Perkembangan Perbankan Islam di Malaysia

1. Ia bermula dengan penubuhan Bank Islam pada 1983. Umurnya baru 27 tahun. Selalunya, apa yang kita harapkan dari pemuda berusia 27 tahun ?

2. Monopoli Bank Islam selama 15 tahun dalam industri ini ada baik dan buruknya. Baiknya, Bank Islam tidak perlu pening kepala fikir mengenai persaingan sesama bank Islam lain. Buruknya, Bank Islam menjadi selesa dan apabila perbankan Islam tempatan yang lain muncul, mereka hanya meniru model yang ada. Kenapa saya katakan begitu ?

3. Fiqh muamalat merupakan sesuatu yang dinamik. Aplikasi berubah mengikut zaman tetapi prinsip asasnya tidak berubah. Contohnya kontrak yang lebih fleksibel sifatnya seperti wakalah dan ijarah misalnya tidak digunakan secara meluas. Ulama tempatan yang terlibat secara langsung lebih cenderung menggunakan kontrak jual beli seperti Bai’ Inah. Setelah diperhalusi, mereka mempunyai asas tersendiri yang sesuai pada zaman tersebut (27 tahun dahulu)

4. Kelemahan sebahagian pengamal perbankan terdahulu memahami asas ijtihad tersebut dikeluarkan menyebabkan Bai’ Inah dan Bai’ Bithaman Ajil (BBA) menjadi “panadol” dalam industri ini. Sikit-sikit telan panadol, walaupun sakitnya memerlukan preskripsi yang lain. Malah, wujud juga satu salah faham seperti kontrak Murabahah hanya untuk pembiayaan short term dan Bai’ Inah / BBA hanya untuk pembiayaan long term. Sedangkan Shariah tidak pernah menyatakan hal sedemikian.

5. Sedangkan zaman sudah berubah. Kenapa pemuda 27 tahun masih mahu menggunakan baju kanak-kanak-kanak 10 tahun ? Dalam konteks ekonomi, pasaran sebenarnya buat “protes” dan sedang membuat “demand” yang baru terhadap industri ini.

6. Ada pihak berpendapat, Bai’ Inah / BBA kan ada cop halal, kenapa nak berubah ? Pihak yang lain pula berpendapat, Bai’ Inah / BBA ini haram 100%. Baik jadi pelanggan bank riba. Saya mengambil pendekatan pertengahan iaitu betul Bai’ Inah / BBA itu halal tetapi jangan jadikan keduanya sebagai panadol. Banyak lagi pendekatan lain yang boleh diteroka. Pada masa yang sama, menyatakan perbankan Islam itu serupa dengan perbankan riba adalah satu pendapat yang tidak tepat kerana asas kontraknya adalah berbeza.

7. Hari ini, produk deposit misalnya tidak lagi terhad kepada kontrak wadiah dan mudharabah sahaja. Sudah ada produk deposit berdasarkan kontrak wakalah yang lebih fleksibel dan berbeza sifatnya dari kontrak wadiah dan mudharabah.

8. Kontrak berdasarkan konsep ijarah juga mula diperhalusi. Melalui kontrak ini, pelanggan tidak lagi dikejutkan harga jualan bank yang tinggi walaupun dari sudut operasinya masih ada kelemahan kerana bank masih cuba menguruskan kontrak sewaan 100% seperti kontrak jual beli sedangkan kedua jenis kontrak ini adalah berbeza sifatnya.

9. Kalau kita bijak bestari, perkembangan sebegini memperlihatkan perubahan dari kecenderungan penggunaan kontrak debt creating sale telah mula menjadi kontrak sewaan (neither debt creating nor equity). Dan sekiranya perbankan Islam diberikan ruang yang lebih selesa, kontrak berasaskan ekuiti akan wujud dengan lebih banyak berbanding hanya sekitar 3% pada hari ini.

10. Sememangnya apa yang ada hari ini tidak sempurna, tetapi itulah ruang yang ada. Pada masa yang sama, pengguna pun tidak sempurna. Contohnya, sebagai pengguna, mereka mahukan duit mereka selamat pada masa yang sama mahukan pulangan yang tetap sedangkan “selamat” hanya wujud dalam kontrak wadiah dan wadiah tidak boleh menjanjikan apa-apa pulangan. Kontrak wakalah pula boleh membentuk mekanisme pulangan tetap tetapi ia tidak dijamin “selamat”. Sedangkan prinsip Shariah perlu dipatuhi.

11. Seterusnya, ada pihak yang salah faham dan tidak sabar seperti menyangka perbankan Islam mesti 100% berasaskan equity participation sahaja dan mengharapkan real economics activities berlaku dengan lebih cepat sedangkan perbankan Islam hanyalah satu komponen sahaja dalam ekonomi Islam. Sedangkan kontrak berasaskan sale creating debt, ijarah dan ekuiti ini saling melengkapi. Sistem perbankan Islam juga tidak boleh bangun sendiri tanpa sokongan sistem perundangan, percukaian, zakat, wakaf, sistem matawang dan sikap masyarakat itu sendiri.

12. Dokumen Geniza misalnya ada menceritakana bagaimana sifat masyarakat pada zaman kegemilangan Islam sangat cenderung kepada konsep ekuiti, jual perkhidmatan dan tidak berapa mahu mengguna pakai kontrak sale creating debt, dan tidak ada istilah corporate slave. Sedangkan pada zaman tersebut, bank telah pun wujud. Tetapi hari ini ketika Islam dibawah, ia menjadi terbalik. Kita lebih cenderung berhutang, menjadi pekerja korporat dari menjadi usahawan dan pelabur yang bijak.

13. Kita perlu membuat kritikan yang adil kepada industri ini. Adakalanya masih berlaku kritikan berdasarkan fakta yang lama sedangkan keadaan telah pun mula berubah. Pada masa yang sama, mereka yang dalam industri ini juga perlu berubah dan faham, pengguna hari ini telah menjadi lebih bijak dari dulu.

14. Isu perbankan Islam tidak menyokong emas dan perak sebagai matawang misalnya, juga adalah kritikan yang tersasar kerana undang-undang hari ini hanya memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan untuk mengeluarkan matawang. Dan sehingga hari ini legal tender, currency and coinage bukan di bawah kuasa bank-bank biasa.

15. Apa yang bakal berlaku dalam tempoh 23 tahun akan datang ini adalah amat menarik dan mencabar. Bagaimana ulama generasi baru dan pengamal perbankan Islam hari ini akan mencorakkan fasa seterusnya dalam industri ini ?

About the author: Suzardi Maulan, penulis tutorial online Panduan Cashflow & Panduan Saham Untuk Pelabur Baru. Sila klik sini untuk membaca profil penuh.

3 comments… add one

  • pain Aug 1, 2010

    salam ziarah..

  • mohd azham Sep 29, 2010

    salam…saya berminat dengan tajuk ini untuk porjek akhir saya..bolehkah saudara menerangkan tentang skim-skim yang ditawarkan dan bagaimana ia di kira.. (urgent)

  • sazwani Nov 12, 2011

    salam…minta tlng cara nk wat perancang kewangan secara peribadi dan tlng bg sample sbg contoh dan rujukan(urgent)…terima kasih byk2

Leave a Comment