Rugi Kena Tipu Itu Memang Luar Biasa

lies

“Biasalah rugi kena tipu dalam ‘bisnes’,”

Barangkali itu yang sering diungkapkan oleh sebahagian dari kita.

Sedangkan itu adalah kenyataan yang tidak betul. Barangkali asal usulnya datang dari kaki penipu. Biar orang yang kena tipu dapat ditipu berulang-ulang kali. Iyalah, kalau kena tipu sekali sahaja, bagaimana sang penipu mahu jadi kaya ?

Rugi sebab kena tipu adalah perkara luar biasa. Lebih luar biasa adalah terus membiarkan diri ditipu oleh orang berkali-kali.

Tindakan membiarkan diri dalam menjadi mangsa penipuan adalah satu bentuk satu kezaliman kerana terus menerus meletakkan harta benda kita dalam kehancuran.
.

Rugi dalam bisnes itu biasa.

Tapi rugi sebab kena tipu itu luar biasa.

Dan bukan semua perkara yang mendatangkan duit itu sememangnya aktiviti bisnes & pelaburan. Aktiviti lain yang dapat mendatangkan duit juga dapat datang dari kegiatan-kegiatan haram berikut, antaranya:

  • Tipu menipu
  • Rompak merompak
  • Riba
  • Bunuh membunuh
  • Perjudian

Nabi Muhammad saw mengajar kita supaya tidak jatuh ke lubang yang sama dua kali.
.

Sebenarnya saya berasa pelik apabila mendapat pertanyaan sebegini berulang-ulang kali…

“Kau buat bisnes apa sekarang ?”

Sehinggalah saya tersedar baru-baru ini sesungguhnya ada di kalangan masyarakat yang menyangka semua benda, aktiviti yang mendatangkan duit itu adalah bisnes. Walaupun perniagaan yang disangkakan itu sebenarnya bukan bisnes pun tapi boleh jadi aktiviti tipu-menipu dan yang lebih hina, aktiviti riba.

Maklumlah hari ini pelbagai skim cepat lingkup bertopengkan bisnes dan pelaburan tumbuh di pasaran. Skim T. Skim I. Skim P. Skim U. Skim O. Skim R. Skim A. Skim N. Skim G. Ingatkah lagi satu masa dahulu skim Swisscash ? Kini ada banyak lagi skim yang melingkupkan dengan nama yang pelbagai.

Mereka-mereka yang tidak celik kewangan, menyangka…

“Oh inilah bisnes.”
“Oh, inilah pelaburan,”

Nampak macam bisnes, pelaburan yang asli rupa-rupanyanya aktiviti menipu. Aktiviti tipu menipu orang Melayu secara berjemaah. Dan lebih menakutkan, tersusun. Dianjurkan oleh penipu VIP sehinggalah penipu kecil-kecilan.
.

Menyertai skim penipuan bermaksud meletakkan diri dalam kehancuran, kebinasaan walaupun mendapat untung pada awalnya.

Manakala membuat bisnes, pelaburan yang betul, mempunyai keberkatan, walaupun mengalami kerugian awalnya.

Pelik tapi benar.

Masyarakat kita takut sungguh bila disuruh berniaga dan melabur secara halal dan sah. Takut rugi katanya.

“Tengok tu kawan saya rugi…”

Alasan.

Tapi apabila dijanjikan untung sekelip mata, langsung tidak mempersoalkan apa-apa. Sedangkan potensinya adalah rugi semua modal. Yang membuat pembiayaan peribadi, refinance rumah, terus tersungkur. Peliknya, masih dapat berkata…

“Biasalah ‘bisnes’ rugi kena tipu macam ni,”

Apakah ?

Comments on this entry are closed.