Budaya Duit Raya

1. Saya belum terbaca ada ulama yang mengharamkan perbuatan bagi duit raya. Makruh pun tidak. Perbuatan ini sama ada harus (hadiah) atau pun sunat (sedekah).

2. Dalam buku Tarbiyatul Awlad atau Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam yang ditulis oleh almarhum Sheikh Abdullah Nasih Ulwan, menulis secara spesifik antara hak seorang teman itu adalah – Saling menghadiahi pada musim-musim tertentu atau pun upacara tertentu. Antara sandaran hadis adalah yang direkodkan oleh Imam Thabrani dalam al-Ausath:

Bertukar-tukarlah dalam hadiah, nescaya timbul semangat saling sayang-menyayangi.

3. Malah semasa hari raya juga kita disunatkan berpakaian yang cantik-cantik (tidak semestinya baru dan mahal), wangi-wangi, hensem-hensem agar kita berada dalam suasana suka, riang dan gembira sepanjang hari raya.

4. Justeru kita tidak perlu sampai mengharamkan.

5. Jika kita tidak suka, tidak perlu bagi. Namun pastikan hari raya kita adalah hari raya yang gembira dengan banyak lagi cara lain selagi mana Syariat membenarkannya. Bukannya tidak mahu bagi duit raya sampai tutup pintu rumah tidak mahu diziarahi dan tidak menziarah orang lain.

6. Bab si pemberi duit raya nak menunjuk-nunjuk, riyak dan takabbur itu bukan urusan kita. Itu urusan hati. Urusan hati ini Allah swt sahaja yang layak menilainya.

7. Barangkali jika tak mahu beri duit raya pada hari raya, tuan puan juga dapat memberi duit raya sebelum hari raya kepada golongan-golongan ini:

  • Pak guard di kawasan rumah / pejabat
  • Makcik cleaner di kawasan rumah / pejabat
  • Tukang kutip sampah di kawasan rumah, pejabat
  • Dan golongan yang kita maklum pendapatan mereka rendah di sekeliling kita dan pemberian duit raya kita itu dapat menggembirakan mereka pada hari raya. Dapat pahala sunat beri sedekah dan juga menggembirakan orang lain di hari raya.

8. Kita juga semakin hilang budaya bertukar makanan pada hari raya. Kita masak lebih rendang ayam kita dan diberikan kepada jiran-jiran pada pagi subuh sebelum solat sunat Eidulfitri. Sudah lah tak mahu bagi duit raya, makanan raya pun kedekut tak mahu berkongsi.

9. Saya suka budaya memberi dihidupkan dalam masyarakat. Tidak kisahlah dalam bentuk duit raya, juadah raya, hadiah hari raya, tolong beli baju raya mahupun tol percuma di lebuh raya ketika hari raya. Sama ada kepada anak-anak yang masih bersekolah walaupun diketahui bapaknya berharta (yang kaya bapak bukan anak), anak-anak yatim dan mereka yang susah. Yang tidak mahu bagi tidak apalah, tapi jangan halang orang lain yang mahu memberi.

10. Pada masa yang sama kita juga perlu didik anak-anak kita perbuatan beri duit raya ini bukanlah perkara yang wajib sehingga kalau tak dapat duit raya anak kita memandang serong pula kepada tuan rumah.

About the author: Suzardi Maulan, Islamic Financial Planner (IFP). Klik sini untuk info lanjut

Lagi Artikel Menarik

Comments on this entry are closed.