Upacara kenduri cukur jambul adalah adat. Iaitu apabila rambut anak dipotong sedikit dan diletakkan dalam air kelapa. Adakalanya diiringi dengan marhaban atau berzanji. Selalunya dibuat sekali dengan kenduri aqiqah.
Perkara yang sunat adalah mencukur keseluruhan rambut anak yang baru lahir. Kemudiannya rambut yang dicukur itu ditimbang dan disedekahkan mengikut harga perak. Ia adalah amalan Rasulullah saw sendiri. Ia ada dinukilkan dalam hadis-hadis berikut.
Imam Malik al-Muwatta’ :Ja’far bin Muhammad dari ayahnya, katanya, Siti Fatimah r.a telah menimbang rambut-rambut al-Hasan dan al-hussain, Zainab dan Ummi Kalsum, dan telah menyedekahkan dengan setiap berat rambut itu perak.
Yahya bin Bukair, dari Anas b Malik: Bahawasanya Rasulullah saw telah menyuruh mencukurkan rambut al-Hassan dan al-Hussain pada hari ketujuh mereka, dan rambut-rambut mereka telah dicukurkan dan disedekahkan seberatnya dengan perak.
Apa yang disunatkan dibuat ini ada hikmah tersendiri.
1. Kesihatan si anak
Rambut yang lahir itu telah tumbuh sejak dalam rahim ibu lagi. Maka, rambut itu sudah bercampur dengan pelbagai cecair sebelum dan ketika kelahiran. Adakah semua cecair yang mengiringi kelahiran itu bersih dan tidak mempunyai sesuatu yang berbahaya? Maka, wajarlah untuk rambut si anak itu dicukur semuanya untuk membolehkan rambut baru yang lebih sihat tumbuh dan segala kekotoran di kepala dibersihkan. Barangkali satu kajian sains boleh dibuat.
2. Amalan sedekah
Rambut itu bukan sahaja dicukur semata-mata, tetapi ianya ditimbang bagi membolehkan kedua ibu bapanya bersedekah sebagai salah satu cara memanjatkan rasa syukur kepada Allah swt atas kelahiran anak mereka.
Kalau mahu cukur, cukur semuanya
Dalam Islam, cukur rambut ini perlu dibuat semuanya. Bukan cukur sedikit sahaja dan tinggalkan sedikit atau sebahagian rambut dibiarkan tidak bercukur. Ia dipanggil qazak. Kalau tak mahu cukur, jangan cukur langsung. Tapi kalau mahu cukur, cukur kasi botak licin baik anak itu lelaki atau perempuan. Larangan ini disebut dalam hadis berikut:
Dari hadis riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abdullah b Umar, Nabi saw telah melarang dari mencukur setengah kepada anak kecil, dan meninggalkan setengah iaitu qazak.
Semoga, apa yang saya kongsikan ini mendapat faedah untuk anda. Justeru, anda maklum yang manakah adalah adat, yang mana adalah ibadat dan apakah yang diharamkan dalam kita mencukur rambut anak kita nanti.
Tags: amalan cukur jambul, aqiqah, berzanji, cukur jambul bayi, cukur rambut bayi, hukum cukur jambul, marhaban