Hukum Menerima Hadiah Dari Hasil Riba

har

Salam Pakdi,

Ayah saya laburkan duit dalam forex untuk saya.

Modal menggunakan modal ayah saya. Ayah saya kata, keuntungan yang diperoleh dia akan bagi sama rata antara saya dan dia. Tapi, yang saya tahu, forex ni haram… saya was-was nak guna duit tu.

Boleh ke kalau saya guna duit keuntungan forex tu untuk bayar PTPTN ?

NLN

Jawapan:

Ini adalah persoalan mengambil hadiah dari seseorang yang memberi hadiah (hibah) kepada kita, yang diketahui dari sumber haram.

Sahibus Samahah Dr Mohd Asri ada memberikan jawapan mengenai persoalan ini.

Hukum Mengambil Pemberian Dari Sumber Yang Haram

Berikut adalah jawapan yang relevan dari jawapan beliau yang panjang itu tadi.

Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. Beliau menjawab:

“Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi s.a.w pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah s.a.w memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa”

Jawapan ini bersandarkan beberapa dalil yang diberikan, antaranya:

1. Surah, al-An’aam, ayat 164:

Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja

2. Nabi Muhammad saw berjual beli, menerima hadiah malah menggadaikan baju besi kepada orang Yahudi pada zamannya, dan diketahui orang Yahudi memang mengamalkan riba.

3. Jawapan dari Sahabat yang menjawab isu ini,

Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:

“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).

Namun, jika ia datang dari sumber yang membabitkan hak orang lain yang jelas dizalimi seperti kereta curi, dan kita tahu kereta itu kereta curi, maka dalam situasi itu tidak dibenarkan.

Pada masa yang sama kita tidak boleh bersetuju seterusnya mempromosi tindakan haram itu tadi (e.g. forex trading) apatah lagi memberikan modal kepada pihak tersebut.

Dalam kes ini, modal hanya datang dari ayah, dan ayah mahu memberikan hibah dari hasil tersebut. Cik Puan telah pun menunjukkan rasa tidak redha atas keterlibatan dalam forex trading itu tadi. Maka, Cik Puan menerima hibah (halal) manakala ayah yang menerima hasil riba.

About the author: Suhaida Mahpot; Konsultan Kanan di AFIQ Training & Advisory

Comments on this entry are closed.