Graduan Muda! Kumpul Harta Bermula Gaji Pertama

gra

Lebih separuh daripada mereka yang muflis di Malaysia berumur 44 tahun dan ke bawah.

Itu bukan life begin at 40 yang diimpikan.

3 punca utama yang dikenal pasti adalah disebabkan oleh:

  • Hutang kenderaan kereta
  • Hutang pembiayaan peribadi (personal loan)
  • Hutang beli rumah (salah langkah semasa pelaburan)

Pelajari Ilmu Kewangan Semasa ‘Sihat’

Manusia cenderung mencari ubat berbanding membuat langkah pencegahan.

Misalnya, kita lebih selesa untuk tidak mengeluarkan peluh, kurang mengawal pemakanan dan juga merokok ketika masih sihat sejahtera. Sedangkan aktiviti luar dapat kita lakukan secara ‘percuma’ setiap hujung minggu di taman-taman awam, halaman rumah sendiri atau pun di kebun.

Hanya selepas sakit baru lah kita mencari jalan menjadi sihat. Makan ubat, diet, dan sebagainya. Ketika itu kos adalah lebih mahal.  Sebab itulah Nabi saw berpesan agar menjaga 5 perkara sebelum datang 5 perkara.

  • Masa muda sebelum tua.
  • Masa lapang sebelum sibuk.
  • Masa sihat sebelum sakit.
  • Masa kaya sebelum miskin
  • Masa hidup sebelum mati.

Kita Semua Pasti Telah Merasai ‘Kaya’

Barangkali kita lahir dalam keluarga miskin.

Itu bukan salah kita.

Namun setelah kita pergi ke sekolah, masuk kolej dan masuk universiti seterusnya memperolehi kerja, sebenarnya kita telah merasai kekayaan.

Maklumlah, jika bank meluluskan permohonan kita untuk mendapatkan kad kredit, beli kereta dan beli rumah itu semua adalah petanda kita sebenarnya orang kaya atau bakal kaya. Ini kerana bank tidak akan bagi kemudahan hutang kepada orang miskin.

Cuma apabila kita mengambil jalan yang tidak betul dengan pendapatan kita, maka ketika itulah kita mula menjadi ‘miskin’. Kita mencipta kemiskinan diri kita sendiri dan akhirnya terasa seperti mengemis di negara sendiri.

  • Orang-orang kaya dan bakal menjadi kaya mengumpul aset dengan gaji pertama.
  • Orang-orang miskin dan bakal miskin mengumpul hutang dengan gaji pertama.

Apabila kita tidak dapat membezakan harta dan hutang, alat kekayaan dan kekayaan sebenar serta pendapatan dan harta maka ketika itu jalan orang-orang miskin sedang terbentang luas di hadapan mata kita.

Tersalah langkah dengan gaji pertama ?
Betulkannya dengan gaji kedua.

Tersalah langkah dengan gaji kedua ?
Betulkannya dengan gaji ketiga.

Dan seterusnya.

Jalan Pintas Menjadi Kaya

Kita sentiasa mempunyai dua pilihan, jalan panjang atau jalan pintas.

  • Jalan Panjang

Semua perkara kita nak alami sendiri dan mahu dapat pengalaman itu sendiri.

Adakah kita mahu merasa ‘miskin’ atau menjadi ‘broke’ bak kata orang Amerika baru kita mahu menghargai ilmu kewangan?

  • Jalan Pintas

Manakala, jalan pintas pula adalah belajar dari pengalaman orang lain.

Lihat sekeliling kita, siapa yang kita boleh belajar dari mereka. Individu yang lahir dalam keluarga kaya mereka mempunyai role model yang paling hampir, ibu bapa mereka sendiri.

Namun, bagi kita yang kurang bernasib baik, lahir dalam keluarga biasa-biasa maka kita perlu mencari ilmu itu di luar dari lingkungan sosial kita dengan mula membaca pelbagai jenis buku dan hadir ke seminar-seminar.

Melantik seorang financial planner secara profesional juga adalah satu pilihan yang sangat baik.

Dunia Ini Tidak Adil

Mungkin kita ada berfikir, “Kan bagus kalau aku lahir dalam keluarga kaya. Dunia ini tidak adil.”

Terima hakikat tersebut dan bersedia menghadapinya.

  • Mekanik pandai membaiki kereta. Kita tidak.
  • Peguam pandai berhujah. Kita tidak.
  • Steven Gerrard pandai main bola. Kita kaki bangku.

Tapi kita pasti ada sesuatu yang mekanik, peguam dan Steven Gerrard tidak pandai buat dan barangkali mereka memerlukannya. Itu yang kita perlu cari.

Apa Yang Kamu Tuai Simpanlah Bersama Tangkainya

Jadi jangan tunggu sehingga kita mempunyai masalah kewangan baru kita mencari jalan penyelesaian. Sedangkan kita boleh mencegahnya dari awal dan menjadi kaya dengan lebih cepat.

Itulah yang al-Quran pesan kepada kita semua. Ketika zaman senang kita kena banyak menyimpan, kawal perbelanjaan dan tukar pendapatan menjadi harta.

About the author: Suzardi Maulan, seorang Islamic Financial Planner yang membantu individu untuk memulakan tabung persaraan — Klik sini untuk info lanjut

Comments on this entry are closed.