≡ Menu

7 Tips Kewangan Untuk Individu 5 Series

Bila dah cecah usia 50 tahun maka tinggal lagi 10 tahun nak bersara. Tapi hari ini kita ada Perdana Menteri berusia 93 tahun. Ho ho ho.

#1 Cukupkan Tabung Persaraan

Pastikan tabung persaraan adalah on track supaya nanti cukup untung menampung perbelanjaan paling kurang untuk tempoh 20 tahun selepas dah bersara nanti.

Kajian mendapati ahli KWSP berusia 54 tahun ke atas memiliki kurang RM50,000 dalam simpanan mereka.

#2 Sediakan Tabung Kesihatan

Rakyat Malaysia dijangka dapat hidup antara usia 72.5 tahun (lelaki) sehingga 77.4 tahun (perempuan).

Maka antara perkara yang perlu dilakukan sebelum usia persaraan adalah menilai balik polisi-polisi takaful yang telah dilanggan. Perkara yang perlu kita tahu adalah tempoh perlindungan polisi takaful sedia ada berkuat kuasa sampai usia berapa tahun?

Jadi adalah amat penting untuk mempunyai tabungan kesihatan seperti ini untuk menampung perbelanjaan perubatan sekiranya jatuh sakit.

#3 Lantik Pentadbir-Pentadbir Harta

Berdasarkan jangkaan hayat penduduk Malaysia di atas, bagi lelaki maka ada lebih kurang 13 tahun dan wanita adalah 17 tahun untuk terus hidup selepas bersara usia 60 tahun.

Dalam erti kata lain, secara alami usia 60 tahun ini sudah hampir dengan kematian. Walaupun begitu, kematian ini tidak mengenal usia. Jadi semua orang harus bersedia menghadapi mati. Antara cara untuk menghadapi mati ialah melantik mereka yang:

  1. Dapat langsaikan hutang-hutang bagi pihak kita nanti
  2. Mampu uruskan pembahagian harta selepas mati

Pada usia ini sepatutnya sudah betul-betul tahu apakah yang dimaksudkan dengan penama, benefisiari, pentadbir, wasi, pemegang amanah dan lain-lain.

#4 Buat Tabung Pelaburan Lepas Bersara

Sekiranya dilihat dari sudut lain, umur 60 tahun masih muda 20 tahun dari umur 80 tahun.

Jadi melabur pada usia persaraan masih perlu dilakukan. Cuma barangkali apa yang berbeza ialah melabur pada usia ini tidak seagresif zaman muda.

#5 Sediakan Duit Melancong

Inilah masa yang dapat dimanfaatkan untuk melihat negara orang setelah berpuluh tahun bekerja.

Berjalanlah ke mana-mana. Apa yang penting ada tabungannya.

#6 Jangan Tambah Hutang

Boleh melabur.
Boleh melancong.
Boleh berwakaf.

Tapi janganlah tambah hutang pada usia persaraan. Hutang yang masih berbaki itu boleh lah mula selesaikan cepat-cepat sikit.

#7 Wakafkan Harta Yang Lebih

Menjelang usia pencen, hutang-hutang pun semakin berkurang. Anak-anak pun sudah membesar dan dah ada harta sendiri. Selalunya waktu ini pun semakin banyak kaki melangkah ke masjid dan surau. Maka sebagai bekalan, sudah tentu kita dapat merancang untuk memastikan ada pahala yang berterusan untuk kita dalam kubur nanti.

Jadi rumah yang ada dapat diwakafkan. Sebahagian tunai yang ada dapat disedekahkan. Tak semestinya bagi semasa hidup, merancang untuk melakukannya selepas meninggal dunia pun boleh.

Penulis: Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang investor, financial planner & trainer – pelaburan saham untuk persaraan.