cuma janganlah pula alihkan pasu pula di dalam bangunan “kita” tu nanti!

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.