Sahabat Nabi Ini Nak Sedekah 2/3 Dari Harta Tetapi Rasulullah Tak Bagi. Kenapa ?

Ketika Haji Wada, Saad bin Abi Waqqas jatuh sakit.

Rasulullah pun pergi berziarah dan Saad pun berkata:

“Ya Rasulullah, saya mempunyai harta dan cuma mempunyai seorang anak perempuan untuk mewarisinya. Apakah saya dapat memberikan 2/3 dari harta ini sebagai sedekah ?”

Rasulullah menjawab, “Tidak.”

Saad bertanya lagi, “Kalau begitu 1/2 dari harta ?”

Rasulullah menjawab sekali lagi, “Tidak.”

Saad terus bertanya, “Kalau begitu 1/3 dari harta?”

Maka Rasulullah pun menjawab, “Boleh, tetapi 1/3 itu pun masih banyak. Sesungguhnya meninggalkan para waris dalam keadaan kaya dan berharta itu lebih baik dari meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta. Sekiranya kamu membelanjakan sesuatu hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah, kamu tetap mendapat ganjaran walaupun hanya sesuap makanan yang kamu suapkan ke mulut isteri kamu,”

Kisah ini dicatatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
.

Antara yang dapat dipelajari dalam kisah ini ialah:

1. Menguruskan Harta Sebelum Mati

Saad bin Abi Waqqas adalah salah seorang sahabat yang awal memeluk Islam.

Umurnya panjang sehingga mencecah 80 tahun. Saad tidak meninggal dunia selepas berlaku kisah ini. Malah Saad yang membawa Islam ke negara China.

Sebagai sahabat besar, sikapnya terhadap pengurusan harta perlu kita ikut. Iaitu dengan bersedia untuk membuat pembahagian harta ketika hidup dan bukan membiarkan sahaja harta itu diuruskan oleh waris tanpa sebarang panduan selepas mati.

2. Wasiat Sekadar 1/3 Dari Harta

Persediaan membahagikan harta semasa masih hidup menyebabkan Saad telah bertanyakan tentang wasiat.

Berdasarkan cerita ini, maka ulama menyatakan sekiranya seseorang itu mahu membuat wasiat, maka jumlah maksimum yang dibenarkan oleh syariat ialah cuma 1/3.

3. Keutamaan Memberi Nafkah Kepada Tanggungan Berbanding Sedekah

Sedekah adalah perkara yang baik.

Namun masih ada lagi banyak perkara baik yang lain selain sedekah.

Antaranya ialah memberi nafkah kepada waris-waris seperti kedua ibu bapa, isteri dan anak-anak. Sekiranya sesuap makanan yang disuapkan ke mulut isteri pun dapat pahala, maka jika para suami mampu memberi nafkah lebih dari itu maka sudah tentu pahalanya lebih banyak.

Eh, suap makanan ke mulut isteri satu Sunnah rupanya. Romantik gitu.

Comments on this entry are closed.