≡ Menu

Pengalaman Urus Tanah Wakaf; Soalan Mufti Buat Saya Terdiam Sekejap

Oleh: Suzardi Bin Maulan (Pakdi), 1 April 2018

1. Satu bidang tanah dari almarhumah nenek turun ke almarhum bapak saya. Tanah itu dekat dengan jalan besar. Sebelah masjid lama.

2. Tanah tersebut almarhumah emak dan kami adik-beradik setuju untuk diwakafkan. Mudah-mudahan almarhum bapak dapat pahala berterusan sampai hari kiamat. Lama dah persetujuan ini dibuat. Dah maklum kepada masjid dan orang kampung pun. Cuma biasalah, pakai “wakaf mulut,”

3. Jadi apabila saya ambil alih fail pusaka almarhum bapak, saya dapati hal ini belum disempurnakan secara pentadbiran wakaf mengikut undang-undang sedia ada. (Dalam geran ada nama aku. Hehehe 😈 ) Sedangkan orang kampung semua tahu tanah itu sudah jadi tanah wakaf.

4. Maka saya pun berurusanlah dengan pejabat tanah dan Perbadanan Wakaf Selangor. Apa yang menarik adalah ada orang dari pejabat agama / wakaf yang menelefon.

+ Encik Suzardi, Tuan Mufti tanya. Kalau encik wakafkan tanah ni, encik masih ada harta, rumah lain yang tinggal tak?

5. … Terdiam 3 saat. Sebab nak elak yang telefon tu jadi pening, saya tak maklumkan cerita 30 tahun lepas . Nama saya memang atas geran tapi saya bukan pemilik tanah. Cuma pegang amanah atas persetujuan adik-beradik. Jadi, saya pun terus jawab ringkas.

+ Ya, saya ada rumah dan harta lain.

6. Mula-mula saya tertanya juga, kenapa Sahibus Samahah Tuan Mufti Selangor sendiri bertanyakan soalan itu perlu bertanya dalam mesyuarat jawatankuasa sebelum membenarkan sesuatu permohonan wakaf.

7. Rupa-rupanya itu juga yang berlaku terhadap Saad bin Abi Waqqas. Apabila nak berwasiat harta 2/3 untuk tujuan sedekah, Nabi tak bagi 2/3. Malah 1/2 pun tak boleh. Nabi cuma benarkan sampai 1/3 sahaja. Itu pun Nabi kata dah banyak. Sebab tinggalkan waris dalam keadaan berharta itu lebih utama.

8. Tuan puan, berbuat sedekah, wakaf itu memang baik. Sampai sahabat-sahabat Nabi berlumba-lumba nak buat. Tengah sakit teruk pun ada Sahabat terus fikir nak buat sedekah banyak-banyak.

9. Tetapi Nabi beritahu Saad supaya tinggalkan harta secukupnya untuk waris. Itu adalah lebih baik. Malah, Nabi pesan juga dalam hadis yang sama suami yang suapkan makanan ke mulut isteri, juga baik! Mudahnya nak dapat pahala.

10. Nafkah wajib. Sedekah sunat. Wakaf sunat. Maka yang lebih utama ialah bagi anak, isteri makan dulu, kemudian baru tolong orang lain. Begitulah Islam sebenarnya dah lama ajar macam mana nak buat financial planning.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.