Zakat Pendapatan

Zakat pendapatan merupakan isu yang mempunyai perbezaan pendapat di kalangan ulama. Zakat pendapatan dianggap sebagai mal-mustafad (harta perolehan).  Zakat pendapatan ini telah dibincangkan dengan terperinci oleh Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya Fiqh al-Zakah dan ia merupakan antara ijtihad semasa yang diterima oleh kebanyakan negeri di Malaysia.

Berikut adalah antara kronologi dan keputusan fatwa yang saya ambil dari E-Fatwa.

Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak ke-113 pada 25 Syaaban 1410 bersamaan 22 Mac 1990 kali ke 113 menyatakan hanya wajib setelah cukup tempoh masa (haul) dan kiraan (nisab), dan gaji tidak menepati 2 syarat wajib yang ditetapkan itu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-31 dan Muzakarah Khas yang bersidang pada 9 Dec 1992 memutuskan umat Islam boleh membayar zakat pendapatan.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 menyatakan zakat pendapatan adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

Ini pula merupakan penghujahan dari Majlis Agama Islam Melaka.

Keputusan:

Zakat ke atas pendapatan bagi penggajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Melaka.

Keterangan/Hujah:

HUJAH DAN DALIL

Kewajipan zakat ke atas gaji atau pendapatan adalah berdasarkan kepada dalil Al-Qur’an, hadith Nabi Muhammad sallallahu `alayhi wasallam dan pendapat ulama’, antaranya:

1.    Firman Allah subhanahu wata`ala:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa Terpuji.”

(Surah Al-Baqarah, 2:267)

Dalil ini digunakan bagi kewajipan zakat perniagaan tetapi ia boleh diqiyaskan juga kepada pendapatan dari penggajian berdasarkan kepada lafaz ma kasabtum yang boleh ditafsirkan kepada sebarang bentuk harta yang diusahakan.

2.    Sabda Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam:

Maksudnya:

“Beritahulah kamu kepada mereka bahawa Allah subhanahu wata`ala telah mewajibkan dari sebahagian harta-harta mereka untuk disedekahkan. Diambil dari orang kaya untuk diberi kepada mereka yang faqir”.

(Muttafaq `Alayh)

•    Pendapat Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitab Fiqh Az-Zakah seperti berikut:

1.    Dr. Yusuf Al-Qardhawi menggunakan konsep harta perolehan “al-mal al-mustafad”. Beliau menghuraikan harta seperti itu sebagai apa juga perolehan baru yang diperolehi secara halal. Menurut beliau, di bawah harta perolehan ini termasuklah gaji, pendapatan profesional, pendapatan-pendapatan dari modal yang tidak diperniagakan dan sebagainya.

2.    Sekiranya “harta perolehan” merupakan keuntungan kepada harta yang sebelumnya telah dizakatkan, seperti harta perniagaan, pembiakan ternakan secara profesional dan sebagainya, maka perolehan itu perlu dicampur dengan kumpulan asal dan akan menjadi sebahagian daripadanya dalam perkiraan hawl dan nisab. Ini bermakna segala modal dan keuntungannya dizakatkan secara bersama. Inilah bentuk zakat yang biasa difahami. Sebaliknya sekiranya perolehan tersebut adalah harta yang telah dizakatkan dan belum sampai hawlnya seperti harga jualan hasil tanaman yang telah dizakatkan atau harga hasil ternakan yang telah dizakatkan sebelum itu, maka ianya tidak akan dikenakan zakat pada waktu itu kerana untuk mengelakkan dikenakan zakat untuk kali kedua.

3.    Harta perolehan yang bukan keuntungan pelaburan kepada mana-mana harta yang dimiliki tetapi diperolehi melalui satu cara tersendiri seperti dalam bentuk upah atas apa-apa kerja yang dilakukan, pendapatan-pendapatan daripada modal yang tidak diperniagakan, hadiah, pemberian dan sebagainya adalah dikenakan zakat. Zakat yang diambil dari perolehan ini tidak tertakluk kepada syarat hawl.

•    Sheikh Muhammad Abu Zuhrah berpendapat bahawa gaji dan pendapatan profesional dikenakan zakat sekiranya cukup hawl dan nisab. Beliau tidak menjadikan konsep “al-mal al-mustafad” sebagai asas kepada kewajipan zakat tersebut, sebaliknya menggunakan method “maslahah” sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina `Umar bin Al-Khattab radhiyallahu `anh.

•    Dr. Yusuf Al-Qardhawi walaupun pada peringkat awalnya mengemukakan alasan secara nas dalam konsep “al-mal al-mustafad” tetapi akhirnya beliau kembali kepada konsep “maslahah” seperti yang dinyatakan oleh Sheikh Muhammad Abu Zuhrah. Beliau banyak menyebut tentang keadilan yang perlu ditegakkan dalam soal pembayaran zakat antara para pegawai dan ahli profesional yang mempunyai pendapatan yang besar dan para petani yang mempunyai pendapatan yang kecil.

•    Profesor Madya Dr. Mahmood Zuhdi berpendapat bahawa meskipun nas-nas tidak banyak membantu fatwa mewajibkan pemungutan zakat ke atas gaji dan pendapatan profesional berasaskan kepada konsep “al-mal al-mustafad”, namun maslahah atau kepentingan semasa masyarakat menyokong kuat fatwa seperti itu. Penggunaan konsep maslahah atau kepentingan semasa masyarakat adalah sesuai dan tidak bertentangan dengan kaedah pembinaan hukum Islam yang diterima umum dalam Islam. Meskipun maslahah merupakan sumber subsidiari dalam perundangan Islam, namun ia boleh dipegang dalam keadaan seperti ini iaitu apabila tiada panduan yang jelas dari nas atau qiyas yang berasaskan kepada nas.

About the author: Saya merupakan penulis buku Rancang Wang Dari Sekarang & ebook Panduan Cashflow. Pemegang sijil profesional Islamic Financial Planner (IFP). Klik untuk membaca profil penuh.

7 comments… add one

  • admas Aug 25, 2010

    Salam, boleh ke zakat pendapatan, kita berikan pada ibu bapa mertua yg dikategorikan sebagai miskin. Tq

  • Kujie Aug 26, 2010

    Alhamdulillah – dah “bersihkan harta” sebelum puasa
    bayar online

  • Urus Hutang Aug 26, 2010

    Lebih molek gantikan potongan cukai (PCB) dengan zakat pendapatan … :-)

  • shanana Sep 7, 2010

    alhamdulillah..dah pun tunaikan zakat pendapatan secara bulanan..baru je dpt statement..

  • Azizi Zulkefli Jan 22, 2011

    Bayar zakat menenangkan harta dan jiwa

  • thinkerich Aug 14, 2011

    Keluarkanlah zakat pendapatan kerana nikmatnya hanya akan dapat dirasai oleh mereka yang mengerjakannya.

    InsyaAllah, aliran wang tunai tak akan putus sepanjang bulan biarpun secara logiknya pengiraan di atas kertas nampak macam tak cukup, tetapi percayalah janji Allah S.W.T itu benar.

    Jika tak percaya, lakukannya terlebih dahulu kerana Allah…, hati anda akan lebih tenang dan aliran wang tunai akan lebih lancar. InsyaAllah.

  • Nadzmi Jan 1, 2012

    Saya telah bertanya kepada Pejabat pungutan zakat di Kulaijaya tentang cara pengiraan zakat pendapatan. Jawapannya ialah, ia dikira 2.5% daripada JUMLAH PENDAPATAN SETAHUN (HAWL) dan semestinya telah cukup nisab (jumlah RM mengikut sejumlah gram emas). Persoalan selanjutnya , adakah mengikut hawl tahun masihi atau hijrah, sedangkan pendapatan gaji adalah mengikut bulan masihi? Tiada penjelasan lanjut yang dapat diberikan.

    Soalan saya: Daripada artikel yang dinyatakan di atas , ia tak perlu ikut hawl. Jadi adakah nisabnya dikira mengikut setiap bulanan gaji?

Leave a Comment