≡ Menu

3 Perkara Yang Pembeli & Pelabur Hartanah Selalu Terlepas Pandang

Semua orang seronok beli rumah. Mana ada yang menangis masa tanda tangan surat perjanjian beli rumah. Seronok seronok juga. Lepas itu kena mula urus hal ehwal rumah tersebut sampai ke hujung nyawa. Bab tu ramai yang tak berapa nak ambil tahu.

#1 Tak Tahu Dengan Tepat Sekiranya Meninggal Dunia Nanti Rumah Itu Milik Siapa

Kita kena tahu siapa waris-waris kita. Senarai waris kita memang ramai. Tapi dari kalangan waris-waris itu, ada yang berhak mewarisi harta dan ada yang tidak berhak langsung.

Rumah Suami = Rumah Isteri?

Isteri tidak mewarisi 100 peratus pemilikan rumah atas nama suami secara automatik. Dan sebaliknya. Ini kerana dalam Islam ada undang-undangnya yang tersendiri dalam urusan harta selepas kematian seseorang.  Jadi sekiranya tuan puan:

  1. Pasangan suami-isteri yang beli rumah secara joint-name atau membina portfolio pelaburan hartanah bersama-sama.
  2. Tak ada anak.
  3. Belum ada anak lelaki.
  4. Ada ambil anak angkat.

Maka ambillah langkah pertama dengan membuat profil faraid. Supaya tahu siapa sebenarnya pewaris harta.

Kepada tuan puan yang belum beli rumah, tetap kena buat profil faraid. Fahami kesan perwarisan yang ada untuk suami dan isteri. Selepas itu baru buat keputusan untuk membuat pembelian rumah secara joint name, joint financing atau beli atas nama seorang sahaja.

#2 Tak Ambil Takaful Rumah Secukupnya Menyebabkan Kalau Meninggal Dunia Nanti Masih Ada Hutang Rumah

Di Malaysia kita ambil salah satu dari dua takaful ini bila beli rumah:

  • Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT)
  • Mortgage Level Term Takaful (MLTT)

Jadi semak semula dokumen MRTT / MLTT. Pastikan tempoh perlindungan takaful itu tadi adalah sama dengan tempoh pembiayaan.

Kalau tak sama tempoh itu bermaksud rumah tadi selepas habis tempoh takaful dah tak ada lagi perlindungan hutang. Macam-macam situasi di luar jangka dapat berlaku.

Dalam situasi tersebut, bila suami meninggal dunia dan meninggalkan sebuah rumah, isteri tetap kena terus bayar hutang rumah macam biasa. Kalau tak bayar nanti ada isu dengan bank pula. Nak jadi lebih drama ada pula waris lain menuntut.

Maka takaful rumah yang cukup dapat membantu kita selesaikan banyak perkara semasa masih hidup.

#3 Tak Pasti Kaedah Perwarisan Rumah Yang Ada

Niat seorang suami nak ada rumah sendiri seterusnya untuk memastikan isteri dan anak-anak ada tempat perlindungan kalau jadi apa-apa adalah baik. Tetapi berniat sahaja tak cukup.

Sebagai Muslim, kita kena tahu apakah itu:

  • Faraid
  • Wasiat
  • Hibah mutlak, bersyarat, amanah
  • Wakaf
  • Trust

Sebagai contoh, hibah. Ini merupakan cara beri harta secara kasih sayang dari seorang ibu yang memiliki rumah, misalnya, kepada anaknya.

Masalah dengan hibah adalah rumah tadi mestilah tidak mempunyai sebarang sekatan lain. Unencumbered properties sahaja. Ini adalah undang-undang yang digunakan di Malaysia.

Contoh hartanah yang ada sekatan (encumbered) ialah rumah yang masih ada hutang dengan bank. Untuk menjaga kepentingan creditor, bank mempunyai cagaran atas geran rumah tadi.

Bagi pembeli / pelabur hartanah yang masih muda, dapat dibilang dengan jari jumlah mereka yang dah habis bayar hutang rumah sepenuhnya. Jadi, untuk membuat hibah atas rumah / hartanah bercagar ini ada isu tersendiri.

Memang ada peguam / pihak yang menawarkan menyediakan dokumen hibah rumah bercagar tetapi tuan / puan perlu fahami risiko yang diambil kerana betul-betul kerana belum ada undang-undang bertulis dan seragam tentang hal ini.

Belum Ada Penyelesaian Komprehensif

Sehingga hari ini belum ada penyelesaian yang komprehensif tentang bagaimana umat Islam dapat membuat estate planning yang efektif. Barangkali ini juga adalah penyebab kenapa umat Islam ada harta beku berjumlah lebih dari 60 bilion ringgit.

Inilah realitinya. Takut-takut niat / objektif asal membeli atau melabur rumah ini akhirnya tidak dapat dicapai kerana tak begitu memahami kekangan yang ada.

Penulis: Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang investor, financial planner & trainer – pelaburan saham untuk persaraan.