≡ Menu

Apa Itu Aset?

Aset. Teknikal.

Harta. Lebih mudah faham.

Apa itu aset? Kebanyakan orang akan menggunakan definisi Robert T. Kiyosaki mengenai aset seperti dalam buku Rich Dad Poor Dad iaitu apa-apa yang masuk duit dalam poket adalah aset.

Namun baru-baru ini Warren Buffett memberikan definisi aset yang lebih baik dan barangkali yang lebih tepat. Beliau memecahkan aset kepada 3 jenis:

1. Aset matawang
2. Aset tidak produktif
3. Aset produktif

Saya lebih bersetuju dengan pandangan Warren Buffett itu. Sebabnya mudah. Apa yang disebut itu sama / hampir dengan prinsip zakat. Secara umumnya harta yang mempunyai taksiran zakat ada 5.

1. Matawang, emas dan perak
2. Bisnes
3. Binatang ternakan jenis al-an’am.
4. Hasil pertanian makanan ruji.
5. Hasil galian bumi

Apabila kelima-lima jenis harta ini menjadi ‘zakatable item‘ maka nilainya diperakui dalam Islam.

Siapa-siapa yang mengumpul 5 harta ini & jenisnya maka dia wajib membayar zakat tertakluk nisab dan haul . Dalam Islam orang kaya sahaja yang membayar zakat. Dan pengiraan zakatnya tertakluk kepada jenis harta tertentu.

Jadi mari kita lihat pada hari ini aset-aset tadi boleh dikembangkan kepada harta-harta yang baru pula iaitu:

i. Aset matawang – medium pertukaran
ii. Aset tidak produktif – hasil galian bumi termasuklah emas dan perak.
iii. Aset produktif – bisnes, penternakan, pertanian, hartanah & jenisnya dan saham dan jenisnya.

Apakah Kelemahan Definisi Aset Robert T Kiyosaki ?

Jika kita berpegang pada definisi Kiyosaki seperti mana yang sering diulang dalam buku-buku beliau, kita akan berdepan dengan sedikit kekeliruan.

Emas, perak dan matawang tidak dapat berkembang dengan sendirinya. Matawang, emas, perak misalnya tidak memberikan pendaptan atau aliran tunai  (cashflow) seperti dividen, bonus. Justeru, matawang, emas & perak dapat menjadi liabiliti berdasarkan definisi ini.

Namun dalam Islam emas, perak dan matawang termasuk duit kertas ada kiraan zakat tersendiri. Maka, jika ada perbezaan definisi seperti ini sudah tentu saya memilih berpegang kepada konsep harta berasaskan prinsip zakat.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.