Panduan Majlis Fatwa Kebangsaan Mengenai Pelaburan Emas

gold

Berikut adalah panduan umum dari Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pelaburan / jual beli emas.

Sumber dari: E-Fatwa Portal Rasmi Fatwa Malaysia

Parameter Pelaburan Emas

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:

Syarat Umum Jual Beli

1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.

Pihak Yang Berakad

2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:

i. Baligh, berakal dan rasyid

Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.

ii. Keredhaan

Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.

Harga Belian (al-Thaman)

3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.

Barang Belian (al-Muthman)

4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli.
Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.
5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.

6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:

i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.

ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya.

Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.

Sighah

7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.

8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.

9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi

10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.

Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.

Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:

Syarat Pertama: Taqabudh

11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.

12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.

Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.

13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.

b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.

Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

Syarat Kedua: Secara Lani

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.

16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.

17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.

Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.

Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:

Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:

i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.

Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.

Akad Dan Unsur Sampingan

18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.

19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.

21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.

22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adahdari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.

23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.

About the author: Suzardi Maulan, seorang Islamic Financial Planner yang membantu individu untuk memulakan tabung persaraan — Klik sini untuk info lanjut

18 comments… add one
  • ar-rumi Nov 22, 2011

    Assalamu’alaikum, Pakdi..

    Seperti yang disebut diatas,

    “Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:”

    Soalan saya, tuan ada tak teks atau audio atau video taklimat dan penjelasan Prof Ashraf dan Ustaz Lokmanulhakim? Kalau ada minta dikongsikan dan dihantar ke email saya. Terima kasih.

    • Pakdi Nov 23, 2011

      Tiada.

      • ar-rumi Nov 23, 2011

        Terima kasih reply..

        Saya cuma nak mengkaji apa yang dibentangkan oleh ahli ekonomi kepada para ulama, adakah tercantum semua hal atau pun tidak.. Adakah semua fakta dikemukakan atau sebahagian saja yang dikemukakan dan sebahagian yang lain disembunyikan.

        Sebab sehingga kini saya masih ragu tentang Fatwa tahun 1986 yang melibatkan hukum wang fiat. Setakat yang saya komen tempoh hari di blog ini, Tuan belum memberi penjelasan diatas keraguan saya tersebut. Fatwa berdasarkan kepada kajian Ibnu Mani’ yang tidak lengkap sahaja atau mengambilkira semua fakta yang lain?

        Saya juga telah memanjangkan soalan saya kepada ulama yang faqih dalam muamalat dan tidak mempunyai kepentingan dalam dunia ekonomi seperti para ‘ulama bank’ dan sekutunya. Yang mengejutkan, mereka (ulama faqih yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan seperti ulama bank) memberi jawapan beserta keraguan juga. Allahu Allah.

        Semoga Allah selamatkan ummat Muhammad SAW ini dari kejahatan ulama-ulama su’.

        • Pakdi Nov 23, 2011

          Tuan melabel-labelkan ulama, bagaimana tuan mahu mendapat kefahaman?

          • ar-rumi Nov 28, 2011

            Salam, Tuan.. di sini, saya tidak melabel ulama secara khusus. Saya cuma bercakap secara umum. Maafkan saya kalau ia menyinggung tuan. Bukankah Nabi SAW juga pernah bercakap secara umum tentang perihal ulama-ulama su’? Saya tidak tahu siapakah mereka secara khusus dan saya tidak menuduh sesiapa.

            Saya mendapat berita perihal seorang ulama bank yang tersohor di negara ini. Beliau melabel ulama dengan katanya “ulama ortodok” kepada tuan-tuan guru. Apa pendapat tuan tentang pernyataan ini? Saya dengan beliau tidak kurang lebihnya kan dalam hal Melabel ulama?

            Berbalik kepada komen saya, tuan tidak menjawab juga soalan saya berkenaan fatwa berkenaan. Ia sangat penting sebab sebarang perubahan pada fatwa tahun 1986 juga akan melibatkan perubahan pada fatwa yang dikeluarkan pada entri tuan ini, saya yakin yang ini. Kalau tuan ada maklumat tentang perihal ini, link atau sebagainya, saya minta tuan kongsikan dengan saya.

            Tuan, saya minta maaf sekiranya komen ini menyinggung tuan. Sekian dari saya. Wassalam.

  • Derok Nov 23, 2011

    pada pandangan peribadi Pakdi terhadap kaedah yang diguna pakai dalam penjualan emas oleh Public Gold Marketing Sdn Bhd, adakah ia harus atau haram atau berlaku syubhah..

    • Pakdi Nov 23, 2011

      Saya tidak tahu kaedahnya.

  • Derok Nov 23, 2011

    kaedahnye:-
    1.datang terus ke cawangan public gold, kemudian order jenis emas dan berat yang ingin dibeli, selepas itu kerani public gold tu akan buat purchase order, selepas itu kite boleh buat pembayaran secara bank in,transfer account,creadit card atau cash dalam masa 24jam.

    3.selepas buat pembayaran,resit (bukti pembayaran) kite kene fax atau email kepada HQ public gold.

    2.dalam masa tiga hari,barang sudah boleh diambil (order tengah hari Isnin, collect barang pagi Rabu minggu yg sama)

    3.kalau nak order secara sms atau email atau call pun boleh jugak.harga akan ditentukan berdasarkan waktu dan hari kite order tu.

    selain itu, ape pendapat Pakdi mengenai hadis ini :

    Abu Bakar Ibn Abi Maryam mendengar Rasullullah S.A.W bersabda :
    “akan tiba satu zaman di mana tiada apa yang tinggal dan boleh digunakan oleh manusia, maka simpanlah Dinar dan Dirham”
    (Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal)

    • Pakdi Nov 23, 2011

      Boleh rujuk arkib penulisan, saya tak mampu nak jawab soalan yang sama berulang-ulang kali.

  • maskiah Nov 25, 2011

    bgaimana dgn traksaksi pelaburan gold bar emas dgn mendpt keuntungan tetap 3% permonth dlm tempoh kontrak 3 bulan . Adakah ianya mengikut syariah.

    Cara pembelian : harga emas semasa dibeli pada harga semasa dan mendpt profit 2.5 % permonth selama tempoh 3 bulan . 2. 5% X 100g.

    • Pakdi Nov 29, 2011

      Hibah tidak boleh dijanjikan sebegitu.

  • Pakdi Nov 29, 2011

    Tuan ar-Rumi,

    1. Jika ingin mendapat kefahaman, rendahkan ego tuan. Kalau kita sudah ada persepsi dia “ulama’ bank” jadi dia tak betul, pendapatnya bias, maka itu lah ego pertama tuan kena buang. Kalau begitu, saya ada masalah faraid, maka saya perlu cari ulama selain yang pakar dalam hal faraid baru lah saya dapat pandangan yang betul? Ini isu sikap, tak perlu minta maaf kepada saya.

    2. Saya tidak perlu komen tentang ‘berita khabar angin’.

    3. Tentang sikap kita mendepani fatwa pelbagai, saya sudah banyak kali komen. Justeru saya tidak perlu komen berulang kali.

    • ar-rumi Nov 30, 2011

      Salam, terima kasih tuan. Bagi tuan saya ego. Mungkin benar, setiap manusia ada egonya kecuali manusia-manusia yang dipelihara Allah.. Saya hanya orang awam.. Tapi saya lihat kesan yang besar kepada ummat Muhammad ini akibat tangan-tangan ulama su’. Ia sedang berlaku dan kesannya akan semakin besar dalam masa terdekat ini.

      1. Saya katakan ulama bank kerana mereka ini berhempas pulas mempertahankan bank-bank tanpa mengambil kira kesan besar yang akan menimpa ummat ini. Maslahah yang dikatakan maslahah adalah untuk tempoh pendek. Iya, memang nampaknya menguntungkan ummat Islam dengan penubuhan bank-bank yang “shariah compliant”. Tapi itu hanya ilusi tempoh pendek sahaja. Kesannya, kemudaratannya, kebinasaannya yang besar akan datang selepas itu.

      Alangkah baiknya jika mereka meninggalkan kerja dengan bank dan bersatu untuk mewujudkan kembali sistem ekonomi Islam yang asal dan diguna pakai pada zaman-zaman kegemilangan Islam dan sehingga jatuhnya Khilafah yang terakhir. Wujudkan kembali Wang Shariah, NUQUD yang asal, BUKAN HANYA SEKADAR FULUS. Kembalikan pasar-pasar bebas/ terbuka, kembalikan kafilah-kafilah, kembalikan kontrak qirad yang asal, kembalikan wakaf-wakaf yang asal. Semua ini tunjangnya adalah ulama. Penguasa hanya melaksanakan. Jika mereka sibuk dengan bank, bekerja dengan bank, memberi nasihat kepada bank, BILAKAH MASANYA perkara yang disebutkan oleh saya akan dilaksanakan?.

      Tidakkah tuan tahu, sistem Kapitalis yang ada sekarang tidak serasi langsung dengan sistem Ekonomi Islam? Speculative Economy (Ekonomi Kapitalis sekarang) vs Real Economy (Sistem Islam), Lihat saja pada wang.

      Jika Wang Islam (Dinar dan Dirham) digunakan semula, maka wang fiat tidak akan digunakan. Emas dan Perak dicari dan digali dan terbatas manakala wang fiat bebas dihasilkan oleh bank-bank dengan sedikit peraturan tanpa batas. Jika Dinar dan Dirham wujud, wang fiat akan pupus. Sifirnya mudah, salah satu akan survive dan salah satu akan musnah. Nah lihatlah sekarang siapa yang menjadi tulang belakang bank-bank “Shariah Compliant” yang sedang beroperasi? Ketepikan bank-bank konvensional yang memang sudah bersedia dan sedang berperang dengan Allah dan RasulNya.

      Saya ulangi, Jika mereka sibuk dengan bank, bekerja dengan bank, memberi nasihat kepada bank, BILAKAH MASANYA perkara yang disebutkan oleh saya (Kembalikan Sistem Ekonomi Islam yang asal) akan dilaksanakan?.

      Tuan, kalau tuan ada masalah faraid, carilah ulama yang mahir dalamnya yang tiada kepentingan didalamnya untuk bertanyakan hukum. Kalau ulama itu ada kepentingan dalam faraid tersebut contohnya beliau juga salah seorang ahli waris, fatwanya mungkin tidak seketat fatwa dari ulama faraid yang tidak menjadi ahli waris. Di luar sana terdapat sejumlah ulama-ulama yang faqih, alim lagi allamah dalam muamalat yang tiada kepentingan dalam institusi perbankan, insurans dan sebagainya. Walaupun jumlah mereka tidak ramai, mengapa tak cari ulama yang sebegini untuk bertanyakan hukum? Fatwa dan ulasan mereka lebih adil dan tidak memihak. Mengapa hanya ulama yang ada kaitan dengan bank?

      Baiklah, saya sebutkan satu nama, berdasarkan perbincangan di dalam sebuah forum pada tahun 2011/ 1432h. Disebutkan di situ, UZAR telah tersilap didalam menerangkan tentang FRACTIONAL RESERVE BANKING/ SYSTEM didalam websitenya. Beliau keliru dan syok sendiri ketika menerangkan tentang sistem tersebut. Walhal sistem tersebut adalah satu tunjang terpenting di dalam penghasilan wang. Tuan boleh semak sendiri tulisan di web beliau dan bandingkan dengan penerangan profesor-profesor ekonomi dan pakar-pakar ekonomi tentang sistem tersebut, terdapat pertentangan disitu. Nah, FAKTA UZAR sudah tersilap, bagaimana FATWAnya akan betul? UZAR adalah orang penting dalam bab muamalat di negara ini sehinggakan orang-orang dari sesetengah jabatan mufti juga merujuk beliau tapi lihatlah apa implikasinya. Inilah yang saya minta kepada tuan iaitu FAKTA yang dibincangkan oleh ulama sejak dari komen awal untuk entri ini lagi. Tapi tuan tidak memberikan jawapan sehingga sekarang.

      3. Ini bukan masalah sikap kita mendepani pelbagai fatwa. Ini ialah masalah ADAKAH ULAMA MENDAPAT FAKTA YANG TEPAT SEBELUM MENGELUARKAN SESUATU HUKUM. Kita tidak mempertikaikan keahlian para ulama dalam bidang mereka. Kita cuma mahu lihat sejauh mana FAKTA dan maklumat yang sampai kepada ulama sebelum mereka mengeluarkan hukum. Sebab itu saya ragu tentang fatwa tahun 1986, apa yang saya ketahui dan baca mengisyaratkan para ulama telah berfatwa sebelum mendapat FAKTA Penuh tentang wang fiat menerusi kajian Ibnu Mani’.

      • Pakdi Dec 1, 2011

        1. Seperti yang pernah saya tulis – http://www.pakdi.net/panduan-penting-seorang-pelabur-muslim-berjaya/

        2. Kalau tidak berpuas hati dengan UZAR, pergi lah ke website beliau, komen di situ, emel kepada beliau. Itu yang paling baik. Blog saya tiada kaitan dengan beliau.

        Harap maklum.

        • ar-rumi Dec 5, 2011

          Terima kasih tuan,

          1. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kita..

          2. Saya mengunjungi web UZAR dan membaca di situ. Di situ terdapat banyak ilmu dan maklumat. Alhamdulillah semoga Allah merahmati beliau. Cuma dalam bab asas seperti wang yang saya tidak bersetuju dengan ulasannya. Ada sesetengah orang sahabat pernah memberi komen di webnya. Ada yang dijawab secara baik, ada yang dijawab secara sinis dan ada yang didelete.

          Terima kasih

  • Derok Nov 29, 2011

    penulis blog ini sendiri pun dah tunjuk ego..tapi nak suruh orang buang ego..hampeh jew..hahaha

    • Pakdi Nov 29, 2011

      Terima kasih derok kerana masih membaca penulisan saya walaupun tuan beranggapan begitu 🙂

  • Derok Nov 29, 2011

    sebabnye ada isi kandungan blog ini yg blh bagi input kat sy..hoho

Leave a Comment