≡ Menu

‘A’ Student Sila Lupakan Impian Memulakan Bisnes Sendiri

Anda sentiasa dapat straight A’s dalam UPSR, PMR, SPM?
Anda sentiasa masuk dalam senarai penerima anugerah dekan setiap semester?
Anda tidak pernah repeat paper dalam mana-mana subjek peperiksaan?

Jika anda tergolong dalam kategori pelajar yang lebih banyak ‘A’ dari gred-gred lain, artikel ini adalah untuk anda. Saya akan kongsikan rahsia untuk jadi kaya.

Rahsianya adalah …

  • Jangan buat bisnes sendiri.
  • Jangan mulakan bisnes dari zero.
  • Jangan buang masa baca buku bisnes from zero to hero dengan harapan nak jadi macam mereka.

Cara untuk anda jadi kaya adalah dengan bekerja di syarikat yang besar, mendaki tangga korporat sehingga dapat jadi CEO atau pengurusan kanan dan bila dah sampai usia 50-an semoga dapat jadi pengarah syarikat berhad.

peperiksaan

Cuba ingat kembali zaman anda bersekolah dahulu. Kenapa anda dapat A dalam sesuatu mata pelajaran?

Bukankah anda berjaya menulis balik apa yang diajar di kelas dan apa yang ada dalam buku teks?

  • Sekiranya anda menulis Malaysia mencapai kemerdekaan pada Tahun Gajah; adakah anda mendapat A dalam subjek Sejarah?
  • Sekiranya anda menjawab soalan, “Di manakah terletaknya negeri Pahang?” dan anda menjawab, “Tangga tercorot liga Premier,” adakah anda mendapat A dalam subjek Geografi?
  • Sekiranya anda kata 89 adalah nombor yang lebih besar dari 133, adakah anda mendapat A dalam Matematik?

Fikirkan baik-baik.

Proses ini telah sebati dalam hidup selama kira-kira 16 tahun. Jawab soalan dengan betul. Ikut apa cikgu cakap. Ingat nota. Hafal buku teks. Minum air rebusan nota masa mengulangkaji.

Anda tidak berani buat salah. Anda tidak berani jawab selain dari skema jawapan. Anda hanya tahu ikut arahan. Tak pernah kena marah cikgu disiplin dan masuk mahkamah universiti. Budak kesayangan cikgu. Budak kesayangan pensyarah. Andalah bintang. Wow!

Budak ‘C’ kalau dapat ‘A-‘ menangis. sujud syukur dan belanja kawan-kawan makan kerana dapat juga akhirnya gred A sepanjang usia dia jadi mahasiswa. Anda jika dapat ‘A-‘ juga menangis tetapi disusuli dengan merayu-rayu dengan pensyarah supaya dapat A+.

Jadi, kalau sifat ini sudah sebati dalam diri anda jangan memulakan bisnes sendiri.

Anda tidak mampu berfikir di luar buku teks. Anda tidak mampu keluar dari tradisi industri. Anda hanya tahu ikut sistem yang stabil.

Sedangkan bisnes dari zero ibarat orang yang hanya ada rakit tapi berangan nak berlayar ke lautan luas. Orang kata jangan, tapi dia nak juga berlayar dengan rakit. Dalam perjalanan tu, dia bina sedikit demi sedikit kapal yang lebih besar. Kalau dibuatnya ada ombak besar, ribut taufan melanda ketika kapal tersebut sedang dibina, dia tenggelam. Nasiblah.

Bisnes dari zero adalah mengenai survival. Lagi banyak buat silap lagi bagus. Lagi cepat buat salah lagi baik. Lagi gila jawapan kita bagi dalam soalan-soalan dalam bisnes yang muncul lagi bagus.

Satu-satunya ilmu bisnes yang betul adalah duit masuk lebih dari duit keluar. Selain dari itu, entah. Boleh jadi sesuai dengan bisnes kita, boleh jadi tak boleh pakai untuk bisnes kita. Kena cuba test try.

  • Walmart jual barang murah-murah, untung. Daimler, jual barang dengan harga mahal, untung juga.
  • Coca Cola, barang utamanya adalah Cokeuntung. Nestle, ada lebih 8,000 jenama, untung juga.
  • Zappos, guna strategi masuk pasaran sedia ada, untung. Apple, guna strategi cipta pasaran sendiri, untung juga.

Jadi ‘A’ student pasti gagal menjawab soalan, “Bagaimana nak bina bisnes yang menguntungkan?”

Sebab soalan itu jawapannya tiada dalam buku. Sam Walton pasti memberikan jawapan berbeza dengan Asa Griggs Candler dan apa yang menariknya kedua-duanya betul.

Melainkan anda dapat mengubah sikap yang sebati dalam diri seperti sukar berfikir di luar kotak, tidak berani menyahut cabaran baru  dan tidak mahu menjadi ‘budak nakal’ yang langgar rules & regulations (yang sangat sukar untuk dibuat kerana masih takut buat salah dan takut kepada kegagalan), maka selepas anda berjaya mencapai tangga tertinggi kerjaya, peluang menggandakan pendapatan adalah dengan terlibat dalam bisnes jenis franchise.

Iaitu beli bisnes yang telah berjaya.

Bisnes yang telah ada sistem sendiri. Sistem yang anda tidak berani nak ubah. Sistem yang tidak memerlukan banyak kreativiti, hanya ikut manual operasi. Franchise yang baik menyediakan semuanya untuk anda termasuklah kempen pemasaran.

Jadi, jika anda ‘A’ student jangan buang masa memulakan bisnes sendiri ya!

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.