Budaya Berniaga

better

Kita masyarakat Melayu-Bumiputera khususnya, masih kurang budaya berniaga.

Sudah mula ramai tetapi belum cukup ramai.

Kerana kita dapat melihat dalam struktur masyarakat, wujud keluarga cikgu, ada keluarga pegawai tinggi kerajaan dan tidak ketinggalan keluarga GLC. Malah, ada keluarga dari emak, bapa dan anak-anak semua dalam sektor yang sama. Tanpa budaya berniaga dalam keluarga, ia menyebabkan:

  • Sukar untuk kita memulakan perniagaan sendiri sebab kita tidak tahu cara yang betul untuk bermula.
  • Tidak ramai dapat menjadi seorang pelabur yang baik kerana tidak faham bagaimana bisnes beroperasi.

Anak-anak Melayu-Bumiputera yang pandai-pandai dikumpulkan dan dimasukkan ke sekolah berasrama seawal usia 12 tahun. Selepas SPM dihantar pula ke universiti-universiti yang terkemuka. Habis belajar dengan segulung kertas ijazah mereka perlu bekerja semula dengan pihak yang menaja mereka.

Sebab itu bila anak Melayu-Bumiputera yang mempunyai ijazah dan memilih untuk berniaga ramai yang mendapat tentangan dari keluarga & masyarakat.

Penat-penat belajar 5 tahun di universiti, kenapa tak jadi ____________ (isi tempat kosong) ?

Kan senang kerja dengan _____________ (isi tempat kosong). Nak beli rumah senang, nak beli kereta senang, sakit pun senang.

Anak-anak hilang punca.

Ingin mengadu kepada ayah, si ayah pegawai tinggi kerajaan. Mengadu kepada ibu, si ibu seorang cikgu. Suka tidak suka terpaksa juga bekerja dalam bidang yang sama dengan bidang ijazahnya walaupun tidak minat.

Terpaksa.

Seterusnya, apabila masyarakat kita majoritinya bukan masyarakat berniaga, maka cara urus duit adalah cara urus duit dengan mentaliti orang makan gaji. Kalau kerja syarikat besar, mesti cari kereta yang sepadan. Bangga mak tengok anaknya telah “berjaya”.

“Eh, tiap-tiap bulan kan gaji masuk.  Kenapa masih pakai kereta buruk je?”

Sampai mahu berkahwin pun jalannya mudah. Kan ada personal financing, kan ada slip gaji. Seterusnya berkahwin dengan berhutang 10 tahun

Seterusnya keluarga semakin membesar. Gaji & pangkat tidak naik secepat yang diharapkan. Akhirnya, terdesak untuk mencari pendapatan tambahan. Disebabkan mentaliti pelabur belum disuburkan, maka mudah percaya dengan pujuk rayu seperti berikut:

“Abang tak perlu jual barang, cuma cari 2 orang sahaja downline. Itu pun online je sekarang!”

“Abang, harga emas sentiasa naik, abang re-finance lah rumah ni dan duit tunai itu aku boleh beli emas banyak-banyak sebagai pelaburan. Boleh dapat hibah setiap bulan.”

“Abang, kita ada group main saham berjemaah, banyaknya tips kaunter mana boleh beli. Ikut je tips kami beri!”

Benar, nak melabur tidak semestinya hanya orang yang berniaga.

Siapa-siapa sahaja boleh melabur asalkan mempunyai modal. Tetapi pengalaman berniaga membolehkan kita menjadi seorang pelabur yang lebih baik. Kita dapat melihat sesuatu pelaburan itu dengan kaca mata orang yang faham bisnes. Yang tahu beza mana intan yang mana kaca.

Dan sesungguhnya Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) itu sendiri berniaga dan melabur.

About the author: Suzardi Maulan, Islamic Financial Planner (IFP). Klik sini untuk info lanjut

Lagi Artikel Menarik

Comments on this entry are closed.