Soalan: Apa yang perlu dibuat oleh seorang bapa sejurus selepas anak dilahirkan ?
A. Ambil gambar sepuas hati. Maklumlah kamera digital dah murah.
B. Berjoget dan menyanyi. Besar nanti boleh masuk reality show.
C. Tidur. Penat, lama sangat dah tunggu.
D. Biar aje nurse buat apa dia nak. Kerja dia.
Jawapan:
E. Azan dan iqamat di telinga anak.
Ya. Si bapa perlu mengazankan di sebelah telinga kanan, dan seterusnya mengiqamahkan di sebelah telinga kiri. Cukup dengan laungan sekadarnya. Tidak perlu guna mikrofon surau.
Itulah antara perkara sunat yang sepatutnya dilakukan oleh si bapa. Jangan sibuk ambil gambar anak sampai terlupa azan dan iqamat.
Itulah yang Nabi Muhammad saw buat selepas Hasan b. Ali dilahirkan oleh anaknya Fatimah.
Tiada isu kalau suara tak sedap pun. Saya pun bukan juara Akademi Fantasia. Tapi itu bukan soalnya. Yang penting antara kalimat awal yang didengarkan kepada anak adalah laungan azan dan iqamat untuk menghalau syaitan.
Kepada anda yang merupakan bapa yang bakal menyambut kelahiran, jangan lupa hal ini.
Kepada anda yang bekerja di hospital, terlibat dalam urusan di labor room, jangan lupa ingatkan si bapa dan beri lah anak yang baru lahir tersebut kepada si bapa untuk diazankan.
Semasa anak sulung saya dilahirkan, elok sahaja keluar doktor tanya nak ambil gambar tak ? Terkejut sekejap, maklumlah pengalaman pertama. Tapi saya kata, “Takpe. Nanti pun boleh.”
Kemudian, dia dibersihkan oleh bidan dan tak lama kemudian, sebelum sempat saya bertanya, si bidan dah minta saya azan dan iqamatkan. Alhamdulillah. Seronoknya.
Barangkali saya azan dan iqamatkan perlahan sahaja, maka isteri saya bertanya, “Eh, abang dah azankan ke? Tak dengar pun.”
Ya tuan-tuan, azan dan iqamat dengan kadar suara secukupnya pun boleh. Tak perlu guna loud speaker.
Tags: azan iqamat bayi, azan telinga kanan bayi, iqamat telinga kiri bayi, perkara sunat selepas lahir anak