Mudahnya Membuka Trading Account Saham, Anak Muda Ini Berkongsi Pengalaman

123

Hai semua.

Kali ini saya, Hafiz Hadi, mahu berkongsikan pengalaman membuka trading account.

Tak susah sebenarnya.

Status pelajar yang telah mencapai usia 18 tahun pun ok, apatah lagi kalau sudah bergelar graduan. Yang penting, bertindak. Kurangkan bercakap dan menaip, terus buat.

Ikuti pengalaman saya membuka akaun pelaburan saham pertama di salah sebuah bank pelaburan di Malaysia.

1. Cari Syarikat Broker yang berhampiran

Mula-mula saya pergi ke laman sesawang Bursa Malaysia dan mencari senarai syarikat broker yang berhampiran, atau, yang saya mudah untuk berurusan.

Memandangkan saya banyak menggunakan akaun simpanan CIMB,  dan tengok dari senarai yang ada, CIMB Investment Bank yang terdekat dengan rumah saya terletak di KL Sentral, maka saya pilih untuk buka akaun dengan mereka.

2. Buat Temu Janji

Saya telefon dahulu syarikat broker tersebut untuk membuat temu janji dan mengetahui dokumen yang diperlukan untuk membuka akaun.

Dokumen yang perlu saya bawa ialah:

  1. Salinan kad pengenalan
  2. Penyata akaun bank
  3. Duit RM 10.60

Tak perlu temujanji pun. Datang sahaja, dan hubungi mereka apabila dah sampai. 

3. Buka Akaun

Apabila sampai di pejabat mereka, saya terus berjumpa dengan pegawai di kaunter bank untuk membuka akaun trading.

Cuma saya berasa pelik, sepanjang proses membuka akaun, pegawai tersebut tidak dapat menjawab beberapa persoalan saya seperti:

  • Macam mana nak jual beli saham secara online ?
  • Kalau untung / rugi nak buat macam mana ?
  • Macam mana duit dividen akan dibayar ?
  • Dan banyak lagi

Oleh kerana saya tidak berpuas hati, saya telefon semula nombor pejabat untuk membuat aduan. Barulah saya tahu, bukan semua pegawai bank tahu mengenai hal ini. Kita perlu berurusan dengan pegawai yang khusus menjaga urusan jual beli saham.

Saya hubungi pegawai bank pelaburan, tapi rupanya berjumpa pegawai bank runcit biasa, memanglah jadi begitu. Akhirnya, saya dapat berjumpa dengan seorang Associate, Central Dealing Retail Equities, di bawah bank pelaburan.

4. Pilih Jenis Akaun

Dari kesilapan yang tidak disengajakan tadi, baru saya tahu ada 2 akaun berbeza.

Kalau buka dengan bank runcit, kita dapat membuka akaun nominee sahaja. Manakala, jika buka dengan bank pelaburan, dapat buka direct CDS account. Jika buka akaun nominee, ada beberapa perkara yang perlu kita tahu antaranya:

  1. Saham dibeli atas nama broker (e.g. CIMB Nominees (Tempatan) Sdn Bhd)
  2. Tidak boleh memohon IPO
  3. Dividen ada nominees charges
  4. Kena minta izin dari bank untuk hadir AGM
  5. Tidak menerima laporan-laporan syarikat melainkan diminta

Banyak lagilah, ini yang sempat saya ingat. Maklumlah, budak baru belajar. Mungkin kelebihan utama akaun nominee ialah kita tidak perlu bersusah payah untuk menguruskan kertas kerja apabila ada corporate exercise tertentu.

Itu yang penting jumpa pegawai yang memang kerjanya uruskan saham, bukan mana-mana pegawai bank biasa sebab tugas mereka berbeza.

Saya memilih untuk membuka direct CDS account atas sebab berikut.

  • Saya beli saham sebab mahu beli sebahagian dari bisnes
  • Jadi saya berminat untuk pergi ke mesyuarat tahunan syarikat.
  • Saya mahu mendapat laporan-laporan syarikat yang dihantar terus kepada saya
  • Jika ada corporate exercise, saya mahu uruskannya sendiri.

Saya mahu menggunakan masa 3 tahun pertama ini untuk belajar sebanyak mungkin perkara yang sepatutnya.

Isi borang, tanda itu ini dan tanda tangan!

Membuka Akaun Pelaburan Saham; Langkah Pertama Untuk Mereka Yang Serius

Proses buka akaun ini memerlukan beberapa hari bekerja untuk selesai.

Isi borang tu bukan lama pun. Sambil isi, dapat bertanyakan apa yang patut. Apabila akaun sudah aktif nanti, saya dapat masukkan modal.

Bermulalah perjalanan saya sebagai pelabur saham. Whoa…

Pengajaran Untuk Saya

Selama ini saya ingatkan semua bank tu sama, rupanya tidak.

Walaupun nama depan tu sama. Yang membezakan adalah nama di belakang.

Bank pelaburan (e.g. CIMB Investment Bank) adalah pihak utama yang menguruskan akaun saham kita. Ada banyak bank pelaburan dan syarikat broker yang ada di Malaysia. Pilihlah mana yang kita senang.

Bank biasa (e.g. CIMB Bank) pun ada kemudahan buka akaun saham. Cuma selalunya yang ditawarkan adalah akaun nominee. Kalau nak tahu bank biasa sebegitu ada kemudahan buka akaun saham, kenalah bertanya di kaunter.

Malu bertanya, sesat jalan macam saya. Selamat saya sempat u-turn.

About the author: Young Padawan di planet Pakdi.net

Comments on this entry are closed.