Dividen KWSP 2013

Dividen 2013: 6.35%

Berikut ialah laporan dari Astro Awani.

KWSP isytihar dividen 6.35% untuk 2013

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pemberian dividen 6.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Ia merupakan bayaran dividen paling tinggi sebanyak RM31.2 bilion kepada ahlinya, meningkat 13.66 peratus daripada RM27.45 bilion pada 2012.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata prestasi KWSP konsisten dan stabil terutamanya bagi lima tahun lepas.

“Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, KWSP telah mempelbagaikan portfolio dengan memperluaskan skop aset pelaburan bagi menguruskan risiko pasaran dan menjana pulangan yang konsisten.

“Sejak krisis kewangan global 2008, KWSP telah mengisytiharkan dividen dikompaun melebihi RM120 bilion kepada ahlinya. Saiz aset pelaburan KWSP termasuk caruman tahunan bersih telah mencatatkan peningkatan kukuh; daripada RM342.01 bilion pada 2008 kepada RM586.66 bilion pada penghujung tahun 2013.” tambah beliau.

Kadar dividen ini diisytiharkan hasil daripada pendapatan pelaburan kasar yang mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM35.00 bilion, meningkat 12.81 peratus daripada RM31.02 bilion yang dicatatkan pada 2012.

Pembayaran dividen 2013 diperoleh setelah ditolak peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen untuk pengeluaran.

Dengan jumlah ahli KWSP meningkat kepada lebih daripada 13 juta, sebanyak RM4.91 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2013.

Ini merupakan 10.06 peratus lebih tinggi berbanding RM4.46 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2012.
Penyata akaun KWSP yang telah dikreditkan dividen 2013 boleh disemak mulai sekarang secara online melalui i-Akaun di laman web MYEPF.

Ahli juga boleh mendapatkan penyata akaun mereka dari kios KWSP atau cawangan KWSP yang berdekatan mulai hari Isnin, 17 Februari 2014.

About the author: Nak cari individu yang boleh bercakap tentang urus duit untuk organisasi anda ? >>Klik sini untuk keterangan lanjut<<

Comments on this entry are closed.