Perniagaan Multi-Level Marketing atau MLM adalah fenomena baru dalam masyarakat dunia. MLM juga dikenali sebagai Network Marketing. Secara asasnya, MLM adalah gabungan perniagaan direct selling dan francais.
MLM adalah fenomena baru kerana ia hanya dikesan sekitar tahun 1950an dan ia berjaya menghasilkan ramai orang kaya baru dengan kadar yang pantas. Seperti yang sedang berlaku di Malaysia sekarang, penduduk di Amerika juga pernah curiga dengan kehadiran MLM kerana ia seolah-olah seperti skim Ponzi dan skim cepat kaya.
Akhirnya pada 1979, dalam kes In re. Amway Corp. , ia diputuskan sesungguhnya MLM bukanlah satu skim penipuan piramid, ia adalah asas perniagaan yang sah. Dan Federal Trade Commission di Amerika telah menggariskan 7 panduan asas untuk mengenal pasti skim penipuan dan syarikat MLM yang sah.
Setelah hampir 30 tahun kes tersebut diputuskan, barulah umat Islam “demam” mengenai hukum MLM. Seperti panduan yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin dan juga Lajnah Keahlian & Ulama Pelapis, Dewan Ulama PAS Pusat ini.
Saya tidak mahu mengulas dari sudut hukum, tetapi saya ingin mengulas isu demam hukum MLM ini dari perspektif lain.
1. Kenapa setelah kira-kira 50 tahun MLM wujud, baru umat Islam membincangkan mengenai MLM?
Antara syarikat awal MLM, Amway telah bertapak di Malaysia sejak 1976 lagi. Seperti mana yang kita ketahui, industri MLM dikuasai oleh masyarakat Cina.
Adakah ini bermaksud masyarakat Islam terlambat 30 tahun dalam hal ini? Syarikat-syarikat MLM milik bukan Islam sudah mula masuk ke papan-papan saham Bursa Malaysia barulah kita terhegeh-hegeh nak mengambil tahu mengenainya.
Itu pun masih ramai yang keliru antara MLM palsu dan MLM tulen.
2. Kekeliruan ustaz-ustaz celup
Apabila timbul isu begini, kita dapat lihat betapa cetek pengetahuan masyarakat Islam tentang perniagaan dan ketinggalannya kita dalam bidang ini. Ditambah lagi dengan kehadiran ustaz-ustaz celup yang hanya melihat duit sebagai matlamat tanpa pernah untuk cuba memahami konsep perniagaan dan pelaburan yang sebenar, terus mengusutkan keadaan.
“Ustaz ni kata MLM ni halal. Kau bukan ustaz, apa kau tahu.”
Alangkah mudahnya seseorang itu dilabel sebagai ustaz, dan betapa taksubnya masyarakat kita dengan title “ustaz”, sehingga untuk menyanggah mereka dalam bidang yang bukan dalam kepakaran mereka pun masyarakat tidak berani. (Oh ya, pelajar degree usuluddin, Bahasa Arab, Tafsir, Hadis, malah syariah pun belum tentu mahir dalam fiqh dan usul, apatah lagi berkaitan dalam fiqh al-muamalat)
3. Sifat tidak sabar ustaz-ustaz segera
Keadaan kusut kini dimasaikan (kusut masai) pula dengan kehadiran “ustaz segera” atau “ustaz copy-paste“. Dalam istilahnya kita sebut mereka yang bertaqlid. Mereka sendiri tidak faham dan kurang arif apa yang mereka copy-paste secara online atau offline. Apa yang mereka tahu, “Ustaz A kata ini haram, Ustaz B kata ini halal.”

Tahu apa itu marketing? Guerilla Marketing? Four P’s? 8 p’s? Generate lead? Viral Marketing? Matrix system? Branding? Referral?
Apa benda tu. Ntah, saya tidak pasti kebanyakan ustaz segera ini pun tahu. Apa yang mereka tahu, forward-forward-forward dan forward segalanya dalam kantung emel.
Contoh mudah dalam isu ASB (Oh saya suka ambil ASB sebagai contoh kerana semua orang mudah nak faham)
“Pakdi, kau ni tak paham-paham lagi ke, ASB haram lah.”
Bagi saya, apabila ASB haram, ia bukan sekadar hukum RM 100 000 dalam akaun ASB anda. Ia juga adalah hukum dana ASB yang berjumlah berbilion-bilion di dalam pasaran.
Kalau setakat RM 10,000 hatta RM 1 juta pun dikeluarkan dari pasaran, ia tidak mempunyai kesan apa-apa pun terhadap pasaran dan sosio-ekonomi. Tetapi kalau RM 1 atau 10 bilion diambil keluar dari pasaran tanpa persediaan yang betul, ia mempunyai kesan yang besar dalam pasaran dan juga sosio-ekonomi negara.
4. Integrasi ilmu
Kalau dia ada degree dalam bidang agama (walaupun CGPA dia hanya 2.0) anda akan tetap panggil dia ustaz. Apatah lagi kalau dia pakai kopiah dan jubah.
Tetapi kalau dia ada PhD dalam bidang ekonomi dan kewangan (hoho, ini ilmu sekular) jangan harap masyarakat akan panggil dia ustaz walaupun dia dah tulis pelbagai tajuk jurnal akademik dan buku.
Masalah umat Islam berlaku apabila “orang agama” tidak belajar ilmu di luar bidang agama, dan “bukan orang agama” tidak belajar ilmu agama. Sejak bila lah ilmu Islam itu hanya bab haid dan nifas serta mandi wajib sahaja?
Saya berpendapat kewujuduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah titik awal integrasi ilmu ini dapat diwujudkan untuk kebaikan jangka masa panjang. Justeru, kita bakal menyaksikan pakar ekonomi yang boleh bercakap tentang teori ekonomi Keynesian serta prinsip zakat secara perbandingan!
5. Adakah umat Islam sudah bersedia?
Apa yang saya baca tentang persoalan-persoalan hukum MLM yang ditulis setakat ini masih belum membincangkan hukum MLM yang tulen secara mendalam. Kebanyakannya masih bersifat untuk membezakan skim MLM penipuan dan perbincangan yang masih bersifat surface dan perbahasan yang masih belum cukup matang.
Sama ada ia perlu dibincangkan secara mendalam atau tidak, saya kurang pasti keutamaanya. Tetapi sekiranya ada diantara ilmuwan kita yang mahu mengkaji mengenai MLM yang tulen dan hukumnya disisi Islam, saya pasti satu buku tebal dapat diterbitkan, dan bukan hanya satu artikel yang ringkas.
Anda perlu maklum, perniagaan MLM mempunyai banyak kelebihan berbanding perniagaan secara konvensional. Sekiranya model MLM yang sedia ada ini sememangnya tidak syari’e maka tindakan segera perlu dilakukan kerana industri amanah saham, insurans dan takaful juga sedikit sebanyak mempunyai mempunyai model perniagaan yang sama.
Adakah umat Islam sudah bersedia mengisi kekosongan tersebut? Model MLM yang syari’e?
Betul, mencari yang halal itu adalah fardhu bagi umat Islam. Tetapi bukan sekadar itu, segala usaha dan penat lelah untuk menyediakan yang halal juga adalah kefardhuan. Kita sudah terlalu jauh tertinggal sehinggakan kita perlu mengutip di jalanan, segala ilmu-ilmu yang sudah lama hilang dari tangan orang Islam.
Masyarakat Muslim setakat ini hanya gemar membeli end-product yang halal semata-mata - bermentaliti pengguna, berbanding untuk memikirkan untuk menjadi pengeluar, yang menyediakan end-product yang halal kepada semua.
Hal ini menyebabkan ada yang tidak mahu bekerja di bank-bank konvensional kerana berpendapat ia adalah pekerjaan yang haram tanpa menyedari perbankan Islam masih terlalu baru dan mentah dan kita masih perlu banyak mempelajari dari sistem perbankan yang lebih maju dari sudut aplikasi perniagaan dan konsep pengurusan mereka.
Sekiranya anda berpendapat model MLM yang sedia ada ini haram, tetapi tidak mampu memberikan model MLM yang patuh syariah, maka saya fikir kita semua - umat Islam - memang terlalu jauh lagi dalam persediaan untuk menyediakan ruang pelaburan halal yang nilainya melebihi RM 100 bilion (jumlah ini baru untuk memenuhi demand KWSP)
Akhir Kata
Seperti mana yang saya telah sebut sebelum ini, kita perlu tahu bertanyakan soalan yang betul untuk keluar jadi manusia yang biasa-biasa.
Gelombang pencarian rezeki dan produk yang halal memang sudah bermula. Ia adalah satu perkembangan yang sangat baik. Justeru, sudah pasti persoalan hukum MLM adalah salah satu kesan dari gelombang tersebut.
Namun kelihatan umat Islam seluruhnya belum bersedia secukupnya untuk memenuhi permintaan halal sebegini lagi. Kita masih belum cukup pengeluar / pemodal / usahawan yang mampu memenuhi permintaan tersebut.
Barangkali ini adalah first wave sahaja, dan menurut Elliot Wave Principle, 3rd wave adalah gelombang yang paling kuat dan di saat inilah umat Islam perlu benar-benar bersedia.
Adakah anda sudah mempersiapkan diri apabila gelombang ketiga tersebut tiba kelak?
Share This