Subscribe RSS

Posts Tagged ‘ayat quran susu ibu’

Susu Ibu: Pandangan Seorang Bapa

December 3rd, 2009 by pakdi | 5 Comments | Filed in susu ibu

Saya tidak pernah merancang pun untuk pergi ke kelas mengenai penyusuan susu ibu. Tetapi apabila isteri saya mengajak hadir ke kelas tersebut, saya tidak lah menolaknya. Mula-mula terfikir juga, nak bagi susu ibu pun kena belajar ke? Hehe… Sebabnya ibu-ibu semua sudah ada *tuuu* bagi sahaja lah. Kan kan kan.

Gambar kenangan di kelas penyusuan susu ibu anjuran SaraKids dan Lunatots

Rupanya mahu menyusu ibu tidak semudah yang disangkakan. Maklumlah, lelaki. Selalu ambil mudah banyak perkara.

Apa yang dimaksudkan adalah, seorang ibu yang mengambil keputusan untuk menyusu ibu secara eksklusif perlukan sokongan penuh seorang bapa. Maklumlah, walaupun penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang natural, tetapi disebabkan banyak perkara seperti gaya hidup kita yang berubah dan lebih percayakan susu formula lebih dari susu ibu yang diberikan secara semula jadi oleh Allah swt menyebabkan kemahiran menyusu ibu ini semakin hilang.

Khasiat dan kebaikan menyusu ibu ni saya rasa sudah banyak ditulis dalam blog-blog lain. Justeru tidak lah perlu saya ulang kembali di sini. Malah, dari sudut kewangan pun penyusuan susu ibu ini sangat menjimatkan.

Apa yang saya ingin kongsi adalah, selaku suami kita perlu bagi sokongan tidak berbelah bagi kepada isteri kita. Sokongan adalah amat penting kerana :

1. Budaya masyarakat sudah berubah

Kita sudah dibudayakan secara komersil oleh pengeluar susu tepung. Amat jarang kita lihat anakĀ  kambing menyusu dengan ibu lembu. Anak kerbau dengan susu kuda. Anak lembu dengan susu kambing. Tetapi kenapa ramai yang masih memberikan anak mereka dengan susu lembu ?

2. Kefahaman yang salah

Antara nasihat yang salah yang kami terima adalah :

“Jangan bagi anak tu susu ibu yang berwarna kuning. Itu adalah susu basi.”

“Anak kau ni ada (demam) kuning ni. Tak nak bagi susu kambing ke?”

“Bagi lah air kosong dekat dia. Asyik susu ibu je.”

Susu berwarna kuning itu adalah susu awal ibu, atau dalam bahasa lainnya, kolustrum. Ia adalah amat berkhasiat bagi bayi. Kenapa kita berebut minum susu awal lembu tetapi tidak mahu bagi anak kita minum susu awal ibu? Susu ibu berwarna kuning dan lebih pekat itu bukan susu basi, tetapi adalah susu awal ibu.

Manakala, ubat demam kuning yang terbaik adalah susu ibu, dan susu ibu memudahkan proses perkumuhan (kencing dan berak) bayi untuk memastikan apa yang hati bayi masih belum boleh buat, diproses dengan baik. Alhamdulillah, anak sulung kami hanya kena demam kuning yang sedikit sahaja walaupun kumpulan darah anak kami dengan ibunya adalah berbeza.

Seterusnya, sehingga bayi berumur 6 bulan, susu ibu adalah mencukupi. Perut bayi bukan besar mana pun lagi. Malah, nak proses makanan pun belum cukup matang. Macam orang kebuluran dan kelaparan yang amat sangat, janganlah kita terus-terus bagi makanan berat. Begitu juga perut bayi. Persediaannya kena betul. Bukan semua makanan boleh terus dihadam oleh bayi.

3. Perang emosi

Ibu perlukan ketenangan untuk menyusukan bayi dan menghasilkan susu yang banyak. Dalam keadaan orang rapat seperti ibu bapa dan mertua yang masih ada salah faham mengenai susu ibu, suami perlu lah memainkan peranan penting untuk bagi kekuatan kepada isteri.

Jangan lah sebab nak menang hati mertua, kita pun sokong mertua kita nak bagi susu kambing kepada anak kita. He he he.

4. Si ibu perlu dibantu pada peringkat awal

Susu ibu tidak terus keluar kalau tidak dirangsang sebaiknya oleh bayi. Malah, tak banyak pun yang keluar pada peringkat awal penyusuan. Maka, mereka yang menyusukan untuk kali pertama barangkali terasa “risau”.

Suami pun kena beri pelbagai bentuk galakan. Sediakan Breast pump. Tempat simpan susu. Peti sejuk yang secukupnya. Contigency plan kalau bekalan elektrik terputus. Dan seterusnya. Isteri kita tu tengah berpantang. Belum larat nak ke kedai sendiri. Kalau tak sempat beli masa mengandung, jangan la pula suami buat tak tahu pula selepas bersalin.

5. Bukan semua hospital mesra penyusuan ibu

Ya. Masih ada hospital yang tidak berapa mesra penyusuan susu ibu. Alhamdulillah, tempoh hari kira-kira sejam selepas kelahiran anak sulung saya, saya boleh terus ambil dia dan kenalkannya dengan susu ibu. Bidan yang bertanyakan dulu pun. Malah, apabila anak diambil dari nurseri hospital, ada borang kebenaran penyusuan susu formula. Pihak hospital hanya akan beri susu tepung sekiranya dibenarkan oleh ibu bapa.

Maka, jangan lupa untuk memastikan anak anda yang baru lahir terus kenal dengan susu ibu secepat mungkin. Pihak hospital mungkin ada yang tak endah, tetapi itu adalah tanggungjawab si bapa. Si ibu kan tengah penat, baru sahaja lepas bekerja keras melahirkan anak anda.

Jangan Malu Untuk Belajar

Banyak benda yang perlu dipelajari untuk menjayakan penyusuan ibu ni. Maklumlah, sekarang ni ibu-ibu ramai yang bekerjaya. Maka, si bapa pun kena tahu macam mana nak panaskan susu, nak simpan susu dan seterusnya. Jadi, ilmu penyusuan susu ibu adalah amat penting.

Dalam Islam sendiri kita perlu maklum, ada beberapa ayat Quran yang menyebut mengenai penyusuan susu ibu ini.

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan. (al-Baqarah: 233)

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman : 14)

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. (al-Ahqaf: 15)

Malah dalam budaya masyarakat Jahiliyyah pun, mereka dahulu mengamalkan secara meluas mengamalkan konsep susu ibu angkat. Keluarga Nabi Muhammad saw adalah keluarga bangsawan. Datuknya Abdul Muttalib adalah orang besar Mekah. Kalau setakat nak dapatkan susu kambing, susu unta bukanlah sesuatu yang susah bagi keluarga baginda. Tetapi baginda masih ada seorang ibu susuan yang bernama Halimah as-Saadiah.

Saya fikir penyusuan susu ibu adalah salah satu kaedah yang baik untuk merawat penyakit sosial dalam masyarakat. Bonding yang berlaku antara si ibu dan si anak selepas penyusuan berlaku boleh jadi penghalang kuat untuk sebarang kes pembuangan bayi.

Malah dalam ayat Quran yang saya kongsikan di atas, perasaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa terhasil akibat penyusuan susu ibu yang sempurna. Walaupun barangkali belum ada kajian saintifik mengenai hal ini, tetapi saya percaya banyak hikmah di sebalik amalan penyusuan susu ibu.

Doakan kami agar berjaya menyusukan anak sulung kami agar paling sekejap penyusuan susu ibu pun adalah 6 bulan. Kalau dapat sehingga 2 tahun, itu lah yang terbaik.

Tags: , , , , , ,