Sekiranya Anda Tiba-Tiba Adalah Penerima Harta Pusaka

testa

Pembaca dan pengikut yang slot harta pusaka di Pakdi.net yang dikasihi sekalian.

Pertamanya saya mohon maaf kerana agak lama catatan ini terhenti.

Maaf, kerana ada beberapa perubahan yang berlaku dalam karier dan saya perlu ambil masa untuk menguruskan semuanya sehingga keadaan kembali stabil.

Walaubagaimanapun, dalam pada slot harta pusaka yang sunyi sepi beberapa bulan ini, saya masih membaca dan mengikuti persoalan-persoalan urusan harta pusaka anda semua. Walaupun bukan semuanya berjawab tapi soalan-soalan itu, saya kutip semuanya. Saya kumpulkan untuk saya teliti pattern nya dan membuat analisis tentang setenat mana sebenarnya pengetahuan urusan harta pusaka di kalangan rakyat jelata. Muslim khususnya.

Melalui bacaan-bacaan yang ada (buku mahupun posting di internet), cerita-cerita yang diperdengarkan kepada saya termasuklah soalan-soalan anda secara terbuka atau yang saya terima secara private message, saya mengesan satu corak pemikiran yang seragam apabila orang berbicara mengenai harta pusaka – takut harta pusaka terlepas kepada waris yang entah siapa-siapa.

Ini kelakar sebenarnya.

Dalam konteks waris (dalam tulisan ini saya tidak bercakap tentang wasiat dan hibah ya) yang dikatakan ‘waris yang entah siapa-siapa’ sebenarnya bukanlah entah siapa-siapa. Manalah boleh orang yang entah siapa-siapa menjadi waris. Mesti ada pertalian kekeluargaan yang disatukan melalui lafaz akad nikah dan seterusnya mewujudkan hubungan darah dan daging. Dan salah satu hikmah pengiraan dan penerimaan harta pusaka dalam Islam adalah untuk mengiktiraf pertalian kekeluargaan ini. Keluarga – mestilah saling memberi sokongan bukan? Atau ini terlalu idealistik bunyinya.

Kalau kes melibatkan keluarga tiri (atau sejauh pasangan kepada saudara-mara tiri) itu saya boleh terima. Ada kerumitan emosi di situ. Yang saya tidak faham kadang-kadang, ada orang takut harta pusaka terlepas kepada menantu. Ada juga orang takut harta pusaka terlepas kepada mertua, kepada ipar-duai sedangkan yang dipanggil menantu, mertua dan ipar-duai ini – bukankah keluarga? Keluarga dekat maksud saya.

Cuma bila saya fikir semula dalam-dalam, saya dapati ini bukanlah isu harta pusaka semata-mata. Tetapi juga isu kegagalan institusi kekeluargaan. Banyak lagi kefahaman yang perlu diperbetulkan untuk institusi yang semakin pincang ini. Banyak lagi. Tentang hak, tentang tanggungjawab dan sebagainya.

Berbalik kepada tajuk asal. Kita jadi sangat takut bila harta pusaka kita yang terima terpaksa dikongsi dengan penerima yang entah siapa- siapa (saya tegaskan, anggapan kita saja bahawa penerima itu entah siapa-siapa). Tapi bagaimana pula dengan situasi sebaliknya. Kita, yang entah siapa-siapa ini tiba-tiba menerima berita, tersenarai sebagai waris harta pusaka. Waktu itu kita jadi bagaimana? Nilai harta pusaka yang layak diterima pula bukan main lagi mengiurkan. Kita pula di saat-saat sangat memerlukan sejumlah harta ‘tergolek jatuh dari langit’. Seolah-olahnya berlaku keajaiban dan kita rasa doa kita dimakbulkan Tuhan. Rezeki, kata kita. Iyalah, bila kita yang terima kita anggap ia rezeki. Tapi bila orang lain yang terima kita anggap itu bala pula. Jadi jika terjadi situasi sebegini, sekali lagi saya tanya – waktu itu kita jadi bagaimana? Kita jadi manusia apa? Atau, kita masih lagi manusiakah?

Bila kita yang entah siapa-siapa ini diberitakan tersenarai menjadi penerima harta pusaka, adakah kita peduli yang harta pusaka yang bakal kita terima itu selama ini satu sen pun kita tidak pernah menyumbang apa-apa?

  • Adakah kita peduli bahawa ada waris yang lebih memerlukan harta pusaka itu?
  • Adakah kita faham bahawa fakta kita sebagai penerima harta pusaka, ada tanggungjawab besar yang perlu kita pikul dan akan dipertanyakan semula di akhirat nanti.
  • Pernahkah kita perasan bahawa dalam hitungan faraid yang secara spesifik dinyatakan dalam Al-Quran, Allah SWT sebenarnya lebih kepada mendidik kita hamba-hamba-Nya ini supaya bersikap ihsan? Pernah?

Pembaca yang dihormati,

Sengaja saya sentuh kefahaman asas (dan sedikit mengenai kepincangan institusi kekeluargaan) mengenai urusan harta pusaka sebab saya kira, walau ratusan tips pun saya bekalkan sebagai panduan ia tidak akan memberi apa-apa makna jika hal asas ini diabaikan.

Lagi pula, saya juga selalu memikirkan, berapa ramai yang benar-benar membuat senarai waris dan harta ketika tulisan pertama saya berikut diterbitkan ?

— Dua Perkara Asas Mengenai Urusan Harta Pusaka

Berapa ramai yang membaca, like dan share tapi SIAPA yang benar-benar memulakan tindakan?

Sentap?

Baiklah.

Jadi, kalaulah anda tiba-tiba tersenarai menjadi penerima harta pusaka apakah yang anda boleh bantu untuk memudahkan urusan harta pusaka oleh pemohon harta pusaka ? Saya senaraikan 5 tindakan yang dapat dibuat.

Pertama: Beri Kerjasama Sebaiknya

Dengarkan dengan baik, maklumat daripada waris yang datang membawa berita.

Harus diingat, anda kan bukan siapa-siapa. Entah berapa berat emosi yang ditanggung waris hanya untuk menyampaikan berita itu.

Kedua: Tanya, Apa Dokumen Yang Diperlukan ?

Biasanya dokumen asas adalah salinan kad pengenalan, sijil kelahiran, sijil pernikahan.

Tanya juga, dokumen apa perlu diturunkan tanda tangan.

Ketiga: Berbincang Mengenai Pembahagian

Ya, bahagian berbincang ini paling mencabar sebenarnya.

Tapi, cubalah. Berbincang dengan cara paling sopan dan santun. Anda kan, pembaca tulisan saya. Berbanggalah kerana dipilih menjadi pembaca. Janganlah buat malu saya. Okay?

Keempat: Jika Mahu Ambil Bahagian Harta Pusaka

Tertakluk kepada #3 di atas.

Sumbangkan juga kos pengurusan harta pusaka.

Seringkali isu kos menjadi punca urusan harta pusaka ditangguhkan. Bertimbangrasalah. Anda kan, entah siapa-siapa dalam urusan ini. Ingat tu.

Kelima: Kalau Tak Keberatan, Lepaskan Bahagian Harta Pusaka Itu

Ini lebih memudahkan keadaan.

Konflik boleh dielakkan.

Urusan lebih cepat selesai. Selain kejahilan teknikal urusan harta pusaka, konflik-konflik berpanjangan ini juga turut menjadi penyumbang besar terhadap isu harta pusaka menjadi beku. Kita hendak memperbaiki isu ini sebenarnya.
.

Kesimpulannya, bukanlah saya hendak kata kita ini supaya jangan berharta. Kalau tidak ada masalah, ambil sajalah bahagian harta pusaka itu. Yang kita runsingkan di sini konflik-konflik yang tak berkesudahan ini. Kes berparang di atas kubur pun pernah saya dengar kalau hal harta pusaka ini.

Kalian, sayang sangat bila harta menjadi beku sedangkan ia boleh dimanfaatkan.

Sayang sangat.

Saya tak menafikan, dalam konteks pengiraan faraid, sikap dan isu-isu masyarakat yang kian kompleks ini maka biasa saja berlaku harta pusaka si mati akhir-akhirnya layak diterima oleh penerima entah siapa-siapa. Orang asyik fikir (dan takut yang bukan-bukan) tentang penerima harta pusaka yang entah siapa-siapa. Sesekali renungkanlah bila penerima yang entah siapa-siapa itu sekalinya – anda.

About the author: Naziatul Azrin ialah seorang pengamal undang-undang di Ipoh, Perak. Berpengalaman mengendalikan urusan harta pusaka muslim dan bukan muslim.

2 comments… add one
  • Bahak May 16, 2016

    Salam.

    Hatta keluarga dekat pun tidak memahami status kewangan masing². Anggap orang lain sudah mencukupi.

  • Ruhaizah May 17, 2016

    Assalamualaikum. Bagaimana sekiranya seorang nenek meninggal dan hanya 4 dari 5 anaknya yang masih hidup sewaktu beliau meninggal. Dan sekarang hanya 1 dari 5 anaknya masih hidup dan beliau bercadang mengagihkan pusaka mengikut faraid mengikut bahagian yang telah dipersetujui secara lisan semasa nenek dan adik beradik2 yang lain masih hidup. bagaimanapun setelah disemak di pejabat Tanah, nama pada geran masih atas nama nenek seorang. Apa yang waris perlu buat?
    Terima kasih

Leave a Comment