≡ Menu

3 Langkah Buat Tabung Pendidikan Anak

Seronok.

Apabila bersalam dengan tuan ramah ada ‘angpau’ raya.

Itulah pengalaman lebih 20 tahun lepas. Menziarah rumah orang. Makan kuih sikit. Minum air sikit.

“Jom balik…”

Tangan dihulur. Orang beri takkan nak tolak kan. He he he.

Barangkali kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira ketika musim hari raya kerana adanya budaya memberi duit raya dalam masyarakat kita kepada mereka.

Justeru, sebagai ibu bapa kita mesti mengajar anak-anak kita menyimpan sebahagian besar duit raya yang mereka dapat untuk kebaikan mereka apabila usia mencecah 18 tahun nanti. Sekurang-kurangnya kita telah menyediakan tabung pendidikan.

Labur 50 Ringgit Sebulan

Sekiranya kita memperuntukkan setiap bulan RM 50 seorang untuk anak-anak kita sebagai simpanan mereka dalam produk kewangan yang memberikan pulangan 6% setahun, maka 18 tahun nanti jumlah simpanan bakal menjadi RM 19,656.

Ini belum kita campur dengan “bonus tahunan” yang mereka dapat setiap hari raya.

Berikut ialah apa yang ibu bapa dapat buat:

1. Buka Akaun Pelaburan Khas

Beberapa bulan.

Lepas anak kita lahir.

Bukalah akaun simpanan yang khusus macam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau apa-apa produk pelaburan yang bersesuaian lainnya.

2. Tetapkan jumlah simpanan

Simpan duit secara konsisten.

Walaupun sedikit.

Sekiranya 100 ringgit sebulan pula selama 18 tahun dalam akaun yang memberikan pulangan konsisten 6% setahun dapat memberikan hampir 40 ribu ringgit. Maka jika kita menetapkan jumlah yang lebih besar sudah pasti jumlah akhirnya juga makin besar.

Pastikan pasangan kita tahu yang anak kita sudah mempunyai akaun simpanan sendiri untuk memudahkan urusan di kemudian hari.

3. Maklumkan Kepada Dengan Anak

Mulakan seawal mungkin.

Sejak dah pandai mengira dengan baik.

Kemudian pada usia remaja, kita dapat menerangkan tentang simpanan tersebut. Beritahu matlamat simpanan tersebut dan juga waktu mereka dapat menguruskan sendiri duit tersebut.

Ibu Bapa Memegang Amanah Anak

Duit raya yang diberikan kepada anak-anak kita adalah duit mereka.

Kita perlu memastikan kita menjaga amanah menyimpan tersebut sebaik mungkin.

Jika kita telah menunjukkan budaya menyimpan dari awal kepada anak-anak kita, insyaAllah kita telah mempersiapkan anak-anak dengan persekitaran kewangan yang lebih baik.

Zaman kita dahulu barangkali permainan kita adalah pistol buluh, tutup botol, bola yang pemainnya dibuat dari kotak kasut raya, murah. Tetapi zaman anak-anak kita permainannya adalah Wii, PSP, PS2 yang jauh lebih mahal dari permainan kita kecil-kecil dahulu.

Pastikan juga anak-anak kita tahu beza antara aset – liabiliti secepat mungkin.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.