≡ Menu

6 Peluang Pelaburan Di Bursa Malaysia

Mahukah tuan tahu yang sebenarnya bukan saham sahaja yang ada didagangkan di Bursa Malaysia?

Benar, yang paling ramai sebut-sebut ialah saham. Lagi pun namanya dulu adalah Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Tetapi sebenarnya ada pelbagai lagi pelaburan yang ada di Bursa Malaysia.

1. Stocks (Saham)

Ini adalah pelaburan yang paling popular di Bursa Malaysia.

Beli saham syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Catatan lanjut tentang pelaburan saham dapat dibaca di sini:

Nota Saham Untuk Pelabur Baru

2. Futures & Options (Pasaran hadapan & opsyen)

Derivatif.

Antaranya pasaran hadapan komoditi, kewangan dan ekuiti.

Pasaran hadapan komoditi melibatkan kelapa sawit (FCPO), emas (FGLD) dan yang terbaru (2016) bijih timah (FTIN). Untuk pasaran hadapan kewangan adalah seperti 3 Month Kuala Lumpur Interbank Offered Rate (KLIBOR) Futures (FKB3). Manakala pasaran hadapan ekuiti melibatkan KLCI futures (FKLI) dan single stock futures (SSF).

Nota mengenai pasaran hadapan ini ada ditulis di sini:

Apa Itu Pasaran Hadapan?

Opsyen, secara teori saya tahu tetapi saya tidak pasti aplikasinya di Bursa Malaysia walaupun ianya ada diniagakan. Justeru, saya tidak dapat menceritakan lanjut mengenai hal ini.
.

Untuk mula berurusniaga dalam pasaran hadapan, satu akaun yang berbeza perlu dibuka menerusi mana-mana syarikat broker pasaran hadapan yang sah & berlesen. Tidak boleh guna akaun yang sama dengan akaun pembelian saham.

3. Warrants

Warrant adalah hak untuk membeli saham syarikat pada harga yang spesifik pada waktu yang spesifik.

Contohnya syarikat BIMB Holdings ada mengeluarkan warrants bagi tujuan menambah modal perniagaan. Memandangkan BIMB Holdings adalah syarikat yang patuh Shariah, maka warrants yang dikeluarkan oleh BIMB Holdings juga adalah patuh Shariah. Warrants yang sebegini sahaja yang berstatus patuh Shariah.

Manakala warrants yang dikeluarkan oleh mana-mana bank pelaburan, juga dikenali sebagai structured warrants merupakan instrumen yang tidak patuh Shariah kerana hak tersebut tidak dapat ditukarkan menjadi saham syarikat.

4. Exchange Traded Fund (ETF)

Ia adalah seperti unit trust, tetapi diniagakan di Bursa Malaysia.

Ya, unit trust yang didagangkan macam saham syarikat-syarikat awam berhad. Kena ada akaun sama macam nak beli saham.

ETF merupakan satu alternatif yang baik untuk individu yang mahu mempunyai satu portfolio pelaburan yang defensif.

Apa Itu Exchange Traded Fund (ETF)?

5. Real Estate Investment Trust (REIT)

Ingat tak video makcik alihkan pasu di pejabat ?

Jadi itulah cara paling mudah untuk menerangkan apa itu REIT.

Macam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) tapi tidak serupa. Tetapi ada banyak persamaan. Atau dalam bahasa lain, “unit trust” yang beli hartanah. Nak melabur dalam REIT sama seperti nak melabur dalam saham, ETF. Perlu ada akaun CDS. REIT juga adalah satu pilihan yang baik untuk pelabur defensif.

6. Fixed Income

Pelaburan yang dapat memberikan pendapatan tetap.

Setakat hari ini ada 2 jenis yang didagangkan.  ICULS dan bon / sukuk. Nak beli sama macam nak beli saham, iaitu kena CDS / trading account yang dibuka dengan mana-mana syarikat broker yang berlesen.

i. Irredeemable Convertible Unsecured Loan Shares (ICULS)

Ia adalah produk yang mempunyai ciri-ciri ekuiti dan bon.

Pemiliknya menerima dividen tetap sama seperti bon dan apabila matang pemilikannya berubah menjadi ekuiti i.e. saham.

Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SC) pada 30 Julai 2015 dan 27 Ogos 2015 telah membincangkan produk yang dikenali sebagai Redeemable Convertible Unsecured Islamic Debt Securities (RCUIDS) yang menyamai sifat ICULS. Apa yang dapat difahami, ICULS (konvensional) ini dapat distrukturkan secara patuh Shariah melalui RCUIDS.

ii. Exchange Traded Bonds and Sukuk (ETBS)

Bon Islam juga dikenali sebagai sukuk.

Sukuk ini adalah lebih popular di kalangan pelabur institusi kerana dapat memberikan pendapatan yang lebih tetap berbanding saham yang volatile sifatnya. Bermula 2013 pelabur runcit telah pun dapat membeli sukuk secara terus.

DanaInfra Retail Sukuk; Bon Patuh Shariah Pertama Untuk Pelabur Runcit di Malaysia

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.