Simpan Dulu, Baru Labur

1. Simpanlah dulu baru melabur, inilah asas sebagai pelabur.

2. Ada yang nak melabur dalam rumah dan hartanah, suka berjoli harapan melabur boleh musnah.

3. Laburkan duit dulu pada ilmu, belilah buku dan sertai majlis ilmu tanpa jemu.

4. Berbelanja perlu berhemat dan berpada-pada, barulah kekayaan kita boleh berganda.

5. Memanglah menyimpan ini sedikit bosan, dengan menyimpan barulah impian melabur berkesan.

6. Mulakan dengan membuat simpanan, tangguhkan dulu kehendak dan keinginan.

7. Elakkan duit kita daripada bocor, ini boleh jadikan hasrat melabur boleh hancur.

8. Simpan dulu barulah berbelanja, nak melabur perlukan modal tiada siapa yang taja.

9. Simpan duit untuk melabur kemas-kemas, boleh juga buat simpanan dan membeli emas.

10. Berjimat dan kurangkan keinganan untuk bergaya, barulah impian untuk melabur boleh berjaya.

saw

Apabila membicarakan simpan dulu baru labur, ia mengingatkan saya pemandangan sawah padi di Ohiramura.

Secara peribadi saya sukakan ketenangan pemandangan sawah padi seperti ini. Di Ohiramura ini jugalah saya berkenalan dengan seorang lagi usahawan Pakistan yang boleh dikategorikan sebagai ‘Kaya Itu Mulia’.

Perkongsian tersebut pernah viral di laman TheVocket dan boleh dibaca menerusi link berikut:

Kaya Itu Mulia, Apa Saya Belajar Daripada Usahawan Pakistan di Jepun

Uniknya, tanaman padi di Jepun dilakukan hanya satu kali setahun. Berbanding di tanahair, penanaman padi adalah dua kali setahun.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, tanaman padi di Jepun setahun sekali ini melebihi kecukupan penduduk di Jepun. Oleh demikian, Jepun dikatakan tidak memerlukan untuk mengimport padi.

Apabila melihat sawah padi yang terbentang luas, saya teringat firman Allah s.w.t dalam Surah Yusuf, ayat 47-48 yang bermaksud:

“Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang tanam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

Walaupun di dalam surah ini merujuk kepada tanaman gandum bukannya padi. Namun, konsep dan mesej menanam padi sekali setahun untuk kegunaan tahun yang mendatang dilihat hampir sama dalam aplikasi ‘simpan dulu, baru labur’.

Ayat tersebut membawa makna yang mendalam.

Pertama, saya melihat “menanam bersungguh-sungguh” dari aspek perlunya untuk berusaha bersebaiknya dalam kehidupan khususnya mencari rezeki. Tidak kiralah sama ada kita berbisnes ataupun makan gaji.

Ini seiring dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud).

Kedua, ayat “kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan” juga memberi makna agar perlu kita simpan dulu baru belanja. Ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa perlunya untuk diasingkan sebahagian daripada gaji atau pendapatan sebelum berbelanja.

Dicadangkan 10% daripada gaji atau pendapatan bersih kita perlu diasingkan untuk simpanan. Kesilapan yang biasanya berlaku adalah apabila berbelanja dulu dan lihat jika ada lebihan barulah kita membuat simpanan kemudian. Teknik ini sukar dalam mendidik diri untuk konsisten membuat simpanan.

Ketiga, “apa yang tanam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya” merujuk kepada perlunya dibuat pelaburan setelah ada lebihan daripada simpanan yang dibuat.

Istilah ‘tangkai’ bagi saya juga merujuk kepada prinsipal pelaburan. Sebagai contoh, jika kita simpan dan melabur dalam Tabung Haji akan menjadikan simpanan tersebut bertambah setiap tahun. Ini disebabkan hasil penambahan dividen daripada prinsipal pelaburan di awal tahun.

Pelaburan boleh dibuat dengan menukar duit simpanan kita dalam bentuk aset atau komoditi agar duit simpanan tersebut kalis inflasi. Sebagai perbandingan, duit RM50 yang kita miliki hari ini, pastinya tidak sama nilainya pada tempoh 5 tahun akan datang.

Kita juga boleh menukar simpanan tersebut kepada aset atau komoditi yang lain untuk dijadikan pelaburan seperti membeli hartanah, emas, perak dan sebagainya. Jika kita tidak mahu, setidak-tidaknya bolehlah menyimpan di tempat-tempat yang boleh memberikan pulangan dividen yang lebih baik daripada kadar inflasi tahun semasa. Sebagai contoh, menyimpan di Tabung Haji, ASB ataupun Saham Amanah yang lain.

Walau bagaimanapun, sebelum membuat sebarang pelaburan perlu ada simpanan bagi dana kecemasan. Umumnya, dicadangkan dana kecemasan di antara 3-6 bulan daripada gaji atau pendapatan yang diperolehi setiap bulan. Selebihnya barulah dibuat pelaburan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

Dana kecemasan ini juga boleh digunakan dalam situasi ‘kemarau’ yang digambarkan dalam ayat tersebut. Boleh jadi situasi ‘kemarau’ dalam keadaan sekarang seperti kehilangan pekerjaan akibat dibuang kerja atau sebagainya. Maka, dana kecemasan inilah yang akan digunakan di kala kita sangat memerlukan.

Begitulah realiti sebenar yang digambarkan dalam konsep pelaburan. Pelabur yang berjaya dalam apa bentuk pelaburan sekalipun dilihat mempunyai disiplin menyimpan yang kuat. Bukan itu sahaja, bahkan mereka mempunyai ilmu untuk meletakkan duit mereka di tempat yang betul bagi memastikan kekayaan yang mereka miliki berganda.

Sebagai contoh, jika kita berupaya melabur dalam pelaburan yang boleh memberikan keuntungan 20-30% setahun sekalipun tidak akan menjadikan kita kaya-raya jika tidak menyimpan. Kemungkinan kekayaan yang dimiliki berkurangan kesan daripada keuntungan pelaburan itu dibiarkan ‘bocor’ begitu sahaja.

Cuba kita perhatikan pelabur hartanah yang berjaya. Apabila mereka menjual hartanah (rumah), hasil yang dimiliki bukannya untuk berjoli sakan. Tetapi, mereka gunakan untuk membeli lagi beberapa buah hartanah lain yang boleh memberikan keuntungan lebih besar pada masa akan datang. Keuntungan yang diperolehi digunakan semula untuk ‘reinvest’, bukan untuk dibelanja.

Oleh itu, langkah betul dan asas utama untuk menjadi pelabur yang berjaya adalah disiplin menyimpan yang mampan. Simpan dulu untuk mendapatkan modal bagi dijadikan pelaburan.

Atas sebab itu saya melihat orang yang tiada keazaman kuat untuk menyimpan, tidak memenuhi syarat utama sebagai pelabur. Usah terpedaya atau terjebak dengan istilah menggunakan pendekatan OPM (use Other People’s Money) jika syarat utama ‘menyimpan’ tidak boleh dipatuhi.

Selalu ingatkan diri, simpanlah dulu baru melabur, inilah asas sebagai pelabur. Berbelanja juga perlu berhemat dan berpada-pada, barulah kekayaan kita boleh berganda.

Sekadar pandangan dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

Tulisan ini adalah catatan Tuan Isma Addi Jumbri, seorang pensyarah melalui laman Facebooknya dengan izin.

Menurut beliau, tajuk untuk post dari inspirasi perkongsian sahabat Mohd Zulkifli Shafie. Untuk huraian Surah Yusuf ini juga, beliau maklumkan pernah membacanya dalam perkongsian buku Rancang Wang Dari Sekarang. Barangkali kalian boleh dapatkan buku tersebut untuk kupasan lebih mendalam.

Comments on this entry are closed.