Borang Persetujuan Pusaka : Faham Sebelum Setuju

bli

1. Saya beberapa kali berdepan dengan kes waris yang mempersoalkan Perintah dari Pejabat Unit Pusaka. Tentang kenapa mereka tidak memperoleh bahagian dalam pusaka. Tentang kenapa sekian waris sahaja yang menerimanya. Atau masih terima, tetapi tidak berpuas hati dengan bahagian yang diterima.

2. Apabila saya soal dengan lebih lanjut lagi, maka akhirnya ada pengakuan – “Saya ada tanda tangan satu borang dulu”. Okay, Borang apa?

3. Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati, selain Borang A yang perlu diisi oleh Pemohon untuk memfailkan permohonan bicara harta pusaka di Pejabat Unit Pusaka ada satu lagi borang yang seringkali orang-orang awam terlepas pandang kegunaannya. Iaitu Borang DDA. Juga boleh disebut sebagai Borang Persetujuan.

Lihat : Borang DDA

4. Jadi Borang DDA ini apa? Secara mudahnya, ia satu borang untuk memudahkan proses perbicaraan harta pusaka. Sebelum bicara, waris-waris digalakkan untuk berbincang tentang pembahagian harta. Supaya semasa bicara nanti senang sikit. Tidak memakan masa yang panjang. Juga kurang ‘drama’. Iyalah, kan ramai yang tunggu giliran bicara tu.

5. Misal kata si mati meninggalkan sebidang tanah sebesar sekangkang kera. Waris pula ramai. Ya, benar. Memanglah semua ada hak. Tapi meletakkan kesemua nama waris pada hartanah tersebut bukanlah sesuatu yang praktikal. Boleh, bukan tak boleh. Tapi nanti sukar. Hartanah itu pun akan jatuh nilai.

6. Jadi, dalam kes begini disarankan untuk diletakkan satu atau dua nama sahaja. Waris-waris lain boleh isi Borang DDA ini. Kalau tak mahu langsung, boleh isi bahagian 2 (c). Kalau sudah ada penerima spesifik, isikan bahagian 2 (b).

7. Apabila Borang DDA sudah diturunkan tanda tangan oleh waris, jika hari perbicaraan nanti dia tidak mahu hadir pun tidak menjadi masalah. Borang DDA itu akan diambil kira sebagai mewakili dirinya.

8. Kenapa pula ada waris tidak mahu hadir? Biasanya kerana waris tidak mahukan bahagian harta pusaka atas sebab-sebab tertentu. Atau, bahagian untuk dirinya sudah dimasukkan siap-siap dalam Jadual Pembahagian Borang DDA tersebut. Nanti automatik dalam Perintah akan tertera namanya sebagai penerima. Mudah.

9. Bagaimana pula jika tiba-tiba mahu tarik balik persetujuan dalam Borang DDA? Jika perbicaraan belum lagi dijalankan, waris boleh hadir pada hari bicara nanti. Bantah pada hari itu.

10. Jika perbicaraan sudah dijalankan? Ya, inilah isunya. Tidak ada cara lain. Melainkan memfailkan Rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap Perintah Pusaka tersebut. Dalam hal ini, anda memang memerlukan khidmat peguam.

11. Oleh itu, jika anda disuakan satu borang oleh waris-waris lain, dan ia adalah Borang DDA – pastikan akan faham kesannya sebelum memberikan persetujuan.

About the author: Naziatul Azrin ialah seorang pengamal undang-undang di Ipoh, Perak. Berpengalaman mengendalikan urusan harta pusaka muslim dan bukan muslim.

1 comment… add one
  • noorizan bin mizan Feb 11, 2017

    assalam tuan saya nak tanya dgn tuan .berkaitan pemegang amanah ayah saya seorang peneroka.telah meninggal.jadi utk tanah felda hanya boleh 1 orang sahaja pemegang amanah. saya bersetuju utk letak abang sulung saya sebagai pemegang amanah. tetapi semasa waktu urusan harta pusaka kecil saya tidak dapat hadir di tempat tersebut jadi saya kena isi borang DDA ke tuan bahgian mana yg perlu saya isikan diharap tuan dapat bagi contoh cara pengisian.

Leave a Comment