Membeli Kereta Adalah Kesilapan Kewangan Saya Yang Pertama

180h

Saya Zulkhairi.

Ini kisah saya.

Hari ini sudah 29 bulan tidak bayar ansuran kereta. Bermakna RM 29 ribu dijimatkan dari dibayar kepada bank.

Alhamdulillah, sejak 29 bulan yang lepas saya dapat mula beri elaun kepada ibu, ayah & mertua selepas 5 tahun 6 bulan tidak mampu berbuat demikian. Bayangkan, kalau saya tidak membeli kereta di luar kemampuan ketika itu, sudah pasti saya dapat bagi sedikit elaun buat ibu bapa lebih awal.

Membeli kereta ialah kesilapan saya yang pertama. Usah disalahkan pengaruh rakan-rakan yang memang kaki kereta, keputusan membeli ialah dari diri sendiri.

Gaji mula-mula kerja memang kecil dibandingkan dengan rakan sebaya. Belum dibandingkan bila rakan-rakan bercakap terima bonus 3 – 6 bulan saban tahun.

Alhamdulillah, selepas 8 tahun, baru mula merasa gaji sekarang, gaji yang rakan sebaya dah pernah merasa sejak tahun 2008. Sekarang sudah sekali ganda barangkali. Selepas pernah ditipu oleh majikan pertama, dipaksa berhenti oleh syarikat besar kerana alasan dangkal & berhenti kerja sendiri, berbekalkan duit simpanan & sokongan isteri untuk sambung belajar selama 1 tahun.

Itu rezeki mereka. Rezeki saya dengan gaji sekarang & ilmu yang Allah beri saban hari.

Selepas 5 tahun 6 bulan, baru dapat bayar balik RM 10 ribu yang ayah pinjamkan sebagai duit muka beli kereta. Terima kasih. Ibu & ayah akan cuba penuhi kehendak anak walaupun si anak tidak pernah tahu perit mereka mengumpul duit dengan jumlah tersebut. Nampak kecil di mata kita, tapi besar & berharga di mata mereka.

Tahun lepas dapat rezeki berpindah kerja. Alhamdulillah, perkara pertama saya & isteri buat ialah naikkan elaun ibu bapa. Mujur Allah bagi lagi peluang untuk beri elaun semasa mereka masih hidup. Dapat juga cukupkan duit untuk ibu bapa layak pergi haji. Mudah-mudahan, rezeki mereka tunaikan haji semasa masih lagi sihat.

Sekarang saya & isteri fokus untuk menambah harta selepas berjaya betulkan pengurusan kewangan keluarga. Tiada komitmen kereta mahupun rumah. Harta hanya sebagai alat untuk memenuhi objektif kewangan. Orang berharta banyak peluang bantu orang yang tidak mampu melalui zakat. Orang berharta kena sentiasa beringat, lebihan rezeki yang Allah beri padanya ada hak orang lain juga. Dia hanya bagi untuk lihat sejauh mana amanah kita.

Kata guru saya, duit ini tiada emosi tapi pemiliknya yang ada emosi. Duit mengalir mengikut keutamaan tuannya. Kalau keutamaan tuannya hanya untuk memenuhi kehendak diri, maka mengalirlah deras ia kepada ‘tuan kepada tuannya’. Kalau keutamaan ialah memenuhi keperluan diri & keluarga, maka ke situlah perkara pertama ia akan mengalir. Barangkali ada lebihan, kalau ada ilmu & iman, mengalirlah ia kepada yang memerlukan.

Apa keutamaan pada diri anda bila mula-mula bawa pulang pendapatan?

Tanyalah diri & jawablah sendiri. Keputusan yang dibuat datang dari diri anda.

Nota ini disediakan oleh Zulkhairi Zulkifli, orang minyak.

Comments on this entry are closed.