≡ Menu

Ambil Takaful Untuk Beri Pada Anak? Baca Ini Dulu

Pakdi, adakah manfaat kematian takaful / insurans menjadi harta pusaka?

Jawapannya adalah it depends. Manfaat yang diterima oleh waris tadi boleh jadi harta pusaka, atau, boleh juga tak jadi harta pusaka.

Semuanya bergantung kepada kepada apa yang pemilik polisi buat semasa masih hidup.  Pemilik polisi dapat memilih sekurang-kurangnya satu (1) dari tiga (3) cara berikut:

  • Penamaan (Nomination)
  • Hadiah (Hibah)
  • Surat Ikatan Amanah (Trust)

Terpulanglah kepada apa yang kita hasratkan atau apa keperluan kita apabila mengambil polisi tersebut. Jadi, untuk ibu ayah yang nak lindungi keperluan anak-anak mereka perlu faham betul-betul perbezaan antara 3 cara itu tadi.

1. Nomination

Bila Khuda menamakan isterinya Kak Limah sebagai penama, maka Kak Limah adalah pemegang amanah sahaja.

Manfaat yang diterima selepas kematian Khuda menjadi harta pusaka yang perlu diuruskan sama ada dengan merujuk wasiat, jika ada pesanan yang ditinggalkan atau terus dibahagikan berdasarkan faraid.

Wasiat pesanan tidak legally binding. Waris yang berhak dapat menolak pesanan tersebut. Sekiranya waris-waris tadi tidak bersetuju dan tak mempunyai kata sepakat, maka agihannya mengikut hukum faraid.

Jadi mesti tahu siap-siap siapa waris kita yang berhak mewarisi dengan membuat profil faraid cepat-cepat.

2. Hibah Takaful

Bila Khuda membuat hibah manfaat takaful kepada isterinya Kak Limah, maka Kak Limah mendapat manfaat tersebut. 100 peratus.

Maka terpulanglah kepada Kak Limah nak buat apa dengan duit yang diterima kelak. Tak ada siapa boleh memaksa Kak Limah nak bahagi dengan cara lain sebab duit itu sudah jadi harta dia. Kak Limah nak belanja semua untuk beli mekap, ikut dia lah. Dah itu duit dia.

Jadi sekiranya Khuda memang nak bagi semua dekat Kak Limah memang sesuai sangatlah. Tapi sekiranya Khuda bisik-bisik atas katil beritahu Kak Limah, “Nanti abang Khuda mati, jangan lupa beri separuh hibah takaful dekat anak tiri awak tu tau. Abang Khuda percaya Limah sepenuh hati.”

Ada risiko Kak Limah tak bagi pun sesen pun dekat anak tiri dia.

3. Membuat Takaful Trust

Bila Khuda membuat takaful trust dengan menamakan Kampung Pisang Trustee (corporate trustee) sebagai pemegang amanah, maka penerima manfaat takaful tadi adalah bergantung kepada apa yang dinyatakan dalam trust itu tadi

Pemilik polisi dapat menyatakan hasrat dalam surat ikatan amanah supaya gunakan manfaat takaful tadi seperti ini (contoh):

  • Gunakan untuk bayar hutang dahulu.
  • Selebihnya diberikan kepada anak yang masih belajar.
  • Selepas anak terakhir habis belajar, bakinya jika masih ada baru lah dibahagi kepada semua anak secara sama rata.

Bila buat takaful trust maka hati pemilik polisi (settlor) dapat jadi lebih tenang sebab pesanan tadi dapat dilaksanakan sepenuhnya. Berbanding dengan penamaan dan disusuli dengan wasiat pesanan.

Melalui takaful trust juga kita dapat nyatakan hasrat yang spesifik untuk dilaksanakan selepas kematian kita tanpa rasa was-was. Ini kerana kita melantik corporate trustee dan bukannya individu.

Nomination, Hibah atau Trust?

Jadi, mana yang terbaik?

Semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. Apa sebenarnya matlamat perlindungan kewangan yang kita nak capai semasa ambil takaful tu dulu?

Oh ya, jangan menamakan anak bawah 18 tahun dalam nomination atau sebagai penerima hibah untuk mengelakkan isu ‘harta beku’. Hasrat di hati nak protect financial interest anak, tapi nanti takut tak kesampaian.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.