Respons Dari Lembaga Tabung Haji

th

Beribu-ribu tahniah dan syabas kepada tuan puan yang peka & sensitif dengan isu halal haram pelaburan kalian. Isu ini saya post di sini dan sini.

Tanpa kalian mungkin isu ini hanya menjadi perbincangan saya dan rakan-rakan dalam kelompok kecil sahaja.

Lembaga Tabung Haji telah pun menjawabnya dalam tempoh 24 jam!

Terima kasih LTH, 6 bulan lagi jika tidak saya semak semula barangkali ada orang lain yang akan menyemaknya.

Saya yakin para pembaca yang budiman telah mendapat sedikit sebanyak kemahiran menyemak maklumat-maklumat pelaburan seperti yang telah saya kongsikan. Seterusnya menyemak sendiri, 6 bulan dari sekarang.

Dari laman Facebook Rasmi Lembaga Tabung Haji:

https://www.facebook.com/TabungHaji

PELABURAN TH – Berhubung dengan syarikat yang terkeluar dari senarai patuh syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 29 November 2013 telah meluluskan senarai terbaru sekuriti patuh syariah berdasarkan kaedah penyaringan sekuriti yang telah disemak semula.

Antara kriteria penyaringan yang ketara penukarannya adalah dari segi “Conventional Income, Debt and Cash Deposit Level”. Oleh yang demikian banyak syarikat di Bursa Malaysia yang dahulunya patuh syariah telah terkeluar dari senarai ini.

Namun begitu syarikat-syarikat tersebut juga diberi masa selama 6 bulan (sehingga 31 Mei 2014) untuk memastikan mereka kembali mematuhi syarat patuh syariah terbaharu yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti juga menyatakan bahawa semua pelabur yang memegang saham-saham syarikat yang terlibat dibenarkan menyimpan dividen atau keuntungan modal hasil dari pelupusan sekuriti tersebut sepanjang tempoh 6 bulan ini dan pendapatan tersebut masih diklasifikasikan sebagai patuh syariah.

Sebagai pemegang saham, TH telah mengambil tindakan yang proaktif melalui perbincangan dengan syarikat-syarikat yang terlibat bagi mengenal pasti prospek syarikat tersebut kembali patuh syariah dalam masa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Ahli-ahli Jabatan Pelaburan, Panel Pelaburan,Panel Shariah dan Lembaga Pengarah TH sentiasa memantau semua aktiviti pelaburan TH bagi memastikan pelaburannya sentiasa patuh syariah.

TH sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dalam membuat pelaburan bagi menjamin pelaburannya sentiasa patuh syariah. TH mempunyai masa enam (6) bulan untuk menyimpan dan menjual saham-saham tersebut sehingga 31 Mei 2014.

Garis panduan ini boleh dirujuk di laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti.

-HAL EHWAL KORPORAT TH-

About the author: Suzardi Maulan, Islamic Financial Planner (IFP). Klik sini untuk info lanjut

Lagi Artikel Menarik

Comments on this entry are closed.