Peluang Melabur Dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)

Nampaknya pelabur di Malaysia, khususnya Bumiputera ada peluang baru untuk membuat pelaburan dalam sektor hartanah pula sama seperti melabur dalam saham amanah.

Baru dilancarkan pada 29 November 2010 oleh Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia. Namanya adalah Amanah Hartanah Bumiputera (AHB). Secara umumnya maklumat mengenai AHB adalah:

  • Patuh Shariah
  • Melabur dalam sektor hartanah.
  • Melabur dalam pasaran wang Islam (Islamic Money Market) untuk tujuan kecairan.
  • Jumlah pelaburan permulaan, RM 500.
  • Jumlah pelaburan maksimum, RM 200,000
  • Pelaburan tambahan, RM 100
  • Jumlah baki minimia, RM 500
  • Pengeluaran minima, RM 500
  • Kekerapan pengeluaran, sebulan sekali (bukan 30 hari sekali)
  • Boleh melabur untuk anak sekecil usia 3 bulan
  • Harga unit tetap, RM 1
  • Sasaran pulangan kepada pelabur, minima 6%
  • Pengurus dana, Mayban Investment Management Sdn Bhd

Features menarik:

  • Agihan pendapatan telah dizakatkan. Jadi apa yang diterima adalah untung selepas zakat.
  • Boleh menggunakan akaun 1 KWSP.

Features agak kurang menarik (jika dibandingkan dengan ASB)

  • Agihan pendapatan masuk dalam akaun simpanan / semasa kita. Tidak terus masuk dalam akaun pelaburan. Kena tambah secara manual.

Maklumat rasmi sila dapatkan di sini.

—-

Berikut adalah laporan Bernama.

PHB lancar Amanah Hartanah Bumiputera bersaiz RM1 bilion

2010/11/29

KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) hari ini melancarkan dana pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bersaiz RM1 bilion, yang membolehkan pelabur Bumiputera menyertai pemilikan benefisial aset hartanah.

Skim pelaburan itu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, terbuka kepada pelabur Bumiputera berumur tiga bulan ke atas, dengan pelaburan permulaan sebanyak RM500.

“Melalui skim pelaburan yang berlandaskan syariah ini, Bumiputera secara tidak langsung akan berpeluang untuk memiliki pegangan dalam hartanah utama. Unit-unit amanah ini akan diniagakan pada harga tetap RM1 seunit,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Kamalul Arifin Othman pada majlis pelancaran skim itu di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan Maybank bagi memudahkan pelabur menjalankan urusan transaksi skim amanah itu.

“Sehubungan itu, pelabur yang berminat boleh mengunjungi cawangan Maybank, yang mempunyai kira-kira 400 cawangan di seluruh negara, untuk membeli unit-unit AHB,” katanya.

Mengenai pulangan AHB, Kamalul Arifin berkata pihaknya menjangkakan pulangan yang bakal diterima pelabur skim itu tidak kurang daripada enam peratus berdasarkan prestasi hartanah di kawasan Segitiga Emas.

Beliau berkata Pelabuhan Hartanah juga akan memperbesar saiz skim amanah itu pada masa depan.
Katanya pihaknya akan terus mengenal pasti peluang-peluang perniagaan melalui pembelian hartanah perdana serta membangunkan projek hartanah, terutama dalam sektor pembangunan hartanah komersial.

“Kami merancang membesarkan saiz dana sebanyak RM500 juta lagi tahun depan,” katanya.

Ditubuhkan pada Mei 2006, PHB ialah anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, yang aktiviti utamanya sebagai syarikat pemegang pelaburan.

Pada masa ini, nilai hartanah miliknya melebihi RM1 bilion, kebanyakannya di Lembah Klang. – BERNAMA


Baca Nota Pakdi menerusi emel: