≡ Menu

Bayar Hutang Atau Labur Duit Dulu?

Oleh: Suzardi Maulan, 1 Januari 2016

Bila tuan sudah mempunyai rumah, kereta dan kerjaya yang stabil maka antara persoalan kewangan yang timbul ialah ada duit lebih patut buat bayar hutang atau duit lebih tadi dilaburkan?

Berikut ialah 5 pertimbangan yang tuan dapat buat

1. Debt-Free vs Financially Free

Dah habis bayar hutang namanya debt-free. Tapi belum tentu sudah financially free. Apakah perbezaannya ?

Dalam bahasa mudah, individu yang financially free tak tengok dah harga makanan pada menu. Pesan sahaja nak makan apa. Sebab dia tahu duit bekerja keras untuk dia.

2. Bebas Hutang Cuma Salah Satu Matlamat Kewangan

Apa yang lebih penting ialah kita mampu bayar hutang mengikut jadual. Tak semestinya bebas hutang 100 peratus sekarang juga.

Ini kerana pendapatan kita adalah terhad. Masa kita adalah terhad. Sekiranya duit tunai kita habis semua bayar hutang maka apa yang tinggal untuk dilaburkan?

3. Habis Bayar Hutang Belum Tentu Boleh Retire

Nak retire kita kena ada sumber pendapatan lagi selain dari duit gaji. Macam kita memperoleh dividen 100 ribu ringgit setahun dari saham. Dividen tadi sahaja sudah cukup untuk ganti gaji.

Kalau cuma kejar untuk bayar hutang tapi tak buat tabung persaraan, maka macam mana nak berhenti kerja?

4. Tak Perlu Takut Mati Dengan Hutang

Kita tak perlu takut mati. Tapi kita perlu bersedia untuk mati. Ini kerana kita tak tahu bila kita nak mati.

Salah satu cara bersedia untuk mati ialah buat perancangan bayar hutang selepas mati. Takaful adalah antara alat kewangan yang sesuai. Kemudian lantik pihak ketiga yang amanah untuk melaksanakan tugas tersebut.

5. Hutang Baik vs Hutang Jahat

Kenal pasti apa itu hutang yang jahat dan cari jalan menghapuskannya dengan segera! Itu betul.

Hutang-hutang yang baik bayar sahaja ikut jadual, pastikan hutang tadi dapat dibayar selepas meninggal dunia dan laburkan duit lebih itu dulu.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.