Tawakkal Dalam Mencari Rezeki Seperti Burung Keluar Dari Sarangnya

Nabi Muhammad (berselawatlah kita) berpesan:

“Jika kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal nescaya Allah merezekikan kamu seperti DIA merezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang,”

Hadis ini direkodkan oleh Imam Ahmad, Imam Tirmizi.

1. Hadis ini menunjukkan kepada kita apakah yang dimaksudkan dengan bertawakkal kepada Allah swt.

2. Tawakkal itu bukanlah dengan duduk diam-diam dan menunggu rezeki turun dari langit.

3. Tetapi hendaklah kita “terbang” keluar mencari rezeki pada waktu pagi, dalam keadaan masih belum mempunyai apa-apa pun pada hari itu. Malah, tidak tahu pun apa yang akan terjadi semasa “terbang” ke sana dan “terbang” ke sini.

4. Namun dengan rasa bertawakkal yang penuh kepada Allah swt atas usaha “terbang” itu tadi, maka apabila kembali ke sarang pada waktu petang, Allah pasti telah mengurniakan sesuatu.

5. Tawakkal memerlukan keimanan yang tinggi kepada Allah swt. Sesungguhnya Dia adalah yang Maha pemberi rezeki.

6. Mudah-mudahan hadis ini memberikan kekuatan kepada kita untuk membuat keputusan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti:

  • Membuat keputusan untuk sambung belajar dalam keadaan tidak tahu apakah akhirnya lulus atau gagal.
  • Membuat projek baru dalam keadaan tidak pasti dapat berjaya atau tidak.
  • Membuat bisnes dalam keadaan tidak tahu boleh dapat untung atau tidak.
  • Menyediakan barang gerai jualan dalam keadaan tidak tahu hari itu hujan lebat atau tidak.
  • Dan pelbagai lagi.

7. Ketika itu keimanan kita pasti teruji lebih-lebih lagi apabila sudah masuk waktu tengah hari tetapi perut masih belum terisi dengan makanan.

Comments on this entry are closed.