Hukum Main Saham

comp

Apa hukum main saham ?

Haram ke halal ?

Bukan macam berjudi kah ?

Bila sebut hukum melabur saham, maka sudah pasti isu spekulasi menjadi persoalan utama. Namun, perbincangan mengenai perkara ini sebenarnya lebih dari itu.

Betulkan Istilah

Mula-mula bukan main saham.

Tetapi pembelian saham, atau pelaburan saham.

Ramai melihat pelaburan saham itu adalah hanya pada pergerakan harga. Justeru, membeli saham cuma dilihat macam teka-teki harga turun naik.

Namun sebenarnya apabila kita membeli saham, kita membeli pemilikan atau ekuiti dalam sesebuah syarikat. Kita adalah pembeli saham. Apabila sudah membeli saham walaupun cuma 1 lot, maka kita menjadi pemilik syarikat tersebut. Cuma selaku pemain runcit, pemilikan kita adalah kecil.

Bentuk syarikat dalam bursa saham hari ini memang berbeza dengan bentuk perkongsian secara musharakah & mudharabah seperti yang banyak disebut dalam buku-buku fiqh klasik. Namun, prinsip asasnya sama.

Apakah Bisnes Syarikat Tersebut ?

Maka persoalan asas apabila nak beli saham adalah kita kena tahu apa yang syarikat tu jual.

Pelabur yang peka dengan isu halal haram tak boleh main beli sahaja syarikat yang terlibat dengan aktiviti bisnes sebegini:

  • Perbankan riba
  • Insurans
  • Judi
  • Arak
  • Babi
  • Restoran tak halal
  • Hiburan yang tidak patuh Shariah
  • Pendapatan dari akaun riba
  • Rokok

Dari Mana Datang Modal Berniaga Syarikat  Itu Tadi ?

Aqidah ini macam akar.

Kalau akar rosak, maka pokok itu sakit. Walaupun mukanya hensem. Walaupun pijak semut tak mati. Walaupun IQ paling tinggi. Iblis adalah contoh paling tinggi kerosakan aqidah. Penciptaannya hebat tetapi langgar perintah Allah swt. ‘Aba was takbaro’.

Dalam bisnes, akarnya adalah modal. Capital.

Apa itu modal? Konsep paling mudah adalah ekuiti + hutang (equity + debt).

Jika kita buka kedai makan, modalnya RM 50,000 dan kesemuanya kita pakai duit tunai. Itu maksudnya kita menggunakan 100% ekuiti.

Jika kita pinjam RM 25,000 dan bakinya baru guna duit simpanan, itu maksudnya modal bisnes 50-50. Separuh ekuiti, separuh hutang.

Bisnes yang mempunyai rahmat, keberkatan dan manfaat dunia akhirat adalah bisnes yang mempunyai modal yang bebas dari unsur riba. Modalnya mesti halal, jika berhutang, berhutang dengan cara yang halal.

Bisnes walaupun untung RM 1 bilion tetapi jia akarnya kotor, maka ia sama macam perihal aqidah yang sesat. Bisnes itu sakit walaupun nampak sihat. Sedangkan bisnes patut membantu para pemiliknya masuk syurga.

Suruhanjaya Sekuriti bermula 1995 hanya menggunakan kaedah stocks screening yang melihat luaran sahaja. Aktivti bisnes itu halal atau tidak? Tidak tengok perkara lain. Kaedah ini dikritik, ramai yang skeptik. Macam mana boleh halal 25%, 10%, 5% misalnya.

Setelah 18 tahun, SC mula melihat ‘akar’ bisnes. Ekuiti dan hutang itu sumbernya mana?

Adakah selepas 15 tahun SC akan menetapkan modal mesti datang 100% dari sumber halal? Ia tidak mustahil.

Penerangan tentang perkara ini ada dicatat dalam artikel ini:

Bagaimana Suruhanjaya Sekuriti Menentukan Sesuatu Saham Itu Patuh Shariah ?

Pasaran Saham Haram Sebab Spekulasi? Kembali Kepada Asas Jual Beli

Ya, aktiviti spekulasi itu ada perbezaan dengan aktiviti pelaburan.

Namun, untuk menentukan hukum, kita kembali kepada asas jual beli.

Aktiviti spekulasi yang disebut ramai orang itu selalunya bersifat short term. Sama ada intraday trading, contra trading, daily swing trading dan seterusya.

Oleh kerana aktiviti spekulasi dan kegiatan jual beli di Bursa Malaysia tidak dapat dipisahkan, maka para ulama telah pun duduk berbincang mengenai isu spekulasi.

Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SC), menerusi dua mesyuarat pada 16-17 Oktober dan 26 November 1997 telah mengesahkan aktiviti spekulasi ini adalah dibenarkan. Asas utamanya adalah aktiviti spekulasi adalah berbeza dengan berjudi. Hujah lanjut adalah seperti berikut:

  • Spekulasi adalah tindakan beli pada harga rendah dan jual pada harga tinggi. Ambil untung dari perbezaan dua harga itu tadi. Tujuannya untuk mendapatkan capital gain. Sedangkan itulah cara buat bisnes dalam mana-mana bidang sekalipun. Bai’ Muzayadah atau jual beli lelong pun berlaku aktiviti yang sama. Bai’ Murabahah juga begitu. Islam tidak melarang kegiatan ambil untung melalui aktiviti jual beli.
  • Nabi Muhammad saw sendiri tidak pernah membuat kawalan harga (price control) termasuk ketika ada orang ramai mengadu harga barang mahal. Justeru, apabila ada pihak yang untung apabila harga naik maka tu adalah dibenarkan. Pada masa yang sama, pihak peniaga perlu mengambil risiko sekiranya membeli pada harga tinggi dan harga kemudiannya jatuh pula. Apa yang utama adalah tidak ada penipuan dan manipulasi.
  • Walaupun aktiviti spekulasi dan perjudian nampak macam sama tapi ia TIDAK serupa. MPS menasihatkan agar pelabur mempunyai pengetahuan secukupnya sebelum melakukan sebarang transaksi jual beli saham dan bukan bertindak seperti seorang kaki judi.

Maksudnya, selagi mana rukun dan syarat jual beli itu dapat dipenuhi, maka sama ada ia bersifat short term, atau long term, maka pembelian saham itu tadi adalah satu jual beli yang halal.

Pasaran Saham Haram Sebab Maysir ?

may

Memang ada produk di Bursa Malaysia itu jatuh kategori maysir (judi).

Tetapi jual beli saham bukan salah satu daripadanya.

Ini kerana apabila kita membeli saham, kita membeli pemilikan dalam bisnes. Selaku pemilik bisnes, kita dapat hadir mesyuarat agung tahunan untuk mengundi, memilih pengarah syarikat, layak memperoleh dividen, layak memperoleh bonus dan juga terlibat dalam aktiviti korporat tertentu.

Beli saham bukan sekadar teka harga. Walaupun ada yang berbuat sedemikian, tetapi itu itulah perangai macam kaki judi. Sikap individu itu sendiri dan bukannya pasaran saham itu adalah aktivti maysir.

Contohnya, main bola di padang. Tiba-tiba di tepi padang ada dua orang penonton buat betting. Maka, takkan yang main bola di padang tu jatuh hukum haram sedangkan yang betting itu adalah individu itu sahaja.

Jual beli saham itu sendiri tidak jatuh dalam perjudian kerana wujud situasi win-win situasi dan bukannya zero-sum game.

Maka, kita tidak perlu risau apabila membuat pelaburan saham kerana ia adalah aktiviti yang halal. Hari ini sudah sangat mudah untuk kita memilih mana-mana saham patuh Shariah.

Sekiranya tuan mahu tahu lebih lanjut mengenai pelaburan saham, sila klik link di bawah untuk belajar pelaburan saham secara online:

— www.pakdi.my

About the author: Suhaida Mahpot; Konsultan Kanan. Mahu menjalankan seminar & latihan pengurusan kewangan peribadi ? Sila hubungi kami melalui link berikut : www.afiqtraining.com

Lagi Artikel Menarik

Comments on this entry are closed.