Dividen ASB2 2017 6.50%

PNB mengumumkan pengagihan pendapatan lebih daripada RM1.5 bilion untuk lima dana, iaitu Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Gemilang (ASG) yang merupakan dana payung menaungi ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan.

Pemegang unit ASM akan menerima agihan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit, manakala pemegang ASB 2 unit akan menerima agihan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit.

Pengagihan pendapatan ASM melibatkan jumlah pembayaran kira-kira RM1.0 bilion, yang akan memanfaatkan lebih 500,000 pemegang unit yang kini memegang 17.3 bilion unit. Sehingga 28 Februari 2017, ASM mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM1.2 bilion. Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM622.2 juta atau 52.4% kepada pendapatan kasar. Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang RM404.2 juta atau 34.0%, manakala baki pendapatan sebanyak RM160.9 juta atau 13.6% diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Sementara itu, agihan pendapatan ASB 2 melibatkan pembayaran sebanyak RM384.7 juta, yang akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 pemegang unit yang kini memegang 7.4 bilion unit. Sehingga 28 Februari 2017, ASB 2 mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM349.8 juta. Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM158.8 juta atau 45.4% kepada pendapatan kasar. Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang RM133.2 juta atau 38.1%, manakala baki pendapatan sebanyak RM57.8 juta atau 16.5% diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASM dan ASB 2 adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum sepanjang tahun kewangan masing-masing. Walau bagaimanapun, pemegang unit ASB 2 mesti mengekalkan sekurang-kurangnya 10 unit dalam akaun mereka pada tarikh pengagihan pendapatan untuk layak menerima agihan pendapatan.

Pengagihan pendapatan ASM dan ASB 2 akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada harga RM1.00 seunit, yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2017.

(Sumber: PERMODALAN NASIONAL BERHAD)

Comments on this entry are closed.