Kenapa Makan Gaji Sahaja Tidak Cukup ?

inkam

Makan gaji sahaja tidak cukup.

Tuan mesti ada lebih dari 1 pendapatan.

Supaya tuan dapat mendapat apa yang tuan mahu. Seperti ada cita-cita mahu bebas hutang lebih cepat, nak beli rumah impian atau mempunyai tabung persaraan yang dapat mengekalkan gaya hidup sedia ada.

Maka tuan perlu ada lebih dari satu pendapatan supaya apa untuk apa yang dimahukan itu tercapai. Berikut adalah 3 jenis pendapatan yang mesti diketahui:

  1. Pendapatan dari gaji.
  2. Pendapatan dari bisnes.
  3. Pendapatan dari pelaburan.

Jangan bergantung kepada pendapatan dari gaji sahaja. Ini kerana bukan semua orang menjadi CEO syarikat, menjawat jawatan JUSA atau berpeluang menjadi pengurusan kanan di tempat tuan bekerja seterusnya mendapat gaji yang besar-besar.

CEO syarikat besar selalu dapat ganjaran dari sudut lain, sama ada ekuiti dalam syarikat yang membolehkan dia berkongsi untung syarikat, stock options, kontrak berbonus wajib dan tidak ketinggalan buat bisnes senyap-senyap, sebagai plan B sekiranya kontraknya tidak disambung. Kontrak ‘tamat’ sahaja, tahu-tahu dia dah memiliki rangkaian bisnes francais yang terkenal. Dia pun tahu makan gaji tak cukup. Dia cuma seorang CEO, pengurus yang paling tinggi pangkatnya dan bukan seorang pemilik syarikat pun.

Maka, pendapatan dari gaji sahaja tidak mencukupi. Berikut ialah bagaimana Dr Hans, seorang doktor perubatan dapat mempunyai lebih dari satu pendapatan.

1. Pendapatan Dari Gaji

Dr Hans mempunyai gaji sebagai seorang doktor yang bertugas di klinik kerajaan.

Maka itu adalah pendapatan gaji beliau.

Gaji merupakan pendapatan aktif yang bersifat tetap. Malangnya, bagi kebanyakan pekerja, gaji sentiasa ada had silingnya. Jika kita ada 2 bos, 1 bos besar dan 1 bos kecil, maka gaji kita pasti lebih kecil. Malah kenaikan gaji pun tidak banyak. Bukannya naik 100%.

Namun gaji adalah pendapatan yang paling asas untuk semua.

2. Pendapatan Dari Bisnes

Pada masa yang sama, beliau juga membuat locum.

Di klinik milik kawan-kawan pada masa tertentu. Maka ini ialah pendapatan dari bisnes beliau.

Bisnes itu terbahagi dua, perkhidmatan atau jual barang. Bisnes perkhidmatan adalah menjual masa dan kepakaran. Bisnes jual barang adalah menjual ‘kotak’ dan lebih bersifat komoditi.

Lebih banyak kita menjual, lebih banyak pendapatan yang dapat diperoleh. Bagi seorang pekerja, bisnes ini dapat dibuat secara part-time. Mulakan bisnes tanpa berhutang. Mulakan bisnes dengan apa di tangan sahaja.

3. Pendapatan Dari Pelaburan

Hasil dari 2 pendapatan sebelum ini, Dr Hans dapat membuat lebih banyak simpanan.

Dr Hans pun dapat menukarkan duit simpanan tunai dalam bentuk harta yang sebenar. Iaitu dengan mula membeli harta-harta produktif. Harta produktif juga dikenali sebagai harta berkembang adalah sejenis harta yang dapat memberikan pendapatan. Pendapatan pelaburan ini bersifat pasif.

Contoh pendapatan dari pelaburan adalah seperti:

  • Dividen dari syarikat-syarikat saham yang dibeli di Bursa Malaysia.
  • Agihan pendapatan dari unit amanah saham.
  • Hasil sewa dari hartanah

Selain dari memperoleh pendapatan seperti ini, harta berkembang ini juga dapat dijual sekiranya perlu.

Pelbagai Sumber Pendapatan Lebih Baik

Tuan patut menambah pendapatan lain.

Bermula dengan kecil, lama-lama pendapatan tersebut dapat membesar. Mula-mula membuat sasaran seperti:

  • Simpanan di Tabung Haji berkembang dari RM 10 ribu menjadi RM 20 ribu
  • Hasil rumah sewa dari cashflow +RM 500 menjadi +RM 1000 sebulan
  • Unit saham dari 10 lot menjadi 100 lot.
  • Dan seterusnya.

Proses mengembangkan harta seperti ini mengambil masa. Maklumlah, baru tanam padi pagi tadi mana mungkin pada waktu petang sudah berbuah. Jadi perkembangan ini tidak berlaku sekelip mata. Tetapi sekiranya dibajai dengan baik maka …

  • Simpanan di Tabung Haji berkembang dari RM 20 ribu menjadi RM 100 ribu
  • Hasil rumah sewa dari cashflow +RM 1 ribu menjadi +RM 10 ribu sebulan
  • Unit saham dari 100 lot menjadi 100 ribu lot.
  • Dan seterusnya.

Apabila tuan sedang menanam padi, musuhnya adalah seperti rumpai. Rumpai-rumpai ini perlu diracun dan mesti dicabut sehingga ke akar umbi. Rumpai-rumpai kewangan antaranya adalah:

  • Mengumpul hutang piutang untuk membeli simbol kemewahan palsu.
  • Berbelanja tanpa menyimpan terlebih dahulu.
  • Tidak rajin bersedekah
  • Membazir membeli barangan yang tidak perlu
  • Mempercayai golongan penipu yang menawarkan untung tetap setiap bulan.

Kita mesti tanam biji benih pokok dan bukan tanam rumpai.

Selepas tuan dah melakukannya, pada satu hari pendapatan tuan dari pelaburan atau bisnes pun semakin banyak. Lebih banyak dari gaji. Ketika itu tuan juga sudah dapat berfikir-fikir untuk berhenti kerja. Jika mahu terus bekerja pun boleh. Ketika itu tuan dapat membuat keputusan berdasarkan pilihan yang terbaik dan bukan lagi kerana terpaksa.

About the author: Saya merupakan konsultan kewangan dan membantu pemilik bisnes + profesional untuk membuat cashflow analysis, assets & liabilities management dan exit plan.

Comments on this entry are closed.