Dah Cukup Simpanan Sebanyak 7 Bulan Perbelanjaan ?

Sekiranya sudah cukup maka langkah seterusnya ialah laburkan duit tersebut.

Apabila mahu melabur, jangan bermula dengan soalan ini dulu.

“Berapa aku boleh untung ?”

Ini adalah soalan salah. Ini kerana siapa yang mencari untung dulu mudah dipengaruhi dengan pelbagai skim pelaburan palsu. Tuan-puan bertanyalah soalan seperti ini.

“Berapa aku boleh rugi ?”

Supaya tuan-puan tahu expectation sesuatu pelaburan yang tulen. Hanya skim pelaburan palsu yang menjanjikan untung sekelip mata tanpa perlu berusaha lebih.

Semua pelaburan ada risiko rugi. Itu adalah risiko pelaburan yang perlu diambil. Apakah risiko-risiko rugi yang boleh berlaku ?

  • Beli rumah dari developer; terbengkalai, lambat siap, hasil kerja teruk
  • Sewa rumah; dapat penyewa dari neraka
  • Saham; harga jatuh sampai 50%
  • Unit trust; ada risiko yang sama macam saham
  • Warrant & CPO; modal habis semuanya
  • Melabur dengan berhutang; kadar faedah / untung bank dinaikkan atau kita diberhentikan kerja.
  • Dan seterusnya.

Sekiranya tuanpuan cuma mahu mendengar cerita-cerita yang indah sahaja, bersedialah untuk hilang banyak dari modal permulaan pelaburan itu tadi. Malah, hilang 100% dan ditimpa hutang pun boleh jadi.

Apabila sudah ada minda pelabur seperti di atas, maka ini langkah seterusya yang perlu dibuat.

1. Apakah Tuan Sesuai Jadi Pelabur Agresif ?

Pelaburan mesti dibuat.

Pilih untuk jadi pelabur yang mana satu.

  1. Pelabur agresif, atau,
  2. Pelabur defensif

Pelabur agresif adalah pelabur yang dapat memperuntukkan masa & komitmen, manakala pelabur defensif adalah sebaliknya. Bagi majoriti dari pelabur, mereka sebenarnya patut fokus menjadi pelabur defensif kerana untuk betul-betul mahir menjadi pelabur agresif sejumlah masa diperlukan sebagai latihan, iaitu sebanyak kira-kira 10 ribu jam.

Tetapi sekiranya masih belum buat keputusan, masih rasa nak cuba nasib, maka sila baca no (2) – (5).

Bagi individu yang telah mengakui mereka tidak dapat memperuntukkan masa secukupnya, boleh terus ke no (6).

2. Pilih Pelaburan Harta Produktif

Semua pelabur mahu buat untung.

Tiada pelabur yang mahu rugi.

Keuntungan terkompaun paling sedikit yang mesti setiap pelabur dapat ialah mesti dapat lawan inflasi. Apabila sudah dapat lawan inflasi maka kuasa membeli dan gaya hidup dapat dikekalkan.

Pelaburan yang menguntungkan bukan sekadar dah beli apa-apa pelaburan. Dah beli emas, perak, saham, hartanah, unit trust dan seterusnya. Betul dah “melabur” tetapi apakah pelaburan itu satu pelaburan yang menguntungkan ?

Beli harta pelaburan tu tak salah, tetapi ramai yang beli harta pelaburan yang salah.

Pelaburan Harta Produktif Untuk Lawan Inflasi

3. Mulakan Secara Kecil-Kecilan

Sudah ada modal jalan terus.

Mulakan dengan modal yang sanggup rugi 100% terlebih dahulu.

Jangan sama sekali berhutang baik dengan bank atau dengan kawan-kawan serta keluarga. Gunakan duit sendiri untuk bermula. Sekiranya mahu membuat pembelian saham, modal permulaan sekadar RM 3 ribu – RM 5 ribu adalah mencukupi. Untuk pelaburan hartanah beli rumah, apartment yang dijual pada harga bawah RM 100 ribu.

4. Beri Masa 3 – 5 Tahun

Modal permulaan tadi mungkin bertambah.

Boleh jadi juga berkurangan.

Dalam tempoh ini tadi perlu ada satu buku catatan i.e. jurnal pelaburan yang mencatatkan semua perkara-perkara berkaitan pelaburan itu tadi. Ini adalah penting supaya sekiranya berlaku kerugian kita tahu sebab-sebabnya dan jika berlaku keuntungan pun kita tahu kenapa. Ini dapat mengelakkan kita rasa bangga dengan keuntungan terpijak.

5. Review Semua Pelaburan Selepas 3 Tahun

Selepas ada catatan, maka dapat kira return on investment (ROI) pelaburan.

Kemudian buat juga kiraan kos melepas (opportunity cost) untuk melihat apakah melabur di A adalah lebih untung dari melabur di B.

Sekiranya pelaburan di A yang dibuat selama ini memang lebih menguntungkan, maka sila teruskan apa yang telah dibuat selama ini. Itulah pelaburan yang terbaik untuk individu tersebut.

Jika tidak …

6. Jadi Pelabur Defensif

Sekiranya tak dapat jadi pelabur agresif, maka pilihlah jadi pelabur defensif.

Pelaburan terbaik untuk pelabur defensif ialah pelaburan dalam managed fund i.e. diuruskan oleh professional seperti unit trust kategori indeks, ETF, REIT atau pun membuat sendiri portfolio saham indeks.

Sebagai individu profesional bekerjaya yang tidak mempunyai cukup masa untuk memahami banyak perkara teknikal pelaburan, maka sila dapatkan khidmat seorang licensed financial planner sebelum mula membeli apa-apa pelaburan.

About the author: Suzardi Maulan, seorang Islamic Financial Planner. Sekiranya tuan-puan mahukan konsultansi kewangan & pelaburan sila klik link ini: Konsultansi Kewangan

Comments on this entry are closed.