Mahu Waris Anda Bersepakat Atau Bertelagah ?

fam

Ramai beri alasan apabila disuruh belajar urus duit dengan betul, “Alah, harta bukan boleh bawa masuk kubur pun.”

Namun, bila tahu sahaja dia adalah salah seorang waris, terus bertelagah dengan waris yang lain untuk merebut harta pusaka yang ditinggalkan.

Apabila berlaku perkara sebegitu, maka Mahkamah diperlukan untuk menyelesaikannya.

Ada beberapa situasi yang menyebabkan waris-waris yang mahu tidak mahu terpaksa juga melibatkan Mahkamah dalam urusan harta pusaka:

Pertikaian Status Waris Yang Memerlukan Pengesahan Dan Perintah Deklaratori

1. Waris Hilang

Salah satu situasi yang sering terjadi adalah apabila di kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka, terdapat waris yang hilang atau tidak dapat dikesan.

Contohnya ada yang pulang ke tanah asal (China, India atau Indonesia) dan hilang berita. Tidak kurang juga yang hilang ketika zaman-zaman komunis mengganas di tanahair. Sudah hilang dan dianggap mati bertahun-tahun lamanya tetapi tidak ada bukti mengenainya.

Dalam situasi sebegini, agensi-agensi yang menguruskan harta pusaka anda anda menasihatkan untuk mendapatkan Perintah Deklaratori untuk Anggapan Kematian (di bawah seksyen 108 Akta Keterangan 1950) daripada Mahkamah (sivil) terlebih dahulu untuk melengkapkan proses dokumentasi sebelum permohonan perbicaraan harta pusaka dimulakan.

2. Itu Harta Siapa ?

“Abang Long, arwah mak dah beritahu nanti bila saya mati rumah itu saya punya sebab saya yang tolong bayar selama ni!”

Selain itu, campur tangan Mahkamah dalam urusan harta pusaka berlaku apabila terdapat pertikaian status harta (adakah harta milik si mati atau bukan milik si mati?)

3. Benarkah Dia Waris ?

“Eh kau tu anak angkat aje tau,”

Selain itu mengenai status waris.

Adakah sekian sekian individu merupakan waris yang berhak terhadap harta pusaka atau tidak berhak?

4. Betulkah Wasiat atau Hibah Itu Arwah Yang Buat ?

“Engkau ni pandai-pandai je kata arwah bapak buat hibah bagi harta ni kat adik,”

Boleh jadi juga pertikaian terhadap kesahihan wasiat, wakaf dan deklarasi hibah.

5. Hak Aku Sebagai Isteri (atau isteri-isteri) Dia

Seperti tunggakan nafkah dan juga tuntutan harta sepencarian.

Pertikaian membawa kerumitan.

Semakin rumit pertikaian semakin banyak kerja perlu dilakukan, semakin panjang prosedur yang harus dilalui maka semakin tinggi kos guaman. Sebab itulah, kita perlu bermula dengan:

  • Membuat senarai harta
  • Membuat senarai waris

Catat apa yang perlu dicatatkan (terutamanya hutang). Daftar apa yang perlu didaftarkan. Isytihar apa apa yang perlu diisytiharkan.

Kalau pinjam katakan pinjam.
Kalau hibah katakan hibah.
Kalau sekadar pegang amanah, jangan dibuat seperti harta sendiri.

Begitu juga jika ada berkahwin lebih dari seorang dan perkahwinan belum didaftarkan maka perbetulkanlah keadaan.

Jika ada mempunyai anak yang dibela orang, ada membuat wasiat, ada berhutang, ada memegang amanah lebih baik jika disimpan baik-baik bukti-bukti sokongan.

Sering terjadi apabila kematian berlaku tiba-tiba muncul sahaja orang yang mengaku waris. Atau tiba-tiba muncul sahaja orang yang mengaku sebagai pemilik harta yang sebenar.

Sudah Sepakat Pun Masih Masuk Mahkamah, Kenapa ?

Sebelum ini saya sudah nyatakan dua agensi untuk menguruskan harta pusaka anda.

Walau bagaimanapun terdapat urusan harta pusaka yang perlu dibuat di mahkamah. Walaupun semuanya ok.

Ini kerana kedua-dua agensi yang saya nyatakan tidak lagi mempunyai bidangkuasa untuk menguruskannya iaitu apabila harta pusaka dengan nilai melebihi RM 2,000,000 (2 juta).

Mahkamah tinggi (sivil) mempunyai bidang kuasa untuk melantik pentadbir dan mengeluarkan perintah pembahagian. Bidangkuasa ini terpakai untuk harta pusaka orang Islam juga.

Bagi urusan kategori ini, secasa asasnya ada dua permohonan yang akan dijalankan. Permohonan pertama adalah untuk melantik pentadbir/pemegang amanah. Dalam permohonan pertama ini pula, akan ada satu permohonan interlokutari untuk melantik penjamin.

Kemudian, barulah permohonan kedua iaitu permohonan untuk perintah pembahagian akan dijalankan. Dalam pembahagian inilah waris-waris yang mempunyai hak terhadap harta pusaka akan dinyatakan bahagiannya. Paling baik, jika sesama waris telah siap-siap berunding terhadap pembahagian harta pusaka.

Waris juga boleh mengemukakan Sijil Faraid yang diperoleh daripada Mahkamah Syariah. Jadi, mahkamah sivil boleh mengeluarkan perintah pembahagian seperti dalam Sijil Faraid sahaja. Untuk menjimatkan masa, prosiding di kedua-dua mahkamah ini boleh sahaja dijalankan serentak.  Ketika membuat permohonan untuk melantik pentadbir, dalam masa yang sama buat juga permohonan untuk mendapatkan Sijil Faraid.

Perintah pembahagian daripada mahkamah sivil adalah perlu kerana perintah inilah yang akan digunakan untuk dikemukakan ketika membuat turunmilik harta pusaka si mati kepada waris-waris kelak.

Begitulah sedikit sebanyak gambaran ringkas yang boleh saya nyatakan dalam laras bahasa orang awam.

Kos Pengurusan Harta Pusaka

Ya, ada kos.

Ia tidak percuma.

Mendengar sahaja tentang Mahkamah tentu sahaja sudah terbayang di fikiran tentang kos guaman yang mahal. Saya selaku peguam pun tidaklah hendak beriya-iya menafikan hal ini. Memang, kos agak tinggi. Pertama kerana memang begitulah kos servis profesional. Keduanya, yuran pemfailan di mahkamah pun tidaklah begitu murah.

Namun demikian, dengan pengetahuan mengenai pengurusan harta yang baik ketika hidup mungkin boleh membantu meringankan beban untuk menguruskan harta pusaka oleh waris-waris.

Bagi si mati yang memiliki polisi insuran/takaful, penama yang dinamakan dalam polisi-polisi tersebut boleh menggunakan wang pampasan akibat kematian untuk pengurusan harta pusaka. Penting bagi penama untuk merekod setiap penggunaan wang tinggalan si mati untuk pengurusan harta pusaka supaya bakinya boleh dibahagikan kepada waris-waris dengan cara yang baik.

Sesetengah kejiranan, koperasi atau persatuan/kelab juga kadangkala menyediakan tabung khairat kematian. Bahkan terdapat juga beberapa amalan baik bagi sesetengah ahli keluarga yang membuat tabungan secara bersistem dan ditadbir oleh bendahari yang dilantik ahli keluarga. Selain untuk mengadakan majlis ‘reunion’ tabung keluarga bolehlah juga digunakan untuk perbelanjaan menguruskan harta pusaka.

Dalam perkongsian kali ini saya menyebut tentang penama, pentadbir dan pemegang amanah.

  • Apakah tugas dan tanggungjawab mereka dalam urusan harta pusaka?
  • Sejauh mana kuasa yang ada pada mereka?
  • Dan apa pula perlu dilakukan jika mereka pula yang meninggal?

Itu saya akan kongsikan dalam tulisan seterusnya.

About the author: Naziatul Azrin ialah seorang pengamal undang-undang di Ipoh, Perak. Berpengalaman mengendalikan urusan harta pusaka muslim dan bukan muslim.

15 comments… add one
  • Rosli Jaafar Dec 22, 2015

    Salam Cik Puan,
    Saya ada pertanyaan berkenaan harta pusaka. Arwah ayah ada bagi sebidang tanah dan sebiji rumah semasa hidupnya kepada saya bersaksikan ibu saya tapi saya tidak membuat pindah hak milik sehinggalah beliau meninggal dunia. Dan baru2 ini ibu saya pula telah meninggal dunia tapi beliau sempat menceritakan perkara ini kepada abang saya.Apakah status harta pusaka tersebut kerana saya masih belum tukar hak milik sehingga sekarang. Berdasarkan hukum islam adakah harta tersebut milik saya atau macammmana. Terima kasih.

    • naziatulazrin Jan 3, 2016

      Salam.

      Terima kasih atas soalan saudara.

      Berdasarkan apa yang saudara tulis jawapan saya adalah seperti berikut:-

      1. Status tanah & rumah: Status hartanah2 tersebut sekiranya belum dipindahmilik maka secara teknikalnya masih adalah kepunyaan si mati. Oleh yang demikian, untuk memindahmilik kepada nama waris-waris maka urusan pentadbiran harta pusaka perlu dijalankan.

      2. Tentang wasiat/hibah: Saya percaya persoalan ini timbul kerana tidak ada dokumentasi membuktikan kesahihan pemberian oleh bapa kepada saudara. Saksi juga ada yang sudah tidak available. Untuk ini, saudara perlu tahu bahawa sedangkan wasiat/hibah berdokumen pun masih boleh dipertikaikan, inikan pula hanya ‘janji mulut’.

      3. Sekiranya waris-waris lain dapat bertoleransi dan berlapang dada tentang hal ini maka boleh sahaja hartanah tersebut (selepas urusan pentadbiran harta pusaka dijalankan) terus dipindahmilik kepada anda. Jika tidak, dan jika saudara masih mahukan hartanah2 tersebut (mungkin kerana saudara telah mengeluarkan belanja sendiri terhadap hartanah2 tersebut) maka saudara perlu membayar bahagian waris-waris lain yang lain. Pada pendapat saya jalan ini adalah lebih baik dan tidak mengelirukan.

      4. Tentang hukum, saya tidak pasti bagaimana mahu menjawabnya. Walaubagaimanapun semoga Tuhan ampunkan kesilapan-kesilapan akibat kelalaian dan kecuaian kita sendiri dalam melengkapkan diri dengan ilmu untuk urusan harta dan harta pusaka ini. Wallahua’lam.

      Sekian, terima kasih.

  • Ieyra Apr 11, 2016

    Salam Cik puan..sy ad kemusykilan tenting pembahagian harta pusaka arwah Ayh Sy..
    1- sy nk tye prlu k sy bt penisytiharan harta?
    2- perlu k sy isytihar hrta or bt faraid kalau adk bradik dh setuju nk bahagi hrta sama rata..

  • Syed Alwi Jun 19, 2016

    kos kos untuk pengurusan harta yang di tangung waris2 di kongsi mengikut hahagian faraid mereka ie lelaki 2 hahagian wanita 1 bahagian

  • Hamizan Aug 5, 2016

    Salam. Saya ingin bertanya berkenaan tanah pusaka dan koperasi. Datuk saya meninggalkan harta berupa tanah yang banyak. Berpuluh tahun tidak diuruskan untuk pembahagian. Sekarang ini, sudah ada kerja-kerja untuk melaksanakannya oleh sepupu-sepupu saya.

    Disebabkan pewaris seramai 210 orang dalam keputusan faraid, adalah amat sukar untuk meletakkan nama mereka dalam geran tanah dan keputusan untuk menjual tanah tersebut tidak dipersetujui.

    Maka, ada cadangan untuk menubuhkan koperasi. Yang menjadi persoalannya.

    1. Mereka merasakan pembahagian keuntungan koperasi dibuat mengikut faraid. Mengikut hikmat saya, pembahagian keuntungan perlu dibuat mengikut jumlah saham yang dimiliki oleh ahli. Adakah pembahagian dibuat mengikut faraid, walaupun pewaris tidak memiliki saham koperasi?

    2. Terdapat satu tanah yang diduduki oleh ibu dan sepupu saya di rumah yang berasingan (2 buah). Setelah tanah ini dinamakan pada koperasi, kuasa ke atas tanah tersebut akan diletakkan ke atas koperasi. Adakah betul macam tu? Sebarang keputusan majoriti ahli koperasi boleh menentukan nasib 2 famili ini?

    Terima kasih.

  • Ahmad Zohair Oct 22, 2016

    Assalamualaikum.

    Saya ingin bertanya, contoh: saya sebagai pemegang amanah untuk membahagikan harta faraid arwah bapa saya. Dan semua sijil pembahagian harta sudah diterima serta jumlah pembahagian harta untuk adik beradik. Tetapi…..

    Disini masalahnya, semua adik beradik tidak setuju dan protes dengan jumlah yang mereka dapat. Mereka mempertikaikan keputusan mahkamah mengapa jumlah Faraid hanya sedikit.

    Apa perlu saya lakukan? Kerana saya tidak mahu pegang harta faraid ini lama-lama.

    Sekian terima kasih.

  • khairil Dec 17, 2016

    salam cik puan, sy mohon pencerahan:
    pakcik sy yg sulong telah lama meninggal dunia, & ada tinggalkn wasiat bertulis & sign pd wasiat bersaksikan 2 adik lelakinya, tp seorng telah pun meninggal dunia. wasiat bertulis menyebut utk memberi satu plot tanah kepada adiknya iaitu ibu sy atas hadiah kerana menjaga ibu mereka semasa sakit. soalan sy:
    1) sah atau x surat wasiat tersebut walaupan tanpa cop pesuruhjaya sumpah atau mana pihak berwajib
    2) bole ke ibu saya menuntut plot tanah itu, caranya?
    3) waris si mati iaitu anak sulong pakcik sy td telah menghalau ibu sy & menuntut haknya tanpa mengetahui kewujudan surat wasit tersebut ( atas kapasiti untuk sy sahkan tuntutan ibu sy kelak & dgn harapan pihak waris tidak buat rancangan di belakang pengetahuan kami)
    4) kami masih tggl di rmh pusaka & plot tanah itu atas kapasiti & kebenaran saksi yg masih hidup buat sementara ini. bolehkah saksi hidup ni menggunakan kapasitinya untuk menuntut hak ibu sy?

  • Khairuddin Bin Hj Abdul Rashid Dec 20, 2016

    Asalam….sy tlh kehilangan isteri.& mempunyai 4 anak 2 lelaki 2 ppuan.pampasan 105k & 30k pelaburan tanpa 2 2 tanpa penama.faraid perlu di lalu kn.ayah & mak isteri msih ada lg

  • rajminder Jan 29, 2017

    salam sejahtera puan.saya nak tanya berkaitan dengan cara untuk menuntut harta peningalan arwah ayah saya.saya seorang non muslim.ayah saya sudah meninggal lebih dari 10tahun.minta pendangan puan untuk menunjukkan cara untuk sy menuntut harta ayah saya.

  • rina Feb 5, 2017

    Salam..

    Maaf,boleh tak tuan jelaskan bagaimana cara untuk tuntut harta pusaka arwah bapa saya?saya merupakan ank sulung dan tunggal lelaki drp 4 adik beradik.

    Bapa saya juga merupakan anak sulung dan tunggal lelaki daripada 8adik beradik perempuan.Arwah atuk ada meninggalkan harta semasa beliau meninggal dan harta tersebut telah jatuh kepada bapa saya dan diuruskan dengan baik.Selepas itu,bapa saya juga meninggal dan harta tersebut telah automatik jatuh kepada saya tetapi saya pulangkan semua harta tersebut kepada salah seorg adik beradik arwah bapa saya kerana mereka lebih layak dan sebelum itu saya ada berpesan kepada adik bapa saya bahawa segala uruskan dan hak arwah bapa saya,mesti beri pada kami dan dia bersetuju.

    akan tetapi,sekarang semuanya telah berubah…mereka tidak beri hak atau bahagian arwah bapa saya seperti yang diamanahkan.

    soalan saya,adakah saya boleh mengambil peguam untuk menguruskan hal urusan pusaka ini??

    sekian..terima kasih

  • Jasreh duki Mar 27, 2017

    Salam..sya nak bertanya ..bagaimana buat tuntutan harta yg telah tersalah penama..maksud sya semasa isteri sya mengurus jual beli harta seperti tanah dan buat rumah tela memberi kepercayaan kpada ibunya..slepas beberapa tahun isteri sya menuntut utuk penukaran nama tanah tersebut kpada namanya atas alasan bimbang harta tersebut akan mndatngkn maaasala tkar nama sekiranya berlaku kmatian..apaka cara terbaik skiranya ibu iesteri sya enggan tukar nama..

  • Suraya Bachok Apr 27, 2017

    Assalamualaikum..sy perlukn pandangan dan pendapat apa yg perlu sy buat..Arwah ayah saya ada rumah(rumah murah)penama adalh arwah ayah dan sudah dtukar hakmilik pd mak saya..rumah itu yg duduk adalh saudara kami..arwah ayah bagi duduk krna ayah xmmpu mbyr..jd saudara sy yg mlunaskn byaran rumah..utk pengetahuan rumah itu rumah dn tanah kurnian MB.semasa ayah bg duduk saudara krn xmampu nk byr bulan..mak ckp tidak ada hitam putih antara saudara yg duduk.yg mnjdi persoalan..saudara kami hendak menukar hak milik pdye..sedangkn rumah itu hak milik atas nama mak.bolehkh saudara sy memaksa mak sy menukar nama tanpa kerelaan jika saudara saya bawa kes mahkamah.

  • Baharuddin bin idris Jun 9, 2017

    Salam puan macam mana nakselesaikan bab paraid psal harta pusaka tanah arwah ayah saya bernilai 2juta 7ratus ribu tpi 3org adek kakak perempuan x nk ikut paraid sedangkan pemaju nk baya dh ikut paraid Ade kah kuasa Mahkamah Syariah boleh buat keputusan bahwa Perentah Mahkamah kena ikut oleh adek perempuan saya .maksud sya boleh jual tanpa persetujuan pihak perempuan. Sekian tk

  • Nazri Sep 5, 2017

    Assalamualiakum,

    bagiamana caranya sekiranya waris tidak mahu memberi kerjasama? adakah terdapat 3party yang boleh menguruskannya

Leave a Comment