Skim KWSP: Pengeluaran Perumahan Fleksibel

Petikan dari laman sesawang KWSP:

Berdasarkan konsep ini, caruman bulanan kepada KWSP dianggap sebagai pendapatan. Dengan ini, ahli boleh mendapat jumlah pinjaman yang lebih tinggi kerana penilaian kredit (credit assessment) ke atas pendapatan bersih turut mengambilkira caruman KWSP (bahagian pekerja dan majikan). Oleh yang demikian, ahli boleh membeli / membina rumah yang lebih tinggi harganya kerana ini boleh melayakkan mereka mendapat pinjaman yang lebih tinggi untuk membiayai pembelian / pembinaan rumah.

Kenyataan rasmi KWSP:

KWSP Perkenal ‘Pengeluaran Perumahan Fleksibel’ untuk Tingkat Kelayakan Pinjaman Perumahan

Kelayakan Pinjaman Lebih Tinggi bagi Ahli KWSP Berdasarkan Simpanan Semasa dan Pertumbuhan Simpanan

Bermula 1 Ogos 2010, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang belum pernah mengeluarkan simpanan mereka di bawah Pengeluaran Membeli Rumah atau Mengurang Baki Pinjaman Perumahan KWSP kini berpeluang untuk membeli rumah yang lebih tinggi nilainya di bawah ‘Pengeluaran Perumahan Fleksibel’ yang diperkenalkan bagi membolehkan ahli yang layak mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi.

Di bawah kemudahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2010, simpanan semasa dan simpanan masa depan ahli di KWSP akan diberi pertimbangan sewaktu ahli memohon untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi-institusi kewangan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, “Usaha ini adalah untuk menyokong objektif Kerajaan meningkatkan kualiti hidup Rakyat sejajar dengan semangat 1Malaysia. Ahli kini berpeluang merealisasikan impian mereka untuk memiliki kediaman yang lebih baik buat keluarga menerusi kelayakan pinjaman yang lebih tinggi.”

“Tambahan pula, ‘Pengeluaran Perumahan Fleksibel’ tidak akan menjejaskan simpanan persaraan ahli malah simpanan yang telah diasingkan itu akan terus menerima dividen tahunan dari KWSP,” jelas Tan Sri Azlan.

Kemudahan ini terbuka kepada ahli yang belum berumur 54 tahun semasa permohonan dibuat dan ia mesti dibuat bersama-sama dengan permohonan untuk Pengeluaran Membeli/Membina Rumah atau Mengurang Baki Pinjaman Perumahan KWSP.

Bagi kemudahan ini, ahli boleh memindahkan sebahagian daripada simpanan Akaun 2 ke dalam akaun ‘Pengeluaran Perumahan Fleksibel’ dan diikuti oleh pindahan amaun caruman bulanan yang ditetapkan ke dalam akaun perumahan tersebut.

Simpanan yang telah diasingkan di bawah ‘Pengeluaran Perumahan Fleksibel’ tidak boleh dikeluarkan atau digunakan bagi tujuan pengeluaran pra-persaraan lain seperti Perumahan, Pendidikan, Kesihatan dan Umur 50 Tahun sebelum tamat tempoh kemudahan pengeluaran ini.

Bagaimanapun, ahli boleh menggunakan simpanan dalam Akaun 2 sekiranya masih mempunyai baki untuk pengeluaran pra-persaraan lain.

Setiap permohonan perlu dikemukakan oleh ahli sendiri kepada insititusi kewangan di mana mereka memohon pinjaman perumahan tersebut. Setiap borang permohonan kemudiannya akan dihantar kepada KWSP oleh ibu pejabat institusi kewangan yang mengambil bahagian.

“Setakat ini, Maybank dan Public Bank telah mengesahkan penyertaan mereka dan telah bersedia untuk melaksanakan ‘Pengeluaran Perumahan Fleksibel’ dan KWSP menjangkakan lebih banyak bank akan turut serta kelak,” kata Tan Sri Azlan.

Ahli yang ingin membatalkan ‘Pengeluaran Perumahan Fleksibel’ boleh berbuat demikian hanya selepas satu tahun dari tarikh kemudahan tersebut diluluskan dan perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada insititusi kewangan berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan ini, sila kunjungi cawangan KWSP berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03 – 8922 6000 .

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 29 Julai 2010

About the author: Suzardi Maulan, Islamic Financial Planner, penulis buku Rancang Wang Dari Sekarang dan 2 tutorial online; Panduan Cashflow & Panduan Saham Untuk Pelabur Baru. Sila klik sini untuk membaca profil penuh.

5 comments… add one

  • laharjaya Aug 3, 2010

    mcm halnya sekiranya rumah yang dibeli tidak siap dalam jangkamasa yang dijanjikan …adakah pampasan akan diberikan ….

  • Fariza Aug 3, 2010

    Saya tak faham. Boleh tak Pak Di tolong terangkan dengan lebih ringkas. Ape perbezaannya dengan pinjaman perumahan konvensional. Untung ke guna skim ni?

  • pakdi Aug 5, 2010

    Skim ini membolehkan kita membeli rumah yang nilanya lebih tinggi. Itu sahaja. Maksudnya, kalau slip gaji sekarang mungkin cuma RM 100k. Tetapi campur skim ini, boleh beli RM 120k misalnya. Kena rujuk dengan Bank yang mengambil bahagian untuk pengiraan yang lebih tepat.

  • jo Aug 1, 2012

    ni semua nak perabih kan duit rakyat. nape tak di kaji nape harga rumah makin mahal. kalau betul rakyat didahulukan, sediakan la rumah yang mampu milik banyak2 dan
    selesa untuk didiami. duit kwsp tu patut untuk rakyat rasai nikmat persaraan dengan aman dan tenang, tapi kalau duit dah di gunakan untuk beli rumah, apa persara tu nak makan nanti?.

  • rich May 2, 2013

    harap kerajaan dapat memperbanyakkan lah lagi rumah prima harga mampu milik,contohnya 60k kebawah

Leave a Comment