Dividen KWSP 2016 Ialah 5.70%

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 18 Februari 2017 telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.70 peratus untuk 2016.

Dividen 2015: 6.40
Dividen 2014: 6.75
Dividen 2013: 6.35
Dividen 2012: 6.15
Dividen 2011: 6:00

KWSP Isytihar 5.70 Peratus Untuk Dividen 2016

Prestasi mampan dalam suasana pasaran tidak menentu

KUALA LUMPUR, 18 Februari 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan kelulusan Menteri Kewangan, hari ini mengisytiharkan 5.70 peratus kadar dividen untuk tahun 2016 dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion.

Pengerusi Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Kami amat sukacita kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun. Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.”

KWSP mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM46.56 bilion pada 2016, naik 5.25 peratus berbanding RM44.23 bilion pada 2015. Ini merupakan pendapatan pelaburan kasar tertinggi sejak penubuhan KWSP pada 1951 dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 11.10 peratus sejak 2001.

Ini merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar. Bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran.

Dalam tahun tersebut, KWSP berhadapan dengan persekitaran pelaburan yang mencabar berikutan berlakunya peristiwa yang membimbangkan seperti Brexit dan pilihanraya Presiden di Amerika Syarikat. Sepanjang tahun 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang tidak memberangsangkan selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak, nilai matawang domestik yang lemah serta aliran keluar modal yang tinggi dari pasaran negara membangun kepada pasaran negara maju dan kepada matawang yang lebih selamat.

“Majoriti pasaran dunia mengalami penyusutan pada awal tahun 2016 sekaligus menjejaskan prestasi KWSP. Walau bagaimanapun, kami telah menggiatkan aktiviti pengambilan untung bermula suku tahun kedua (S2 2016) agar dapat mencapai sasaran strategik kami,” kata Tan Sri Samsudin.

Dalam tahun yang dikaji, Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pendapatan sebanyak 57.68 peratus, atau RM26.85 bilion, naik 3.23 peratus berbanding RM26.01 bilion pada 2015. Pelaburan KWSP dalam instrumen berpendapatan tetap yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf serta Pinjaman & Bon menyumbang 34.87 peratus, atau RM16.23 bilion, daripada RM46.56 bilion pendapatan pelaburan untuk tahun tersebut. Hartanah & Infrastruktur menyumbang RM2.49 bilion pendapatan pelaburan untuk 2016 dengan pertumbuhan tahunan 46.04 peratus berbanding 2015, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang RM982.28 juta pendapatan untuk tahun tersebut.

Pada ketika prestasi bon dan pasaran ekuti tempatan mengalami penurunan, strategi diversifikasi KWSP dalam aset dan matawang global telah membenarkan pengambilan untung dari pelbagai pasaran sepanjang tahun seterusnya membantu dalam meningkatkan prestasi. Pelaburan luar negara, yang mewakili 29 peratus dari keseluruhan aset pelaburan, menyumbang 39 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar sepanjang tahun, seterusnya menambah nilai kepada pulangan keseluruhan pelaburan KWSP.

Tan Sri Samsudin berkata, “Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, yang mempunyai hampir 33 peratus pendedahan kepada sektor perbankan, merekodkan pulangan negatif untuk tiga tahun berturut-turut dengan pulangan tahun 2016 sebanyak -3.00 peratus. Ini memberi kesan terhadap nilai pasaran aset tersenarai yang dipegang oleh KWSP memandangkan lebih 70 peratus jumlah aset pelaburan dilabur dalam pasaran domestik. Harga minyak mentah sedunia yang jatuh sehingga USD30 setong telah menjejaskan penilaian terhadap syarikat tersenarai dalam sektor minyak dan gas. Oleh yang demikian, sebagai dana simpanan persaraan yang berhemah, adalah perlu untuk kami merekodkan penyusutan nilai pasaran (mark-to-market) dalam penyata kewangan kami.”

Selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), KWSP dikehendaki mengisytihar rosot nilai bersih sebanyak RM8.17 bilion berbanding RM3.07 bilion pada 2015 bagi mencerminkan penurunan harga ekuiti, terutama dalam sektor perbankan domestik serta minyak dan gas bagi pasaran domestik dan luar negara.

Walau bagaimanapun, aset pelaburan KWSP yang bernilai RM731.11 bilion setakat 31 Disember 2016 berbanding jumlah simpanan ahli sebanyak RM704.27 bilion menandakan kekukuhan portfolio pelaburan KWSP.

Setakat 31 Disember 2016, sebanyak 48.58 peratus daripada aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap dan 42.33 peratus dalam Ekuiti, manakala selebihnya 4.03 peratus dan 5.06 peratus masing-masing dalam Hartanah & Infrastruktur dan Instrumen Pasaran Wang. Oleh itu, secara semulajadinya prestasi pelaburan KWSP adalah menjurus ke arah pulangan instrumen berpendapatan tetap.

Bagi tahun 2016, amaun pendapatan yang diagihkan sebagai dividen adalah lebih tinggi daripada amaun yang diagihkan pada 2014 walaupun kadar dividen pada 2014 adalah lebih tinggi pada 6.75 peratus. Ini berikutan jumlah pengagihan untuk setiap satu (1) peratus kadar dividen pada 2016 adalah RM6.51 bilion berbanding RM5.43 bilion pada 2014. Jumlah yang diperlukan untuk pengagihan setiap satu (1) peratus kadar dividen terus meningkat sebanyak 9.5 peratus setahun sejak 2001 selaras dengan pertumbuhan baki simpanan ahli untuk tempoh yang sama.

“Sejak krisis kewangan global pada 2008, KWSP telah mengagihkan RM236.07 bilion dividen kepada ahlinya,” kata Tan Sri Samsudin.

Pembayaran dividen diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Sementara itu, KWSP kekal berhemah dalam perbelanjaan seperti yang dicerminkan oleh nisbah kewangan utamanya yang konsisten, termasuk kos kepada aset di bawah pengurusan sebanyak 0.25 peratus (2015: 0.26 peratus), kos kepada pendapatan kasar pada 2.56 peratus (2015: 2.68 peratus) dan kos kepada jumlah aset pada 0.16 peratus (2015: 0.17 peratus).

Mengulas tentang keadaan ekonomi pada 2017, Tan Sri Samsudin berkata ketidaktentuan pasaran akan terus menjadi kebimbangan kerana implikasi sebenar daripada Brexit dan hala tuju polisi yang jelas di bawah pentadbiran Trump masih belum terungkai.

“Strategi diversifikasi kami telah terbukti berkesan terutamanya di waktu sukar, dan kami akan terus meningkatkan pendedahan kepada pelaburan alternatif terutama dalam Hartanah dan Infrastruktur selari dengan objektif kami sebagai pelabur jangka panjang untuk memberikan pulangan yang konsisten kepada ahli. Kelas aset ini juga bertindak sebagai instrumen lindung nilai semulajadi terhadap inflasi.”

Bermula 2017, prestasi KWSP akan dilaporkan mengikut Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi pengumuman prestasi suku tahun dan tahunan. Sehingga 23 Disember 2016, sebanyak 635,037 ahli telah bertukar ke Simpanan Shariah, dengan penggunaan alokasi sebanyak RM59.03 bilion daripada alokasi RM100 bilion yang ditawarkan.

Ahli boleh menyemak pengkreditan dividen 2016 melalui penyata KWSP mereka bermula Ahad, 19 Februari 2017 melalui i-Akaun di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. Selain itu, ahli juga boleh mendapatkan penyata KWSP melalui Kios KWSP atau hadir ke mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.

Comments on this entry are closed.